AL-HAWQALAH
Satu Dari Perbendaharaan Syurga
Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir binSahak
Ungkapan al-Hawqalah
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Makna Ungkapan al-Hawqalah
Tiada keupayaan bagi kami untuk melakukan ketaatan melainkan dengan (bantuan dan kehendak) dari Allah, dan tiada kekuatan bagi kami untuk menjauhi kemaksiatan melainkan dengan (bantuan dan kehendak) dari Allah.” (Dinisbahkan penjelasan makna ini kepada Ibn ‘Abbas seperti yang terdapat di dalam al-Durr al-Mathur fi al-Tafsir bi al-Ma’thur oleh al-Suyuthi 5/393)
Ungkapan zikir ini berupa pelengkap hidup seseorang muslim. Orang yang menyebutnya bererti mengaku, dia tidak memiliki sebarang keupayaan dan kekuatan sama ada untuk mendapatkan apa-apa kebaikan atau menolak apa-apa keburukan, tiada sebarang upaya untuk mengelak maksiat dan melakukan ketaatan, tiada upaya untuk membebaskan diri dari sebarang penyakit dan berada dalam keadaan sihat, tiada upaya untuk bebas dari lemah kepada memperolehi kekuatan, hatta dia tiada upaya melaksanakan sesuatu di dalam hidupnya, melainkan dengan bantuan dan kehendak dari Allah Yang Maha Agung jua.
Kelebihan al-Hawqalah
- Perbendaharaan Syurga berdasarkan hadis Abu Musa al-Asy’ari RA yang berkata:
كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ- صلى الله عليه وسلم- فَجَعَلَ النَّاسُ يَجْهَرُوْنَ فِيْ التَّكْبِيْرِ، فَقَالَ النَّبِيِّ- صلى الله عليه وسلم-:"أَيُّهَا النَّاس، ارْبَعُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ؛ إِنَّكُمْ لَا تَدْعُوْنَ أَصُمَّ وَلَا غَائِبًا، ولكن تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا بصيرا، ثُمَّ أَتَى عَلَيَّ وَأَنَا أَقُول فِيِ نَفْسِي: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، فَقَالَ: "يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ! قُلْ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ
Mafhumnya: “Kami dahulu pernah bersama dengan Nabi SAW (dalam suatu permusafiran). Orang ramai bertakbir dengan kuat. Lalu Nabi SAW bersabda: “Wahai sekelian orang, kesihanilah diri kami sendiri, sesungguhnya kamu semua bukan memohon kepada zat yang pekak dan jauh, sebaliknya kamu semua berdoa kepada tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha memerhatikan. Kemudian baginda datang kepadaku, ketika itu aku membaca لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ. Baginda bersabda kepadaku: “Wahai ‘Abd Allah bin Qais, ucapkanlah: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ sesungguhnya ia adalah salah satu perbendaharaan (harta bernilai yang tersimpan) di dalam syurga.” (HR al-Bukhari, hadis bilangan 6384)
- Perbendaharaan Berharga Dari Bawah ‘Arasyh berdasarkan hadis Abi Zhar RA yang berkata:
أَمَرَنِي خَلِيلِي بِسَبْعٍ: أَمَرَنِي بِحُبِّ الْمَسَاكِينِ وَالدُّنُوِّ مِنْهُمْ، وَأَمَرَنِي أَنْ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ دُونِي وَلَا أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ فَوَقِي، وَأَمَرَنِي أَنْ أَصِلَ الرَّحِمَ وَإِنْ أَدْبَرَتْ، وَأَمَرَنِي أَنْ لَا أَسْأَلَ أَحَدًا شَيْئًا، وَأَمَرَنِي أَنْ أَقُولَ بِالْحَقِّ وَإِنْ كَانَ مُرًّا، وَأَمَرَنِي أَنْ لَا أَخَافَ فِي اللهِ لَوْمَةَ لَائِمٍ، وَأَمَرَنِي أَنْ أُكْثِرَ مِنْ قَوْلِ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، فَإِنَّهُنَّ مِنْ كَنْزٍ تَحْتَ الْعَرْشِ
Maksudnya: “Kekasihku (Nabi SAW) telah memerintahkan kepadaku tujuh perkara: (1) “baginda memerintahkan daku mencintai orang-orang miskin dan mendampingi mereka, (2) Baginda memerintahkan daku untuk melihat orang yang lebih bawah dan jangan melihat orang yang lebih tinggi. (3) baginda memerintahkan suoaya aku menghubungkan salaturrahim sekalipun orang itu berpaling dari aku. (4) baginda memerintahkan daku agar tidak meminta sesuatupun dari seseorang, (5) baginda memerintahkan daku agar berkata benar sekalipun pahit (6) baginda memerintahkan daku agar tidak takutkan celaan orang yang mencela kerana Allah (7) baginda memerintahkan daku agar memperbanyakkan ucapan لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ kerana ia merupakan satu perbendaharaan di bawah ‘Arasy.” (HR Ahmad di dalam Musnadnya bilangan 21415. Dinilah sahih oleh para pentahkik kitab al-Musnad li al-Imam Ahmad)
- Penghapus dosa berdasarkan hadis ‘Abd Allah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA, Nabi SAW bersabda:
مَا عَلَى الأَرْضِ رَجُلٌ يَقُولُ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، واللَّهُ أَكْبَرُ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا باللَّهِ، إِلاَّ كُفِّرَتْ عَنْهُ ذُنُوبُهُ، وَلَوْ كَانَتْ أَكْثَرَ مِنْ زَبَدِ الْبَحْرِ
Maksudnya: “Tiada di atas muka bumi ini seorang lelaki yang mengucapkan: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، واللَّهُ أَكْبَرُ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا باللَّهِ (bermaksud: “Tiada tuhan yang layak disembah sebenar-benarnya melainkan Allah, dan Allah itu adalah tuhan yang Maha Besar, maha suci Allah (dari sebarang kekurangan), segala pujian adalah milik Allah, tiada daya-upaya dan kekuatan melainkan dengan kehendak Allah” melainkan akan dihapuskan dosa-dosanya sekalipun dosanya lebih banyak dari buih di lautan.” (HR Ahmad di dalam Musnadnya bilangan 6479. Kata kumpulan pentahkik kitabnya: “Isnadnya Hasan.”)
- Pelindung Dari Syaitan berdasarkan hadis Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:
إِذَا خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ: فَقَالَ: بِسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا باللَّهِ، فَيُقَالُ لَهُ: حَسْبُكَ، قَدْ كُفِيتَ وَهُدِيتَ وَوُقِيتَ، فَيَلْقَى الشَّيْطَانُ شَيْطَانًا آخَرَ فَيَقُولُ لَهُ: كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ كُفِيَ وَهُدِيَ وَوُقِيَ
Maksudnya: “Apabila seseorang itu keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: بِسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا باللَّهِ akan dikatakan kepadanya: “memadai bagimu, sesungguhnya kamu telah dikurniakan kecukupan, hidayah dan perlindungan.” Lalu satu syaitan bertemu dengan syaitan yang bekerja menyesatkan orang itu seraya berkata: “Bagaimana kamu (hendak menyesat dan mengganggung orang itu yang telah diberi kecukupan, hidayah dan perlindungan?” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud bilangan 4249)
- Satu Pintu Dari Pintu-Pintu Syurga berdasarkan hadis Qais bin Sa’ad bin ‘Ubadah yang menceriatakan bahawa bapanya telah menyerahkannya kepada Nab SAW sebagai khadam baginda. Satu hari Nabi SAW datang kepadanya yang sedang menunaikan solat sunat dua rakaat, baginda bersabda:
“Mahukah kamu aku tunjukkan satu pintu dari pintu-pintu syurga?” Aku menjawab: “Mahu wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “(iaitulah) لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا باللَّهِ.” (HR Ahmad di dalam Musnadnya. Kata kumpulan pentahkik kitab: “Hasan lighairih.”)
al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah RH berkata:
وسمعت شيخ الإسلام ابن تيمية - رحمه الله - يذكر أثرًا في هذا الباب، وهو: "أن الملائكة لما أُمروا بحمل العرش، قالوا: يا ربنا كيف نحمل عرشك وعليه عظمتك وجلالك؟ فقال: قولوا: لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم، فلما قالوها حملوه
Maksdunya: “Aku pernah mendengar Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH berkata: “Disebut di dalam satu riwayat athar dalam bab ini iaitulah: “Bahawasanya para malaikat ketika mana diperintahkan memikul ‘Arasyh mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, bagaimanakah kami mampu memikul ‘Arasyh-Mu ini?” Lalu Allah berfirman: “Ucapkanlah لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا باللَّهِ اْلعَلِيِّ الْعَظِيْمِ. Apabila para malaikat itu mengucapkannya, mereka mampu memikulnya.” (al-Mustadrak ‘ala Majmu al-Fatawa 1/158)
Kata Beliau lagi:
وهذه الكلمة لها تأثير عجيب في معاناة الأشغال الصعبة، وتحمل المشاق، والدخول على الملوك، ومن يُخاف، وركوب الأهوال
Maksudnya: “Kalimah (al-hawqalah) ini memiliki kesan yang hebat dalam menghadapi keperitan, menanggung kesukaran, menemui para pemerintah dan orang yang dibimbangi kejahatannya dan menempuh keperitan.” (al-Wabil al-Sayyib, halaman 187)