Isti'azah iaitulah bacaan أعوذ بالله من الشيطان الرجيم, antaranya dibaca ketika hendak beribadat dengan membaca alQuran. Adapun jika membaca mana-mana ayat alQuran bukan dengan tujuan beribadat dengan bacaan, sebaliknya bagi tujuan mendatangkan bukti atau berhujah dengan ayat alQuran, seperti khatib dan penceramah dalam khutbah dan ceramah mereka. Maka isti'azah tidak disunatkan lagi.
Kata al-Imam alSuyuthi: "dan yang jelas bagi ku dari sudut nukilan dan pendalilan bahawa seseorang berkata: "Firman Allah Taala, dan (terus) dia sebutkan ayat (alQuran) tanpa perlu al-Istiaazah (baca A'uzubillah). Maka inilah yang thabit pada hadis-hadis dan athar-athar dari perbuatan Rasulillah SAW, para sahabat, para tabi'ien dan generasi selepas mereka." (alHawi Li alFatawi)
Kata al-Imam alSuyuthi RH:
"Dan hadis-hadis juga athar-athar dalam hal itu (tak perlu baca isti'azah jika menyebut ayat alQuran bukan tujuan beribadah dengan bacaan) amat banyak untuk dihimpunkan. Maka yang benar adalah berpada menyebut ayat alQuran tanpa perlu membaca isti'azah (jika dengan tujuan menyebut dalil dan berhujjah) sebagai mengikut yang warid dalam hal tersebut. Ini kerana bab tersebut termasuk dalam bab mengikut Nabi SAW. Manakala membaca istiazah yang diperintahkan dalam firman Allah Taala:
( فإذا قرأت القرآن فاستعذ )
Maksudnya: "Maka apabila kamu hendak membaca alQuran, mintalah perlindungan (baca Isti'aazah).." hanya ketika hendak membaca alQuran untuk tilawah. Adapun menyebutkan satu ayat dari alQuran untuk berhujjah dan menjadikan dalil untuk sesuatu hukum, maka tidak perlu. Demikian juga jika seseorang berkata: "Firman Allah Taala", selepas membaca a'uzu billah" adalah satu susunan ayat yang tidak memiliki makna. Tiada juga padanya suatu keterikatan dengan apa-apa zorof. Jika diandaikan keterikatannya dengan ungkapan "telah berkata" maka padanya terdapat makna yang rosak.
Jika seseorg berkata: "Firman Allah: (setelah itu dia membaca) A'uzubillahi minas syaitanir rajim, kemudian dia menyebut ayat alQuran, di dalamnya terdapat kerosakan pada menjadikan isti'aazah sebagai firman Allah sedang ia bukan dari firman Allah.
Jika didahulukan isti'aazah, kemudian dituruti dengan berkata: "Firman Allah" seterusnya menyebut ayat alQuran maka ia lebih sesuai dari dua gambaran (sebelumnya), melainkan ia menyalahi yang warid dan menyalahi suatu kebiasaan menyambung akhir istiaazah dengan awal ayat yang hendak dibaca tanpa diselangi dengan apa-apa pemisah. Tidak diragukan lagi bahawa perbezaan diantara membaca alQuran dengan tujuan tilawah (baca sebagai ibadat) dengan mendatangkan mana-mana ayat alQuran bagi tujuan dijadikan hujjah adalah suatu yang terang lagi jelas."