SDI 1257: Hukum Muazzin Sebut allaahu akbaRAllahu akbar

Soalan:

Ustaz, mana satu betul ketika takbir azan, bilal sebut:

  • allaahu akbaRUlaahu akbar
  • allaahu akbaRAllaahu akbar
  • allaahu akbar – allahu akbar

Jawapan:

Lafaz pertama allaahu akbaRUllaahu akbar adalah lebih tepat dari sudut I’rab, kerana akbar di dalam ungkapan itu berada pada kedudukan khabar (predikat). Justeru ia hendaklah didhommahkan atau diberi baris hadapan.

Lafaz kedua allaahu akbaRAllaahu akbar berupa pelat dalam penuturan. Namun ia tidak merosakkan azan. Hal ini dijelaskan oleh beberapa ulama antaranya al-Khatib al-Syirbini di dalam Mughniy al-Muhtaj yang berkata:

Kata al-Mubarrid (Klik UtK KeNaLi BeLiAu)[1]: “Ini kerana azan diambil secara mauquf (dibaca waqaf bukan wasal dan tidak perlu di-i’rabkan), maka asal huruf Ra (pada kalimah akbar) ialah dibaris sukun (dimatikan kerana dibaca waqaf). Akan tetapi apabila ia (huruf Ra) berada sebelum huruf hamzah pada kalimah Allah yang kedua yang dibaris fathah, maka ia diberikan baris fathah (jika dibaca sambung atau wasal), sama seperti firman Allah ألم، الله surah Ali 'Imran (Alif - Laam - MiiMA Allah... jika dibaca wasal atau sambung)…”

‘Ali bin Sultan Muhammad al-Qari di dalam Mirqah al-Mafatih[2] 2/312 menyebut perkara yang sama ketika menerangkan ungkapan Nabi SAW kepada Abi Mahzurah (أبو محذورة) ketika baginda mengajarkannya laungan azan dengan sabda baginda yang berbentuk arahan:

“Katakan: Allahu Akbar, Allahu akbar.” Iaitulah dengan disukunkan huruf Ra… demikianlah beliau mendengarnya secara mauquf (dibaca secara waqaf huruf Ra) tanpa perlu diberikan baris pada potongan-potongan (seruan azan), seperti ungkapan mereka pada Hayya ‘ala al-Solaah dan Hayya ‘ala al-Falah (tidak perlu disambung dan diletakkan baris pada akhir kalimah solat dan falah kerana diwaqafkan).” Seterusnya beliau menukilkan perkara Ibn Hajar yang berkata “Disunatkan bagi seorang muazzin waqf atas setiap kalimah dari empat kalimah ini (empat kali takbir) dan demikianlah pada kalimah selepasnya kerana ia diriwayatkan secara mauquf (tidak dibaca sambung). Jika ia dibaca sambung (dan diberikan baris) maka menyalahi sunnah.” Berdasarkan pandangan majoriti ulama (jika dibaca sambung) ia diberikan baris dhommah (baris hadapan) untuk huruf Ra. Manakala al-Mubarrid memilih diberikan baris fathah (jika dibaca sambung), kerana baris fathah lebih ringan (berbanding dhommah), dan ia menjadikan dibaca tebal huruf Lam pada lafaz Jalalah, sama sepertimana terlaksana pada الم، الله , jika tidak kaedah yang masyhur menyatakan bahawa huruf yang berbaris sukun apabila hendak diberikan baris, dibariskan kasrah sepertima pada ayat لم يكن الذي dan قل اللهم.”

Manakala Lafaz ketiga Allahu akbar - Allahu akbar, itulah yang lebih menepati sunnah seperti kenyataan Ibn Hajar berdasarkan nukilan di dalam Mirqah al-Mafatih.

---------------------------- 

[1] Perkara yang sama dinyatakan oleh al-Syeikh al-Imam, Syeikh al-Islam Ahmad bin Yahya bin Muhammad al-Hafid al-Harawi al-Syafi’ie yang meninggal pada 906H di dalam kitabnya al-Durr al-Nadhid Min Majmu’ah al-Hafid 1/271. Cetakan pertama 1322H, Matba’ah al-Taqaddum bi Syari’ Muhammad ‘Ali, Mesir.

[2] Cetakan Pertama 1422H/2001M, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut Lebanon


Cetak  
Wallahu a'lam