- Masuk ke dalam masjid dengan mendahulukan kaki sebelah kanan[1], dan membaca doa seperti:
- Hadis ‘Abd Allah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA, baginda Nabi SAW apabila hendak masuk ke dalam masjid akan membaca:
أَعُوذُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ، وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيمِ، وَسُلْطَانِهِ الْقَدِيمِ، مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah yang Maha Agung dan dengan wajahnya yang Maha Mulia[2] dan dengan kesultanannya yang qadim daripada syaitan yang direjam.” Apabila dibacakan sedemikian, syaitan akan berkata: “Kamu terpelihara daripadaku sepanjang hari ini.” (HR Abu Daud. Kata Ibn Hajar: “Hadis ini gharib dan semua periwayatnya muwatthaqun, mereka terdiri dari para perawi al-Sahih melainkan Ismail dan ‘Uqbah. Al-Nawawi di dalam al-Azkar berkata: “Hadis Hasan, diriwayatkan oleh Abu Daud dengan Isnad yang baik (jayyid)”)
- Atau membaca bacaan:
بِسْمِ اللـهِ، وَالصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَلَى رَسُولِ الله، اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أبْوَابَ رَحْمَتِكَ
Maksudnya: “Dengan nama Allah (daku masuk ke dalam masjid ini), selawat[3] dan salam ke atas Rasulillah, Ya Allah bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu.”[4]
--------------------------------------------
[1] Berdasarkan perkataan Anas bin Malik: “Termasuk di dalam sunnah, apabila kamu masuk ke dalam masjid untuk memulakan dengan kaki kanan. Apabila keluar memulakan kaki kiri.” Diriwayatkan oleh al-Hakim 1/218 dan beliau menilainya sebagai sahih berdasarkan syarat Muslim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Dinilai Hasan oleh al-Albani. Lihat al-Silsilah al-Ahadith al-Sahihah oleh al-Albani 5/624, hadis bilangan 2478.
[2] Orang ‘Arab mengungapkan kalimah al-Karim kepada sesuatu yang memberi manfaat berterusan dan mudah memperolehinya. Setiap sesuatu yang mengungguli berbanding yang lainnya dalam kumpulannya, maka orang ‘Arab akan menyifatkannya sebagai al-Karam الكرم kemuliaan. Tidak diungkapan al-Karam الكرم untuk menyifatkan sesuatu melainkan pada yang memiliki kebaikan yang amat banyak. Orang ‘Arab juga berkata: كرّم الله وجهك bermaksud: “Semoga Allah memuliakan kamu.” Digunakan kalimah wajah pada yang paling mulia yang dimaksudkan dan yang paling agung apa-apa yang diharapkan. Maka wajah Allah yang maha mulia adalah yang paling mulia untuk dihadapkan dan yang paling agung untuk dijadikan perantara dalam permintaan. Wajah Allah pula ialah yang layak dengan keagungan-Nya. Ia adalah salah satu dari sifat zatiyyah yang tiada persamaan dengan makhluknya. Dialah tuhan yang tiada sesuatupun menyerupainya, Dialah tuhan yang maha mendengar lagi maha memerhati.” Mengkhususkan sebutan wajah Allah yang Maha Mulia dan kesultanan/kekuasaan-Nya yang Maha Hebat ketika memohon perlindungan adalah kerana permohonan perlindungan layak dengan sesuatu yang menggambarkan kemuncak kemuliaan dan ketinggian lagi penguasaan yang sempurna yang tidak akan mensia-siakan sesiapapun yang memohon perlindungan dan tidak akan menyerahkan mereka kepada yang lain, juga tidak akan mensia-siakan harapan sesiapa yang mengharap. Semua ini tidak akan diperolehi melainkan dari Allah SWT.
[3] Berdasarkan hadis Anas bin Malik RA yang berkata: “Dahulunya Rasulullah SAW apabila masuk ke dalam masjid membaca: بِسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ bermaksud: “Dengan nama Allah (daku masuk ke dalam masjid ini), ya Allah berselawatlah ke atas (nabi) Muhammad.” Apabila keluar, baginda membaca: بِسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ bermaksud: “Dengan nama Allah (daku masuk ke dalam masjid ini), ya Allah berselawatlah ke atas (nabi) Muhammad.” Riwayat Ibn al-Sunniy, Ahmad bin Muhammad bin Ishak bin Ibrahim (364H) di dalam ‘Amal al-Yaum wa al-lailah 1/80, Dinilai Hasan oleh al-Albani.
[4] Berdasarkan hadis Abu Humaid atau Abu Usaid al-Ansari yang berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu memasuki masjid, maka ucapkanlah salam ke atas Nabi SAW, kemudian membaca: اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أبْوَابَ رَحْمَتِكَ. Apabila keluar, membaca: اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ من فَضْلِك bermaksud: “Ya Allah, daku memohon kepada-Mu (dibukakan) pintu-pintu kelebihan-Mu.” Hadis dinilai Sahih oleh al-Syeikh Syu’aib al-Arna-outh, Sunan Abi Daud dengan tahkik oleh al-Syeikh Syu’aib, cetakan pertama 1430H/2009M Dar al-Risalah al-‘Alamiyyah 1/232.