Doa Ketika Ditimpa Kesusahan, Kesedihan Dan Kebimbangan

DOA KETIKA DITIMPA KESUSAHAN[1], KEBIMBANGAN[2] DAN KESEDIHAN[3]

  • Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW pernah bersabda: “Tiada seseorang hamba ketika ditimpa rasa bimbang dan sedih sama sekali lalu membaca:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ.

Mafhumnya: “Ya Allah! Sesungguhnya daku adalah hambaMu, anak kepada hamba lelakiMu dan anak kepada hamba perempuanMu. Ubun-ubunku di dalam gengaman tanganMu, telah berlalu atasku hukumanMu, telah adillah untukku ketentuanMu, Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama (baik) yang telah Engkau namakan untuk diriMu, atau dengan setiap nama yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau dengan nama yang Engkau khususkan pengetahuan tentangnya kepada diriMu dalam ilmu ghaib di sisiMu, agar Engkau menjadikan Al-Qur’an itu sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.”  Melainkan Allah akan menghilangkan rasa bimbangnya dan menggantikan rasa sedihnya dengan kegembiraan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah: Sewajarnya kami mempelajari (menghafal) kalimat-kalimat doa ini! Baginda menjawab: Sudah tentu, bagi yang  mendengarnya untuk dia mempelajari.” (HR Ahmad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

Kalimat-kalimat yang disusun di dalam doa nabawi ini mengandungi maksud yang agung, semestinya bagi setiap muslim mempelajarinya, bersungguh-sungguh menyebutnya ketika ditimpa kesusahan, kebimbangan dan kesedihan. Dan perlu juga diketahui bahawa doa dapat memberi kesan jika dibaca besertakan kefahaman maksudnya, merealisasikan kandungannya dan mengamalkan tuntutannya. Adapun sekadar membaca sahaja tanpa kefahaman, tanpa merealisasikan kandungan dan tanpa mengamalkan tuntutannya, maka ia kurang memberi kesan dan kurang mendatangkan faedah.

            Jika diperhatikan kepada doa ini, kita akan dapati ia merangkumkan empat perkara utama. Dimana seseorang hamba tidak akan dapat mencapai kebahagiaan, tidak akan dapat juga menghilangkan kesusuahan, kesedihan dan kebimbangan melainkan dengan mempraktikan keempat-empat perkara asas ini, iaitulah:

Pertama: Merealisasikan maksud ibadah kepada Allah dan menyempurnakan rasa kehinaan, kerendahan diri di hadapan Allah SWT, mengakui bahawa dirinya, bapa dan ibunya adalah hamba milik Allah. Mereka amat memerlukan pemeliharaan dariNya. Apabila ia sedar kedudukannya ini, ia akan menggerakkannya untuk taat kepada perintah Allah, menjauhi laranganNya, berterusan memerlukan Allah, berlindung kepadaNya, meminta pertolongan, bertawakkal kepadaNya SWT. Hatinya juga tidak akan bergantung kepada selain Allah sama ada dalam rasa cinta, takut dan harap. Hal ini tergambar dari ungkapan yang ada di dalam doa ini, iaitulah: Ya Allah! Sesungguhnya daku adalah hambaMu, anak kepada hamba lelakiMu dan anak kepada hamba perempuanMu.

Kedua:  Beriman dengan ketetapan dan ketentuan Allah, bahasa setiap sesuatu yang dikehendaki olehNya, maka hal itu akan berlaku, dan setiap sesuatu yang tidak dikehendakiNya, maka perkara itu tidak akan berlaku. Dialah Allah yang tiada pencela kepada hukum-hukumNya, dan tiada yang dapat menolak ketentuanNya. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: ”apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, Maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah Maka tidak seorangpun yang sanggup melepaskannya sesudah itu. dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Fatir: 2) kerana itu di dalam doa ini terdapat ungkapan: Ubun-ubunku di dalam gengaman tanganMu telah berlalu atasku hukumanMu, telah adillah untukku ketentuanMu.Maka kehidupan seseorang hamba, kematian, kebahagiaan, kesedihan, keselamatan dan kecelakaan, semuanya berada dalam kuasa Allah SWT. Apabila seseorang hamba mengimani bahawa ubun-ubunnya berada dalam gengaman Allah, maka dia tidak akan bergantung kepada makhluk yang lain, pada ketika itu telah luruslah tauhid, tawakkal dan ubudiyyahnya kepada Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT tentang Nabi Hud yang berkata kepada kaumnya:

Mafhumnya: ”Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. tidak ada suatu binatang melatapun (setiap makhluk yang bernyawa) melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya[724]. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus." (Huud: 56)

Ketiga: beriman kepada nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah, seterusnya bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat tersebut seperti firman Allah SWT:

Mafhumnya: ”hanya milik Allah asmaa-ul husna[Nama-nama yang Agung yang sesuai dengan sifat-sifat Allah], Maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. nanti mereka akan mendapat Balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (al-A’raaf: 180)

            Setiap hamba yang bertambah kefahamannya kepada nama dan sofat Allah, maka akan bertambah rasa khusyuknya, bertambah kukuh hubungannya dengan Allah. Demikian juga dia akan semakin jauh dari maksiat dan terjatuh dalam perkara yang dimurkai oleh Allah. Kerana itu para ulama salaf berkata: ”Sesiapa yang lebih mengetahui tentang Allah, maka dia adalah orang yang lebih takut kepadaNya.”  oleh itu perkara yang lebih mampu menghilangkan kesusahan, kesedihan dan kebimbangan adalah pengetahuan seseorang hamba akan keagungan dan kekuasaan tuhannya. Dia memakmurkan jantung hatinya dengan mengenali tuhannya yang Maha Agung dan Maha Mulia, selanjutnya dia bertawassul dengan nama dan sifat tuhannya. Kerana itu di dalam doa ini terdapat ungkapan:   Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama (baik) yang telah Engkau namakan untuk diriMu, atau dengan setiap nama yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau dengan nama yang Engkau khususkan pengetahuan tentangnya kepada diriMu dalam ilmu ghaib di sisiMu

Keempat: Memberi perhatian kepada al-Quran al-Karim yang berupa Kalam Allah yang tidak mengandungi sebarang kebatilan, sebaliknya dipenuhi dengan petunjuk, penyembuhan, kecukupan dan keselamatan. Justeru setiap hamba yang memberi perhatian kepada al-Quran sama ada dengan membaca atau menghafalnya, mengulangkaji dan memerhatikan isi kandungannya, beramal dengan tuntutannya pasti akan dapat mencapai kebahagiaan, ketenangan dan kelapangan dada, akan hilang juga semua kesedihan, kebimbangan dan kesusahan. Kerana itu terdapat di dalam doa ini ungkapan: agar Engkau menjadikan Al-Qur’an itu sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.”

Inilah dia empat perkara asas utama yang terdapat di dalam doa. Semestinya setiap muslim memerhatikannya dan berusaha merealisasikannya di dalam kehidupan seharian mereka, agar kita dapat mengecapi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW di dalam doa ini iaitulah: Melainkan Allah akan menghilangkan rasa bimbangnya dan menggantikan rasa sedihnya dengan kegembiraan.Hanya kepada Allah kita memohon bantuan dan ketepatan dalam beramal.

-------------------------------------- 

[1] الغَمُّ ialah sesuatu musibah yang sedang berlaku.

[2] الهَمُّ ialah sesuatu yang dibimbangi pada masa akan datang.

[3] الحُزْنُ ialah sesuatu musibah yang telah menimpa dan berlalu.


Cetak  
Wallahu a'lam