Kenapa Dalam Selawat Kita Sebut Nabi Ibrahim Bukan Nabi Yang Lain?

Friday, August 1, 2014

Soalan:

Kenapa dalam tayihhat akhir kita berselawat ke atas Nabi Ibrahim AS, bukan nabi-nabi yang lain?

Jawapan:

Allah SWT telah mengkhususkan kepada Nabi Ibrahim AS beberapa kelebihan dan kedudukan yang mulia. Di dalam al-Quran, Baginda adalah Imam, Ummah, al-Hanif dan al-Qanit kepada Allah SWT. Kesemua para nabi selepas baginda dinisbahkan kepada baginda, demikian juga kesemua pengikut syariat selepas baginda beriman kepada baginda termasuk umat Islam, Krisian dan Yahudi.

Selain itu, Nabi Ibrahim AS merupakan Nabi yang paling utama selepas Nabi Muhammad SAW. Kerana itu Allah SWT memilih baginda sebagai Khalil (kekasih)Nya di dalam firmanNya:

وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah telah memilih Ibrahim sebagai Khalil.” (al-Nisa”: 125)

Kesemua para Nabi yang datang selepas Nabi Ibrahim adalah dari nasab baginda melalui Nabi Ishak dan Ya’qub. Melainkan Nabi Muhammad SAW, dimana baginda melalui Nabi Ismail bin Ibrahim. Melalui Nabi Ibrahim dan anak baginda Nabi Ismail tersebarnya bangsa Arab.

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنْ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا

Maksudnya: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu, ikutilah agama Ibrahim yang Hanif.” (al-Nahl: 123)

Demikianlah yang diarahkan kepada Nabi Muhammad SAW, maka kita adalah pengikut kepada Nabi Muhammad SAW. Kita juga merupakan umat yang lebih berhak terhadap nabi Ibrahim berbanding umat yang lain seperti firman Allah SWT:

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang lebih utama terhadap Nabi Ibrahim ialah mereka yang mengikutnya dan mengikut Nabi ini (Muhammad) dan mereka yang beriman (kepada Nabi Muhammad).” (Ali Imran: 68)

Allah SWT juga berfirman sebagai bantahan kepada Yahudi dan Kristian:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيّاً وَلا نَصْرَانِيّاً وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفاً مُسْلِماً وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “dan bukanlah Ibrahim itu seorang Yahudi dan bukan juga seorang Kristian. Akan tetapi baginda adalah seorang hanif lagi muslim, dan bukanlah baginda seorang dari kalangan musyrikin.” (Ali Imran: 67)


Cetak  
Wallahu a'lam