Bacaan Masuk Rumah

  • Daripada Abu Malik al-As’ariy أبو مالك الأشعري katanya: “Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu akan masuk ke dalam rumahnya, bacalah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ، وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ، بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا

Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya daku memohon kepada-Mu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Allah, kami masuk dan ke atas Allah, tuhan kami, kami bertawakal.” Kemudian berilah salam kepada ahli keluarga kamu.”  (Riwayat Abu Daud)

Para ulama berbeza pandangan berkaitan darjat hadis ini. Ibn Muflih[1] menilainya sebagai Hasan di dalam al-Adab al-Syar’iyyah 1/299. al-Albani di peringkat awal menilai hadis ini sebagai Sahih di dalam al-Silsilah al-Sahihah, namun menarik semula penilaian ini kepada dhaief (lemah).[2]  

Seseorang muslim boleh mengambil mana-mana pandangan ulama di atas, kerana persoalan penilaian hadis sahih dan dhaief adalah persoalan ijtihad yang tidak boleh diperbalahkan. Selain itu, jika dhoief sekalipun hadis ini, ia bukan dhoief yang bersangatan. Demikian juga asal menyebut nama Allah ketika hendak masuk ke dalam rumah dinyatakan di dalam hadis yang sahih dan dipersetujui oleh kebanyakan para ulama.

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

يُستحبّ أن يقول إذا دخلَ بيتَه: باسم الله، وأن يكثرَ من ذكر الله تعالى، وأن يسلّمَ سواء كان في البيت آدميّ أم لا، لقول الله تعالى: (فإذَا دَخَلْتُمْ بُيُوتاً فَسَلِّمُوا على أنْفُسِكُمُ تَحِيَّةً مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً)

Maksudnya: “Digalakkan dibaca ketika hendak memasuki rumah: “bismilLah”, membanyakkan zikirullah, membari salam sama ada terdapat orang di dalam rumah atau tidak berdasarkan firman Allah SWT: “Apabila kamu akan memasuki rumah-rumah, maka berilah salam (kepada penghuninya, yang bererti memberi salam) kepada dirimu sendiri, dengan salam yang penuh barakah dan baik di sisi Allah.” (al-Nur: 61)”[3]

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 8/92 dinyatakan:  

اتَّفَقَ أَكْثَرُ الْفُقَهَاءِ عَلَى أَنَّ التَّسْمِيَةَ مَشْرُوعَةٌ لِكُل أَمْرٍ ذِي بَالٍ، عِبَادَةٍ أَوْ غَيْرِهَا

Maksudnya: “Telah bersepakat kebanyakan fuqaha bahawa membaca basmalah disyari’atkan pada setiap perkara yang memiliki nilai, sama ada perkara yang memiliki nilai itu satu ibadah atau selain ibadah.”

---------------------------------------------------------------------------------- 

[1] Beliau ialah al-Imam Shams al-Din, Abu Abd Allah, Muhammad bin Muflih al-Maqdisi al-Hanbali شمس الدين أبو عبد الله، محمد بن مفلح المقدسي الحنبلي (W763H)

[2] Lihat al-Silsilah al-Da’iefah 12/731-732, al-Qism al-Awwal 5501-5769. Cetakan pertama 1425H/2004M, Maktabah al-Ma’arif li al-Nasyr wa al-Tauzi’, Riyadh Saudi

[3] al-Azkar, halaman 23


Cetak  
Wallahu a'lam