Soalan:
Ustaz lafaz doa malam lailatul qadar ... afuwwun karim... atau hanya afuwwun thibbib?
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ اْلعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّيْ
Jawapan:
Kebanyakan riwayat hadis tentang doa malam al-Qadr atau Lailatul Qadar TANPA ADA lafaz al-Karim, iaitulah berdasarkan riwayat al-Imam Ahmad, al-Nasa’ie, Ibn Majah, al-Hakim, Ibn al-Sunniy, al-Baghawi, Abu Ya’la dan al-Baihaqi. Namun berdasarkan riwayat al-Tirmizi terdapat tambahan al-Karim ini. al-Imam al-Nawawi, Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Ibn Hajar dan Ibn Kathir antara yang ada menukilkan hadis ini dari al-Imam al-Tirmizi dan mereka tidak menyebut tambahan al-Karim tersebut. Kerana itu dibimbangi lafaz ini tidak thabit dari Nabi SAW. al-ALbani di dalam al-SIlsilah al-Sahihah berkata:
Maksudnya: “Sebagai suatu peringatan: “Terdapat di dalam Sunan al-Tirmizi selepas (lafaz) “Afuwwun” ada tambahan (lafaz): “Karim” yang tidak berasal dari sumber-sumber yang lalu, tiada juga asalnya dari sumber lain yang menukilkannya. Maka yang zahirnya tambahan itu adalah “Mudrajah” (Lafaz dari periwayat hadis yang termasuk ke dalam matan sehingga disangkakan perkataan Nabi SAW) dari sebahagian naskhah atau cetakan. Tambahan ini juga tidak terdapat di dalam kitab Sunan al-Tirmizi cetakan al-Hindiyyah yang terdapat Syarh Tuhfah al-Ahwazi oleh al-Mubarakfuri 4/264. Tidak terdapat juga pada selainnya. Antara yang menguatkan perkara ini iaitulah al-Nasa’ie dalam sebahagian riwayatnya, beliau telah meriwayatkan hadis ini dari jalan yang sama yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Kedua-dua mereka meriwayatkan dari guru mereka (yang sama) iaitulah Qutaibah bin Sa’ied (riwayat dari al-Nasa’ie ini) dengan tanpa ada (lafaz) tambahan. Demikian juga tambahan ini terdapat di dalam risalah saudara kita yang mulia ‘Ali al-Halabiy (berjodol): Muhazzab ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah oleh Ibn al-Sunniy (95/202), namun (sebenarnya) tambahan itu tidak terdapat di sisi Ibn al-Sunniy, kerana beliau meriwayatkannya dari guru beliau al-Nasa’ie seperti yang telah diterangkan sebelum ini dari Qutaibah, kemudian beliau (al-Halabiy) menisbahkannya kepada al-Tirmizi dan selainnya. Dan yang sepatutnya berdasarkan seni ilmu takhrij tambahan seperti ini diletakkan di dalam kurungan “[ ]” seperti yang makruf hari ini, lalu dapat diberi perhatian bahawa lafaz tersebut termasuk dalam Afrad al-Tirmizi (perkara-perkara menyendiri dari al-Tirmizi). Dan adapun dari sudut tahkik, maka sepatutnya tidak perlu disebut secara mutlak, melainkan untuk dijelaskan ianya tiada asal, barulah terlaksananya suatu peringatan.”
Berdasarkan pernyataan ini, lafaz yang pasti dari Nabi ialah:
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ اْلعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّيْ
maksudnya: "Ya Allah sesungguhnya Dikau adalah Yang Maha Pemaaf, Dikau suka memberi kemaafan, maka berilah kemaafan kepadaku."
Justeru, sesiapa yang hendak mengamalkannya dengan niat mencontohi Nabi SAW, makah dengan TANPA lafaz al-Karim. Namun sesiapa yang hendak membaca doa ini atas keumuman doa, maka boleh dibaca bersama tambahan al-Karim.