Penyakit Ilmu Itu Kesombongan

Abu Hamid al-Ghazali (w.505H) berkata:

 "Jika engkau bertanya: Mengapa sebahagian orang dengan ilmu yang dia miliki bertambah sombong dan merasa aman lagi selesa?" Ketahuilah bahawa hal itu ada dua sebab:

Pertama: Bahawa kesibukannya dengan sesuatu yang dinamakan ilmu itu sebenarnya bukan ilmu yang hakiki. Sesungguhnya ilmu yang sebenar ialah yang menjadikan seorang hamba kenal akan Tuhannya dan dirinya sendiri… Adapun selain daripada itu, seperti ilmu perubatan, hisab, bahasa, syair, nahu, penyelesaian sengketa, dan kaedah perdebatan, jika seseorang menyelaminya hingga penuh dadanya, dia memenuhkan dadanya dengan kesombongan dan nifak. Ilmu-ilmu ini lebih layak dinamakan sebagai kemahiran berbanding dinamakan sebagai ilmu. Adapun ilmu sebenar adalah pengetahuan tentang ubudiyyah, rububiyyah, dan jalan ibadah. Inilah yang biasanya menumbuhkan sifat tawaduk.

Kedua: Bahawa seorang hamba terjun ke dalam ilmu dalam keadaan jiwanya kotor, buruk jiwa, dan keji akhlak. Dia tidak sibuk terlebih dahulu dalam mendidik dirinya dan menyucikan hatinya dengan pelbagai jenis mujahadah, serta tidak melatih dirinya dalam ibadah kepada Tuhannya. Maka dia kekal dengan tabiat yang busuk, lalu apabila dia masuk ke dalam ilmu—apa pun jenis ilmu itu—ilmu itu akan bertemu dengan hati yang busuk, sehingga buahnya tidak menjadi baik dan kesannya tidak tampak dalam kebaikan.

Wahb telah memberikan perumpamaan tentang hal ini, beliau berkata:

العلمُ كالغيثِ ينزلُ من السماءِ حلوًا صافِيًا، فتشربهُ الأشجارُ بعروقها، فتحوِّلهُ على قدرِ طعومِها، فيزدادُ المرُّ مرارةً، والحلوُ حلاوةً»، فكذلك العلمُ تحفظهُ الرجالُ، فتحوِّلهُ على قدرِ هممها وأهوائها، فيزيدُ المتكبرُ كبرًا، والمتواضعُ تواضعًا

“Ilmu itu laksana hujan yang turun dari langit, bersih segar lagi jernih. Lalu ia diserap oleh pepohonan melalui akarnya, kemudian pohon itu mengubah air hujan yang segar lagi jernih sesuai dengan makanan lain yang diambilnya, maka yang pahit bertambah pahit, dan yang manis bertambah manis.” Demikian itu juga ilmu, ia dihafal oleh berbagai orang, lalu diubah sesuai dengan kecenderungan dan hawa nafsu seseorang. Maka yang sombong bertambah sombong, dan yang tawaduk bertambah tawaduk." (Ihya’ Ulum al-Din 3/348)

 


Cetak  
Wallahu a'lam