KEPENTINGAN DOA
Doa memiliki kepentingan, hasil dan rahsia yang amat besar, antaranya:
- Satu bukti ketaatan kepada Allah SWT dan kepatuhan kepada arahanNya. Allah SWT berfirman:
Mafhumnya: “dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina.” (Ghafir: 60)
firmanNya lagi:
Mafhumnya: “dan berdoalah kepada Allah dengan penuh ikhlas dan kepadanya semata-mata; (kerana) sebagaimana ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya).” (al-A’raaf: 29)
- Bebas dari Takabbur. Allah SWT berfirman:
Mafhumnya: “dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina.” (Ghafir: 60)
Al-Imam al-Syaukani berkata tentang ayat ini: “Dan ayat yang mulia ini menunjukkan doa termasuk di dalam ibadah, sesungguhnya Allah SWT menyuruh para hambaNya untuk berdoa kepadaNya: “Sesungguhnya orang-oarng yang sombong takabbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu.” Dapat diambil faedah dari ayat ini bahawa doa adalah ibadah, dan meninggalkan doa kepada Allah SWT adalah suatu bentuk takabbur, bagaimana seseorang hamba boleh bertakabbur dengan tidak berdoa kepada tuhan yang menciptakannya, memberi rezeki kepadanya, menciptanya yang sebelumnya tiada, bahkan menciptakan alam keseluruhannya, pemberi rezeki, menghidup dan mematikan, yang memberi balasan pahala dan yang mengenakan hukuman ke atas dosa? Maka tidak ragu lagi, takabbur seperti ini adalah sejenis dari gila, dan satu cawangan dari kufur nikmat.” (Tuhfah al-Zakirin Oleh al-Imam al-Syaukani. Hal: 28)
- Doa adalah ibadah. Antara dalilnya adalah ayat dan penerangan sebelum ini. selain itu hadis daripada al-Nukman bin Basyir RA, baginda SAW bersabda:
الدُّعَاءُ هُوَ اْلعِبَادَة
Mafhumnya: “Doa itu adalah ibadah.” (HR al-TIrmizi, dan katanya: Hasan Sahih. Diriwayatkan juga oleh Abu Daud dan Ibn Majah. Dinilai Sahih juga oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)
- Doa suatu perkara yang paling mulia di sisi Allah. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
لَيْسَ شَيْءٌ أَكْرَمُ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ الدُّعَاء
Mafhumnya: “Tiada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah berbanding Doa.” (HR Ahmad, al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad, Ibn Majah dan al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Adab al-Mufrad)
Al-Syaukani berkata: “Dikatakan hal ini sedemikian kerana doa membuktikan kekuasaan Allah Taala dan kelemahan hamba yang memohon. Yang lebih utama hendaklah dikatakan, ketikamana doa itu merupakan satu ibadah bahkan otak kepada ibadah seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. maka ia menjadi ibadah yang paling mulia dari sudut ini. Hal ini juga disebabkan kerana ibdahlah Allah SWT menciptakan makhluk, seperti firmanNya:
Mafhumnya: “dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (al-Zariaat: 56)
- Doa adalah suatu yang disukai oleh Allah SWT. Daripada Ibn Mas’ud RA secara marfu’:
سَلُوْا اللهَ مِنْ فَضْلِهِ؛ فَإِنَّ اللهَ يُحِبُّ أَنْ يُسْأَلَ
Mafhumnya: “Mintalah kepada Allah dengan kelebihanNya, kerana sesungguhnya Allah menyukai apabila ia diminta.” (HR al-Tirmizi, dan beliau menilainya sebagai hadis Lemah. Lihat juga al-Silsilah al-Doiefah)
- Doa dapat terhidar dari kemurkaan Allah. Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَمْ يَسْأَلِ اللهَ يَغْضبْ عَلَيْهِ
Mafhumnya: “Sesiapa yang tidak berdoa kepada Allah, Allah akan murka kepadanya.” (HR Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Adab al-Mufrad), benarlah pujangga Arab yang menyebut:
لا تسألنَّ بُنَيَّ آدمَ حـاجةً *** وسل الذي أبوابُهُ لا تحجبُ
اللهُ يغضبُ إن تركت سؤالَه*** وبنيُّ آدمَ حين يُسألُ يغضبُ
“Jangan sekali-kali kamu meminta dari anak Adam sesuatu keperluan,
Mintalah kepada (Tuhan) yang pintuNya tidak pernah tertutup,
Sesungguhnya, Allah murka jika kamu tidak meminta kepadaNya,
Sedangkan anak Adam, apabila diminta kepadanya, dia akan marah.”
Doa merupakan bukti tawakkal kepada Allah SWT. Hakikat tawakkal ialah penyandaran jantung hati hanya kepada Allah SWT, disamping menempuh sebab. Ia dapat dizahirkan melalui doa. Hal ini sedemikian kerana seseorang yang berdoa sedang memohon pertolongan daripada Allah, menyerahkan semua urusannya kepada Allah bukan selainNya.
- Doa dapat menjadikan seseorang memiliki harga diri yang tinggi. seseorang yang berdoa kepada Allah SWT, bermakna dia telah bergantung harap kepada sesuatu yang amat kukuh dalam urusannya. Dia tidak lagi mengharapkan bantuan manusia. Oleh yang demikian dia selamat dari kejahatan manusia. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH berkata: “Setiap kali bertambah kuat rasa keperluan seseorang hamba kepada kelebihan dan rahmat Allah untuk memenuhi keperluan dan menolak kemudharatan, semakin kuat juga ubidiyyahnya kepada Allah SWT, dan dia bebas dari bergantung harap selain Allah…” (al-Ubudiyyah oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH)
- Orang yang berdoa berhindar dari kelemahan. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ أَعْجَزَ النَّاسِ مَنْ عَجَزَ بِالدُّعَاءِ ، وَإِنَّ أَبْخَلَ النَّاسِ مَنْ بَخِلَ بِالسَّلامِ
Mafhumnya: “Sesungguhnya manusia yang paling lemah ialah sesiapa yang lemah dengan doa, dan manusia yang paling bakhil ialah sesiapa yang bakhil dari mengucapkan salam.” (HR Ibn Hibban. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)
- Mendapat jaminan keberhasilan dari Allah SWT. Seseorang yang berdoa dengan memenuhi syarat-syarat dimakbulkan doa, akan memperolehi kebaikan dan habuan dari doanya. Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ أَحَدٍ يَدْعُو بِدُعَاءٍ إِلَّا آتَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ ، أَوْ كَفَّ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهُ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ
Mafhumnya: “Tiada seorang hamba yang memohon dengan sesuatu doa, melainkan Allah akan mengurniakan apa yang dipohonnya, atau menyelamatkannya dari sesuatu keburukan yang setimpal dengan permohonannya selagi dia tidak memohon untuk melakukan dosa atau memutuskan silatur rahim.” (HR Ahmad dan al-Tirmizi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)
Daripada Abi Sa’id al-Khudriy RA, Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ ، قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ
Mafhumnya: “Tiada seseorang muslim yang berdoa, tiada di dalam doanya permohonan dosa atau memutuskan silaturrahim, melainkan Allah SWT akan memakbulkannya melalui salah satu dari tiga cara: samada disegerakan memperolehi permintaannya, atau samada disimpankan perkenan doanya untuk dikurniakan pada hari kiamat kelak, atau samada dipalingkan darinya keburukan yang setimpal dengan permintaannya. Para sahabat berkata: Jika demikian, kami akan perbanyakkan doa." Jawab Nabi SAW “Allah lebih banyak akan memakbulkan doa." (HR al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Adab al-Mufrad)
Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَنْصُبُ وَجْهَهُ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَسْأَلُهُ مَسْأَلَةً إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهَا ، إِمَّا عَجَّلَهَا فِي الدُّيْنَا ، وَإِمَّا ذَخَرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مَا لَمْ يَعْجَلْ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا عَجَلَتُهُ ؟ قَالَ : يَقُولُ : قَدْ دَعَوْتُ وَدَعَوْتُ فَلَا أُرَاهُ يُسْتَجَابُ لِي
Mafhumnya: “Tiada seseorang muslim yang mengangkat mukanya menghadap Allah AWJ, kerana memohon sesuatu permohonan, melainkan Allah akan memakbulkan permohonannya itu. Sama ada disegerakan pemberiannya ketika di dunia, atau sama ada disimpan untuk diberi kepadanya pada hari kiamat selagi dia tidak gopoh.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana yang dikatakan gopoh?” Baginda bersabda: “Iaitulah apabila seseorang berkata, aku telah berdoa, dan terus berdoa, namun aku tidak dapati permohonan itu diperkenankan untukku.” (HR Ahmad dan al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Adab al-Mufrad)
Kata al-Imam al-Syaukani RH: “Semua hadis-hadis yang lalu menunjukkan doa seseorang muslim tidak akan diabaikan, sebaliknya akan diperkenankan permohonannya, samada dengan disegerakan atau dilewatkan, sebagai satu kelebihan dari Allah SWT.” (Lihat Tuhfah al-Zakirin oleh al-Syaukani)
Kata al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Setiap orang yang berdoa pasti akan diperkenankan permohonannya, akan tetapi dengan cara perkenan yang berbagai, kadang-kala diperkenankan apa yang dia minta, kadang-kala pula dengan diberi ganti dengan yang lain.” (Lihat Fath al-Bari 11/95)
- Doa dapat menolak sesuatu bala’ sebelum ia berlaku. Nabi SAW bersabda:
لا يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلا الدُّعَاءُ
Mafhumnya: “Tidak dapat menolak al-Qadar, melainkan doa.” (HR Ahmad, Ibn Majah dan al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)
Kata al-Imam al-Syaukani tentang hadis ini: “darinya terdapat petunjuk bahawa Allah SWT menolak dengan sebab doa apa-apa ketetapanNya ke atas seseorang hamba. Tentang perkara ini terdapat banyak hadis.” Seterusnya beliau juga menyebut: “kesimpulannya, bahawa doa juga termasuk di dalam Qadar (ketentuan) Allah AWJ, kadang-kala terlaksana ke atas seseorang hamba sesuatu ketentuan yang muqayyad jika hamba tadi tidak berdoa (untuk dielakkan), apabila dia berdoa, maka ia bebas dari ketentuan tersebut.”[1] (Lihat Tuhfah al-Zakirin hal: 29-30)
- Doa dapat mengangkat bala’ setelah ia berlaku. Nabi SAW bersabda:
مْنَ فُتِحَ لَهُ مِنْكُمْ بَابُ الدُّعَاء، فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ ، وَمَا سُئِلَ اللَّهُ شَيْئًا يُعْطى أحبَّ إليه من أن يسأل العافية إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلُ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللَّهِ بِالدُّعَاءِ
Mafhumnya: “Sesiapa dikalangan kamu yang dibuka untuknya pintu doa, bermakna telah dibuka untuknya pintu-pintu rahmat. Tiadalah dipohon kepada Allah sesuatu perkara yang diperkenankan yang lebih disukaiNya berbanding dipohon ‘afiah, sesungguhnya doa bermanfaat ke atas perkara yang telah berlaku dan yang belum berlaku, oleh yang demikian wahai hamba Allah sekelian, berdoalah.” (HR al-Tirmizi, beliau menyebut: “Ganjil (gharib), Tidak kami ketahui hadis ini melainkan dari hadis ‘Abdul Rahman bin Abi Bakr al-Qurasyi. Beliau seorang yang lemah di dalam hadis. Sebahagian ulama melemahkannya kerana hafalannya (yang bermasalah).” Al-Albani pula menilai hadis ini sebagai Hasan di dalam Sahih al-Jami’)
Justeru, seseorang yang mendapati ada rangsangan diri untuk berdoa hendaklah dia memperbanyakkan doa, kerana doanya ketika itu akan diperkenankan dengan kelebihan dan rahmat daripada Allah SWT. Nabi SAW bersabda:
لاَ يُغْنِي حَذَرٌ مِنْ قَدَرٍ ، وَالدُّعَاءُ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ ، وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، وَإِنَّ الْبَلاءَ لَيَنْزِلُ فَيَتَلَقَّاهُ الدُّعَاءُ فَيَعْتَلِجَانِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Mafhumnya: “Tidak bermanfaat kebimbangan dengan Qadar, dan doa iu bermanfaat terhadap ketentuan yang telah diturunkan dan yang belum diturunkan, sesungguhnya bala’ ketika turun akan bertembung dengan doa, kedua-dua akan akan terus bertembungan sehinggalah hari kiamat.” (HR al-Tabarani. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)
- Doa melahirkan rasa belas kasihan sesama muslim. Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Mafhumnya: “Tiada seseorang muslim yang mendoakan saudaranya diluar pengetahuannya saudaranya itu, melainkan malaikat berdoa pula untuknya: Dan untukmu juga perkara yang seumpama dengannya.” (HR Muslim)
Imam al-Nawawi berkata di dalam Syarah Sahih Muslim: “Sebahagian Salaf, apabila hendak berdoa untuk diri mereka sendiri sesuatu perkara, mereka akan berdoakan perkara tersebut kepada saudara semuslim mereka terlebih dahulu, kerana ia merupakan sebab dimustajabkan doa dan mendapat permohonan yang sama seperti permohonannya untuk saudara semuslimnya.” (Lihat Syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi)
- Sifat hamba-hamba yang bertakwa. Allah SWT berfirman:
Mafhumnya: “Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba Dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami Dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada kami.” (al-Anbiyaa’: 90)
- Doa merupakan sebab diturunkan bantuan dan keteguhan ketika menghadapi musuh. Allah SWT berfirman tentang Tolut dan para tenteranya ketika memerangi Jalut dan tenteranya:
Mafhumnya: “dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan teguhkanlah pendirian Kami serta menangkanlah Kami terhadap kaum Yang kafir" (al-Baqarah: 250)
Maka hasilnya, firman Allah SWT:
Mafhumnya: “oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut Dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta Dalam tentera Talut) membunuh Jalut.” (al-Baqarah: 251)
- Doa merupakan bukti keimanan kepada Allah SWT dan pengakuan terhadap Rububiyyah, Uluhiyyah dan al-Asma’ wa al-Sifat. Hal ini kerana seseorang yang berdoa kepada Allah SWT bermakna dia beriman bahawa Allah SWT adalah tuhan Yang Maha Kaya, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Berkuasa, satu-satunya Tuhan yang berhak disembah berbanding yang lain.
----------------------------------------
[1] Allah SWT berfirman:
Mafhumnya: “Allah menghapuskan apa jua Yang dikehendakiNya dan menetapkan apa jua Yang dikehendakiNya. dan (ingatlah) pada sisiNya ada Ummu al-Kitab". (al-Ra’d: 39)
Dari zahir ayat ini menunjukkan (ketentuan atau takdir) yang ditulis akan berlaku perubahan pada sebahagiannya. Terdapat banyak perbezaan pandangan para ulama tafsir ketika menafsirkan ayat ini. secara ringkasnya, kebanyakan pandangan tersebut kembalikan kepada tiga pandangan di bawah:
Pertama: Ayat tersebut umum merangkumi setiap sesuatu yang terdapat di dalam kitab catatan ketentuan. Allah memadam atau menghapuskan apa-apa yang dikehendakiNya, maka penghapusan dan perubahan itu berlaku sekalipun di dalam kitab asal iaitulah Ummu al-Kitab (yang berada di al-Luh al-Mahfuz). Pandangan ini menjadi pilihan al-Qurtubi di dalam al-Jami’ Li Ahkam al-Quran 9/216. (Lihat Fath al-Qadir oleh al-Syaukani 3/88).
Kedua: Yang dimaksudkan dihapus dan diubah itu ialah apa-apa yang telah berlalu ketentuannya, manakala yang belum berlalu ketentuannya ditetapkan sehinggalah ia berlaku. Tiada sebarang perubahan, sebaliknya apa yang diubah dan dihapus itu adalah sesiapa yang telah datang ajalnya, dan ditetapkan apa-apa yang masih hidup dan belum datang ajalnya. Pandangan ini menjadi pilihan al-Tobari di dalam Tafsir al-Tobari 16/488
Ketiga: Allah menghapuskan apa-apa yang dikehendakiNya terdiri dari maklumat yang dicatit oleh para malaikat seperti kerja-buat harian setiap hamba, demikian juga catitan malaikat berkaitan umur dan seumpamanya. Pandangan ini dipilih oleh Ibn ‘Atiyyah di dalam al-Muharrar al-Wajiz 10/49, demikian juga al-Saa’di di dalam Taisir al-Karim al-Rahman 2/476. Pandangan ini adalah pandangan yang lebih Rajih dan lebih unggul menghampiri kebenaran, terkumpul padanya dalil dan nas. Hal ini kerana makhluk pertama yang diciptakan oleh Allah ialah al-Qalam, kemudian Allah berfirman kepada al-Qalam: “Tulislah!” al-Qalam bertanya: “Apa yang hendak ditulis?” Firman Allah: “Tuliskan setiap sesuatu sehingga ke hari kiamat.” Firman Allah SWT:
Mafhumnya: “Apakah kamu tidak mengetahui bahwa Sesungguhnya Allah mengetahui apa sahaja yang ada di langit dan di bumi?; Sesungguhnya yang demikian itu terdapat dalam sebuah kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu Amat mudah bagi Allah.” (al-Hajj: 70)
FirmanNya lagi:
Mafhumnya: “dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah.” (Fatir: 11). Catitan yang dimaksudkan di sini ialah catitan terdahulu berdasarkan ilmu Allah Yang Azali di dalam Ummu al-Kitab, dan ianya tidak akan berubah dan diganti. Adapun apa yang terdapat di dalam hadis Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari dan Muslim, riwayat Anas bin Malik RA, baginda bersabda:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِى رِزْقِهِ وَأَنْ يُنْسَأَ لَهُ فِى أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Mafhumnya: “Sesiapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambungkan Silaturrahim.” Yang dimaksudkan perubahan pada tambahan rezeki dan dipanjang umur di sini ialah berkaitan catitan yang terdapat pada tangan malaikat al-Hafazah terdiri dari catitan umur dan catitan yang diturunkan pada malam al-Qadr (Lailatul Qadar). Adapun catitan pada Ummu al-Kitab di Luh Mahfuz, ia tidak akan berubah dan dipadam, maka perubahan dan dipadam itu berlaku pada catitan yang bukan di Luh Mahfuz. Berkaitan persoalan ini Ibn ‘Abbas berkata: “Ianya dimaksudkan kepada dua kitab. Salah satunya selain dari Ummu al-Kitab, berlaku perubahan berdasarkan kehendak Allah SWT. Manakala di sisiNya pula ada Ummu al-Kitab, yang tidak ada sebarang perubahan.” (Lihat Tafsir al-Tobari 12/480). Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Ajal itu ada dua: Ajal Mutlak yang diketahui oleh Allah, dan Ajal Muqayyad. Di sini menjadi jelas sabdaan Nabi SAW: “Sesiapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambungkan Silaturrahim.” Hal ini kerana Allah SWT telah mengarahkan Malaikat mencatit untuk seseorang manusia sesuatu ketetapan ajal, dan berfirman: “Jika dia menyambungkan silaturrahim, panjangkan umurnya demikian demikian…” sedang Malaikat itu tidak tahu, apakah umur itu benar-benar ditambah ataupun tidak, sedangkan Allah Maha Mengetahui, apa yang menjadi ketetapan untuk seseorang itu, jika ajalnya telah datang, ia tidak akan terawal mahupun terlewat sedikitpun.” (Majmu’ al-Fatawa 8/517)