- Daripada ‘Abd Allah bin ‘Abbas RA yang pernah tidur di rumah Rasulullah SAW. Apabila dilaungkan azan, baginda keluar ke masjid untuk menunaikan solat, baginda membaca:
اللهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا، وَفِي لِسَانِي نُورًا، وَاجْعَلْ فِي سَمْعِي نُورًا، وَاجْعَلْ فِي بَصَرِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ خَلْفِي نُورًا، وَمِنْ أَمَامِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ فَوْقِي نُورًا، وَمِنْ تَحْتِي نُورًا، اللهُمَّ أَعْطِنِي نُورًا
Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah cahaya di dalam hatiku, jadikanlah cahaya pada lidahku, jadikanlah cahaya pada pendengaranku, jadikanlah cahaya pada penglihatanku, jadikanlah cahaya dari belakangku dan cahaya dari hadapanku, jadikanlah cahaya dari atasku, cahaya dari bawahku. Ya Allah kurniakanlah cahaya kepadaku.”[1]
Kata Ibn Hajar al-‘Asqalani RH: “Hadis ini Sahih.” Berdasarkan riwayat Muslim daripada Wasil bin ‘Abd al-A’la واصل بن عبد الأعلى:
اللهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا، وَفِي لِسَانِي نُورًا، وَاجْعَلْ فِي سَمْعِي نُورًا، وَاجْعَلْ فِي بَصَرِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ خَلْفِي نُورًا، وَمِنْ أَمَامِي نُورًا، وَاجْعَلْ عَنْ يَمِيْنِيْ نُورًا وَعَنْ يَسَارِيْ نُورًا، اَللَّهُمَّ أَعْظِمْ لِيْ نُورًا
Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah cahaya di dalam hatiku, jadikanlah cahaya pada lidahku, jadikanlah cahaya pada pendengaranku, jadikanlah cahaya pada penglihatanku, jadikanlah cahaya dari belakangku dan cahaya dari hadapanku, jadikanlah cahaya dari kananku dan cahaya dari kiriku. Ya Allah besarkanlah cahaya untukku.”[2]
al-Imam al-Qurtubi RH menyatakan cahaya-cahaya yang dipohon oleh Nabi SAW di dalam doa ini boleh difahami secara zahirnya. Iaitulah ia memaksudkan agar dijadikan cahaya pada setiap yang diminta terdiri dari anggota-anggota dan arah-arah yang disebutkan di dalam doa, agar berperanan meneranginya dari kegelapan hari kiamat.
Namun al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani berpandangan lebih utama ia difahami memaksudkan ilmu dan hidayah sepertimana firman Allah SWT: وَجَعَلۡنَا لَهُۥ نُورٗا يَمۡشِي بِهِۦ فِي ٱلنَّاسِ yang bermaksud: “…dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang (ilmu dan hidayah), yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia…” (al-An’am: 122). Justeru meminta cahaya pada pendengaran memaksudkan perkara-perkara yang didengar terdiri dari ilmu dan hidayah. Cahaya pada penglihatan memaksudkan penyingkap kepada ilmu dan hidayah terdapat apa-apa yang dilihat. Cahaya pada hati memaksudkan penyiingkap segala maklumat. Cahaya pada anggota-anggota memaksudkan anggota yang digunakan untuk melakukan ketaatan. Demikian juga bermaksud anggota yang dihiasi dengan cahaya ilmu dan ketaatan bebas dari selainnya. Permohonan dikurniakan cahaya dari arah yang enam adalah kerana syaitan mendatangkan keraguan kepada manusia dari enam arah tersebut. Justeru dipohon agar dikurniakan cahaya ilmu dan hidayah dari enam arah tersebut agar bebas dari tipu-daya dan hasutan syaitan.[3]
--------------------------------------
[1] Lihat Nata-ij al-Afkar fi Takhrij Ahadith al-Azkar oleh al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani (773H-852H), Cetakan Dar Ibn Kathir, Beirut Lebanon. Tahkik Hamdi ‘Abd al-Majid al-Salafi 1/266.
[2] Ibid
[3] Lihat Fath al-Bari oleh al-Hafidz Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani 11/122, tahkik ‘Abd al-Qadir Syaibah al-Hamd, Riyadh Saudi, kos percetakan oleh Sahib al-Sumuw al-Malaki al-Amir Sultan bin ‘Abd al-‘Aziz Aali Sa’ud. Cetakan pertama 1421H/2001M