Sighah Selawat Yang Sahih

SIGHAH SELAWAT YANG SAHIH

Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Bahagian Buhuth & Istinbath

Jabatan Mufti Negeri Perlis

 

Makna Selawat

            Para ulama menyatakan, Selawat Allah ke atas Nabi SAW adalah bermaksud pujian dan pengagungan dari Allah terhadap baginda di hadapan para malaikat. Selawat para malaikat ke atas Nabi SAW pula bermaksud permohonan atau doa dari para malaikat kepada Allah agar ditambahkan lagi pujian dan pengagungan tersebut untuk baginda SAW. Termasuk juga permohonan keampunan untuk baginda SAW. Manakala selawat umat Islam ke atas baginda bermaksud doa (diberikan kebaikan dan kelebihan) dan mengangungkan kedudukan baginda SAW.[1]

Sighah Selawat Yang Sahih

            Terdapat banyak riwayat hadis yang menyebut sighah selawat ke atas Nabi SAW. Terdapat ulama yang berhasil menghimpunkan sejumlah 48 sighah selawat ke atas Nabi SAW. Sadiq Hasan Khan telah menyenaraikan sebahagiannya di dalam buku beliau Nuzul al-Abrar sekitar 30 sighah yang berbagai. Jumlah yang banyak ini sebahagiannya bersumberkan riwayat dari seorang sahabat, namun dengan sighah yang berbagai. Dalam situasi riwayat sebegini sebahagian ulama berpandangan ia tidak wajar di asingkan. Sebaliknya riwayat sighah selawat yang berbeza dari seorang sahabat yang sama berlaku disebabkan berbeza para periwayat. Maka jalan terbaik adalah mengenal pasti lafaz-lafaz yang berbeza tersebut, setelah itu digabungkan menjadikan ia satu sighah yang sempurna. Di bawah ini adalah hasil gabungan lafaz dari riwayat-riwayat tersebut[2]:

  • Dari seorang sahabat Nabi SAW dengan sighah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَعَلَى أَزْوَاجِهِ، وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

Maksudnya:  “Ya Allah, berselawatlah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga[3] baginda, ke atas para isteri[4] baginda dan zuriat[5] baginda, sepertimana Dikau telah berselawat ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Dikau tuhan yang maha terpuji[6] dan maha agung[7]. Berkatilah[8] ke atas Muhammad, dan ke atas keluarga baginda, ke atas para isteri baginda dan zuriat baginda, sepertimana Dikau telah berkati ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Dikau tuhan yang maha terpuji dan maha agung.”[9]

  • Hadis Ka’ab bin ‘Ujrah RA: “Pernah Nabi SAW keluar dari rumah baginda menemui kami (para sahabat). Lalu kami berkata: “Wahai Rasulullah, Kami telah tahu bagaimana hendak mengucapkan salam kepadamu. Namun bagaimanakah kami hendak berselawat ke atasmu?” Baginda SAW menjawab:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ  وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya: “Ya Allah selawatlah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sepertimana Dikau telah berselawat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Dikau tuhan yang maha terpuji lagi maha agung. Ya Allah berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad, sepertimana Dikau telah berkati ke atas Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Dikau tuhan yang maha terpuji lagi maha agung.”[10]

  • Hadis Talhah bin ‘Ubaidillah RA yang berkata: “Wahai Rasulullah. Bagaimanakah kami dapat berselawat ke atasmu?” Rasulullah SAW bersabda: “Kamu semua ucapkanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya:  “Ya Allah selawatlah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sepertimana Dikau telah berselawat ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Dikau tuhan yang maha terpuji lagi maha agung. Ya Allah berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad, sepertimana Dikau telah berkati ke atas Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Dikau tuhan yang maha terpuji lagi maha agung.”[11]

  • Hadis Abi Mas’ud al-Ansori, ‘Uqbah bin ‘Amr RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّد النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya:  “Ya Allah selawatlah ke atas Muhammad seorang Nabi yang ummi, dan ke atas ahli keluarga Muhammad, sepertimana Dikau telah berselawat ke atas ahli keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad seorang Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga Muhammad, sepertimana Dikau telah berkati ke atas keluarga Ibrahim, pada sekalian alam, sesungguhnya Dikau maha terpuji lagi maha agung.”[12]

  • Hadis Abu Sa’ied al-Khudriy RA yang berkata: “Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, menyampaikan salam kepadamu kami telah mengetahuinya. Bagaimana pula mengucapkan selawat ke atasmu? Jawab Baginda SAW: “Ucapkanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ

Maksudnya: “Ya Allah selawatlah ke atas Muhammad, hamba-Mu dan Rasul-Mu, sepertimana Dikau telah berselawat ke atas ahli keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad, hamba-Mu dan rasul-Mu dan ke atas ahli keluarga Muhammad, sepertimana Dikau telah berkati ke atas Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Ibrahim.”[13]  

  • Hadis Abu Humaid al-Sa’idiy, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kami hendak berselawat ke atas kamu?” Baginda menjawab, ucapkanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

Maksudnya: “Ya Allah selawatlah ke atas Muhammad dan ke atas para isteri dan zuriat baginda, sepertimana Dikau telah berselawat ke atas ahli keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammaddan ke atas para isteri dan zuriat baginda, sepertimana Dikau telah berkati ke atas ahli keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Dikau maha terpuji dan maha agung.”[14]

  • Hadis Abu Hurairah RA, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kami hendak berselawat ke atas engkau?” Baginda menjawab: “Ucapkanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ وَبَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

Maksudnya: “Ya Allah selawatlah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad, Berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad, sepertimana Dikau telah berselawat dan berkati ke atas Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Dikau tuhan yang maha terpuji lagi yang maha agung.”[15]

Inilah sighah selawat yang paling afdhal dan utama diucapkan untuk Nabi SAW. al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:

“Dan dijadikan dalil dengan tunjuk-ajar Nabi SAW kepada para sahabat baginda kaifiat selawat ini setelah mereka bertanyakannya bahawa inilah kaifiat-kaifiat (sighah-sighah) yang afdhal (paling utama) untuk berselawat ke atas baginda. Ini kerana baginda tidak akan memilih untuk diri baginda melainkan suatu yang paling mulia dan paling utama.”[16]  

Sighah Selawat Umum Dan Yang Paling Pendek

  • Tidak mengapa mengungkapkan selawat ke atas Nabi SAW dengan apa-apa lafaz yang mengandungi maksud selawat seperti ungkapan: اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ, atau صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد, atau اَلصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَيْكَ يَا رَسُوْلَ الله, atau صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم, dan seumpamanya yang memiliki maksud selawat yang benar dan memadai ke atas baginda SAW. Hal ini kerana selawat ke atas Nabi SAW adalah tergolong dalam kumpulan doa yang boleh dilaksanakan dengan apa-apa lafaz yang memiliki maksud yang benar, selawat itu pula diucapkan di luar solat.

Ruang keluasan dalam persoalan ini jelas kelihatan dari tulisan-tulisan para ulama dari dahulu hingga sekarang yang mengungkapkan berbagai sighah selawat ke atas Nabi SAW di bahagian kata-kata aluan mereka.  Kata al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH:

ذهب الجمهور إلى الإجتزاء بكل لفظ أدى المراد بالصلاة عليه صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Majoriti ulama berpandangan (selawat) memadai dengan setiap lafaz yang terlaksana maksud selawat ke atas baginda SAW…”[17]

Telah thabit juga dalam banyak riwayat hadis apabila para sahabat menyebut: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول كذا  yang bermaksud: “daku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda demikian dan demikian…” Ini menunjukkan para sahabat berselawat kepada Nabi bukan dengan selawat Ibrahimiyyah. Kerana itu al-Manawi di dalam kitabnya Faidh al-Qadir menukilkan perkataan al-Ubbiy الأُبِّيّ yang berkata:

وقضية اللفظ حصول الصلاة بأي لفظ كان وإن كان الراجح الصفة الورادة في التشهد

Maksudnya:  “Dan persoalan lafaz terhasilnya selawat adalah dengan apa-apa lafaz (yang memiliki kandungan selawat), sekalipun yang rajih adalah menurut sifat (lafaz selawat) seperti di dalam al-Tasyahhud.”[18] 

Di dalam fatwa al-Lajnah al-Da-imah dinyatakan:

“Boleh diucapkan ketika menziarahi (maqam) baginda SAW: الصلاة والسلام عليك يا رسول الله kerana maknanya al-Talab dan al-Insya’ sekalipun lafaznya berbentuk perkhabaran. Boleh juga berselawat ke atas baginda dengan selawat Ibrahimiyyah dengan mengucapkan: اللهم صل على محمد.[19]

  • Dimakruhkan seseorang melazimi lafaz selawat sahaja tanpa diiringi dengan lafaz salam, demikian juga sebaliknya. Sebaliknya hendaklah diucapkan juga lafaz selawat bersama dengan lafaz salam bersama bagi mematuhi perintah Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا ٥٦

Maksudnya: “… Wahai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepada baginda.” (al-Ahzab: 56)

     al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH berkata:

أن إفراد الصلاة عن التسليم لا يكرة وكذا العكس، لأن تعليم التسليم تقدم قبل تعليم الصلاة كما تقدم، فأفرد التسليم مدة في التشهد قبل الصلاة عليه، وقد صرح النووي بالكراهة، واستدل بورود الأمر بهما معا في الآية، وفيه نظر، نعم يكرة يفرد الصلاة ولا يسلم أصلا، أما لو صلى في وقت وسلم في وقت آخر فإنه يكون ممتثلا

Maksudnya: “(sebahagian ulama berpandangan) Bahawa menunggalkan sebutan selawat tanpa ucapan salam tidak dimakruhkan demikian juga sebaliknya, kerana pemberitahuan ucapan salam terdahulu sebelum pemberitahuan ucapan selawat seperti penjelasan yang telah berlalu. Maka menunggalkan ucapan salam berlaku pada satu tempoh dalam lafaz al-Tasyahhud sebelum diajar lafaz selawat ke atas baginda. Namun al-Nawawi ada membuat pernyataan makruh (menunggalkan salah satu selawat atau salam tanpa digabungkan keduanya bersama) berdalilkan dengan adanya perintah mengungkapkan kedua-duanya bersama di dalam ayat (al-Ahzab: 56), namun pandangan ini perlu dinilai semula. Benar, dimakruhkan menunggalkan ucapan selawat tanpa ucapan salam pada asasnya (jika dilazimi). Adapun jika dilafazkan ucapan selawat sahaja pada waktu tertentu dan ucapan salam sahaja pada waktu tertentu yang lain (tidak menjadi kelaziman), maka orang yang melakukannya telah mematuhi perintah.”[20] 

Fadhilat Selawat

  • Mendapat selawat dari Allah SWT, berdasarkan hadis Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحَطَّ عَنْهُ عَشْرَ خَطِيئَاتٍ

Maksudnya:  “Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali, Allah akan berselawat pula ke atasnya sebanyak 10 kali dan Allah akan menghapuskan darinya 10 kesalahan.”[21]

  • Dipenuhi keinginan dan dihapuskan dosa berdasarkan hadis Ubai bin Ka’ab RA katanya: “Aku berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي، فَقَالَ: «مَا شِئْتَ»، قُلْتُ: الرُّبُعَ، قَالَ: «مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ»، قُلْتُ: النِّصْفَ، قَالَ: «مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ»، قَالَ: قُلْتُ: فَالثُّلُثَيْنِ، قَالَ: «مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ»، قُلْتُ: أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا، قَالَ: «إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ

Maksudnya:  “Wahai Rasullah, sesungguhnya aku memperbanyakkan selawat ke atasmu, maka berapa banyak aku patut lakukannya di dalam doaku? Baginda bersabda: “Menurut kehendakmu.” Aku berkata: “aku jadikan selawat ke atasmu sebanyak ¼ dalam doaku?” baginda menjawab: “Menurut kehendakmu. Jika kamu tambah ia lebih baik untukmu.” Aku berkata: “aku jadikan selawat ke atasmu sebanyak ½ dalam doaku?” baginda menjawab: “Menurut kehendakmu. Jika kamu tambah ia lebih baik untukmu.” Aku berkata: “aku jadikan selawat ke atasmu sebanyak 2/3?” baginda menjawab: “Menurut kehendakmu. Jika kamu tambah ia lebih baik untukmu.” Aku berkata: “Aku jadikan untukmu seluruh doaku.” Baginda bersabda: “Jika demikian, ia mencukupkan apa keinginanmu dan diampunkan dosamu.”  

  • Dimustajabkan doa berdasarkan hadis Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:

كُلُّ دُعَاءٍ مَحجُوبٌ حَتَّى يُصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ -صلى الله عليه وسلم-

Maksudnya:  “Setiap doa itu terhijab, sehingga diungkapkan selawat ke atas Nabi SAW.”[22]

  • Layak mendapat syafaat Nabi SAW di hari qiyamah berdasarkan hadis ‘Abd Allah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA, Nabi SAW bersabda:

Mafhumnya: ”Apabila kamu mendengar tukang Azan melaungkan Azan, maka jawablah seperti yang tukang Azan laungkan, setelah itu (habis Azan) berselawatlah kepadaku, kerana sesungguhnya sesiapa yang berselawat ke atasku sekali selawat, Allah akan berselawat ke atasnya dengan 10 kali selawat, setelah itu mintalah kepada Allah untuk dikurniakan kepadaku al-Wasilah, sesungguhnya Wasilah itu merupakah satu kedudukan di dalam Syurga, tidak layak melainkan untuk seorang hamba Allah, dan aku mengharapkan hamba Allah itu adalah aku. Maka sesiapa yang memohon wasilah untukku, dia berhak mendapat syafaatku.”[23]

------------------------------------ 

[1] Lihat Asl Sifah Solah al-Nabi SAW oleh al-Albani 3/913

[2] Lihat Asl Sifah Solah al-Nabi SAW oleh al-Albani 3/913-930

[3] Keluarga adalah terjemah yang dipilih untuk kalimah أَهْل. Ini kerana kalimah أَهْل dalam bahasa ‘Arab bermaksud keluarga dan kaum kerabat seseorang. Kadang-kala digunakan kalimah آل yang membawa maksud yang sama kerana asalnya ialah ditukar huruf ه kepada أ, maka jadilah أَأْل. Kemudian digabungkan أ petama kepada أ kedua untuk memudahkan, maka jadilah آل dengan maksud yang sama yang hanya digunakan bagi menunjukkan kemuliaan.  

            Para ulama berbeza pandangan dalam mengenal pasti siapakah yang dimaksudkan dengan keluarga Nabi SAW di dalam selawat ini. Terdapat empat pandangan kesemuanya. Pandangan yang lebih benar ialah yang mengatakan keluarga baginda SAW yang dimaksudkan di sini ialah ahli keluarga baginda yang diharamkan menerima zakat.

[4] Para isteri baginda SAW yang dimaksudkan ialah para wanita yang dikahwini oleh Nabi SAW dan baginda meniduri mereka. Kesemua mereka adalah seramai 11 orang:

  • Khadijah binti Khuwailid خديجة بنت خويلد yang meninggal dunia tiga tahun sebelum berlaku peristiwa Hijrah.
  • Zainab binti Khuzaimah al-Hilaliyyah زينب بنت خزيمة الهلالية. Meninggal dunia pada tahun ke-4 Hijriyyah.
  • Zainab binti Jahsy زينب بنت جحش. meninggal dunia para tahun 20 hijriyyah.
  • Hafshah binti ‘Umar bin al-Khattab حفصة بنت عمر بن الخطاب. Meninggal pada tahun 27 Hijriyyah.
  • Ramlah, Ummu Habibah binti Abi Sufyan رملة، أم حبيبة بنت أبي سفيان. Meninggal pada 44 Hijriyyah.
  • Juwairiah binti al-Harith al-Musytaliqayyah جويرية بنت الحارث المصطلقية. Meninggal pada tahun 50 Hijriyyah.
  • Maimunah binti al-Harith al-Hilaliyyah ميمونة بنت الحارث الهلالية. Meninggal pada tahun 51 Hijriyyah.
  • Safiyyah binti Huyay صفية بنت حُيَي. Meninggal pada tahun 52 Hijriyyah.
  • Saudah binti Zam’ah سزدة بنت زمعة. Meninggal pada tahun 54 Hijriyyah.
  • ‘A-isyah binti Abi Bakr عائشة بنت أبي بكر. Meninggal pada tahun 58 Hijriyyah.
  • Hindun, Ummu Salamah binti Abi Umayyah al-Qurasyiyyah al-Makhzumiyyah هند، أم سلمة بنت أبي أمية القرشية المخزومية. Meninggal pada tahun 62 Hijriyyah. Beliau merupakan isteri baginda Nabi SAW yang terakhir meninggal dunia. Para ulama bersepakat ketika baginda SAW wafat, sembilan orang dari para isteri baginda masih hidup iaitulah bermula dari no 3 hingga ke no 11 menurut senarai ini.

[5] Apakah zuriat di sini termasuk cucu dari puteri baginda? al-Imam al-Syafi’ie berbeza pandangan dengan al-Imam Abu Hanifah dalam persoalan ini di mana al-Imam al-Syafi’ie berpandangan mereka termasuk dalam kumpulan zuriat yang dimaksudkan. Inilah pandangan yang benar menurut al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah RH, beliau berkata:

“(pandangan) ini merupakan kandungan dari nas-nas dan perkataan Ibn Mas’ud dan selain beliau (di kalangan sahabat). Qiyas juga menguatkan kebenaran pandangan ini.” (Lihat Jilaa’ al-Afham, halaman 177)

Oleh itu yang dimaksudkan dengan zuriat di sini ialah zuriat baginda dari Fatimah binti Rasulillah SAW. (Lihat Asl Sifat Solah al-Nabi SAW oleh al-Albani 3/917   

[6] “Maha Terpuji” adalah terjemahan pilihan untuk kalimah حَمِيْدٌ yang boleh bermaksud terpuji dan dipuji dalam bentuk yang tiada batasnya.

[7] “Maha Agung” adalah terjemahan yang dipilih untuk kalimah مَجِيْدٌ berasal dari اَلْمَجْدُ yang merupakan sifat bagi sesuatu yang sempurna kemuliaannya. Ia juga bergandingan dengan keagungan dan kemegahan.

[8] Berkat adalah bermaksud subur dan bertambah. Ia bermaksud permohonan agar dikurniakan kebaikan kepada Nabi SAW seperti yang telah dikurniakan kepada keluarga Nabi Ibrahim AS dalam bentuk kebaikan yang berterusan, kekal dan bertambah berlipat kali ganda.  

[9] Hadis riwayat Ahmad 5/374 dengan sanad yang sahih. Diriwayatkan juga oleh al-Tahawi di dalam al-Musykil 3/74 tanpa ada selawat ke atas ahli keluarga Ibrahim dan tanpa ada berkati ke atas Muhammad. Di dalam al-Bukhari dan Muslim tanpa ada “dan ke atas ahli keluarga baginda”.

[10] Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Demikian juga Abu Daud, al-Nasa-ie dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah, al-Tirmizi, al-Darimi, Ibn Majah dan selain mereka.

[11] Riwayat Ahmad, al-Nasa-ie, al-Tahawi. Hadis ini sahih berdasarkan syarat Muslim. Al-Imam al-Nawawi RH di dalam kitabnya Raudhah al-Talibin menyebut sighah yang paling afdhal ialah dengan sighah ini. (1/265)

[12] Riwayat Malik, Muslim, Abu Daud dan selain mereka dengan sanad yang sahih berdasarkan syarat Muslim.

[13] Riwayat al-Bukhari, al-Nasa-ie, Ibn al-Sunni dan lainnya.

[14] Riwayat Malik, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan selainnya.

[15] Riwayat al-Tahawi dengan sanad yang sahih berdasarkan syarat Muslim. Diriwayatkan juga oleh Abu Daud, al-Nasa-ie dan selainnya.

[16] Fath al-Bari 11/139

[17] Fath al-Bari 12/139

[18] Faid al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir min Ahadith al-Basyir al-Nazir 6/209 oleh al-‘Allamah Muhammad ‘Abd al-Ra’auf al-Manawi W1031H. cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah

[19] Fatwa al-Lajnah al-Da-imah 1/474

[20] Fath al-Bari 12/140

[21] Musnad Imam Ahmad, hadis bilangan 11998 dinilai sahih oleh para pentahkiknya.

[22] Musnad al-Firdaus, hadis bilangan 4754. Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah, hadis bilangan 2035.

[23] Riwayat Muslim di dalam Sahihnya.


Cetak  
Wallahu a'lam