Doa Mohon Kesudahan Yang Baik

Daripada Busr bin Arthah بُسْرِ بْنِ أَرْطَاةَ RA katanya: “Daku pernah mendengar Rasulullah SAW berdoa:

اَللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتِي (عَاقِبَتَنَا) فِي الأُمُورِ كُلِّهَا، وَأَجِرْنِي (وَأَجِرْنَا) مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا، وَعَذَابِ الآخِرَةِ.

Maksudnya: “Ya Allah, perelokkanlah pengakhiranku (pengakhiran kami) dalam semua perkara, lindungi daku (lindungi kami) dari kecelakaan dunia dan azab akhirat.” Sesiapa yang demikian itu permohonannya, dia akan meninggal dunia sebelum ditimpa bala’” (Riwayat al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Kabir. Demikian juga Ahmad di dalam al-Musnad, Ibn Hibban di dalam Sahihnya tanpa ada tambahan sabdaan baginda selepas doa. al-Syeikh Syu’aib al-Arna-outh berkata: “Para periwayat hadis ini semuanya muwatthaqun selain Ayyub bin Maisarah, telah meriwayatkan darinya dua orang, Ibn Hibban pula menyebut namanya di dalam al-Thiqat. Manakala Busr bin Arthah seorang yang tidak disepakati berkaitan thabit persahabatannya dengan Nabi SAW.") 

Makna Perkataan:

1. Kalimah عَاقِبَتَنَا diterjemahkan sebagai “kesudahan kami” kerana ia berasal dari al-‘Aqibah العاقبة yang bermaksud “penghujung atau pengakhiran setiap sesuatu”.

2. Kalimah خِزْيِ diterjemahkan sebagai “kecelakaan” kerana mengambil mafhumnya yang merangkumi makna al-Dzul الذل yang memiliki erti “kehinaan” dan al-Hawan الهوان yang memiliki erti “kerendahan” (al-Mufradat 281). Ia juga boleh digunakan bagi maksud al-Halak الهلاك yang bererti “kebinasaan” atau “kecelakaan” dan terjebak ke dalam baliyyah بلية, iaitulah “musibah” dan “bala” (al-Nihayah 263).


Cetak  
Wallahu a'lam