Tatacara Berdoa

TATACARA BERDOA

            Terdapat beberapa tatacara yang perlu diberi perhatian ketika berdoa. Ia merangkumi keadaan jasmani, ungkapan pembukaan dan penutup. Sebahagian perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut:

  • Memuji, Memuja Allah SWT dan berselawat kepada Nabi SAW sebelum membuat permohonan. Daripada Fudhalah bin ‘Ubaid RA, katanya:

 بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدًا إِذْ دَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " عَجِلْتَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي ، إِذَا صَلَّيْتَ فَقَعَدْتَ فَاحْمَدِ اللَّهَ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ ، وَصَلِّ عَلَيَّ ثُمَّ ادْعُهُ " ، قَالَ : ثُمَّ صَلَّى رَجُلٌ آخَرُ بَعْدَ ذَلِكَ ، فَحَمِدَ اللَّهَ وَصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " أَيُّهَا الْمُصَلِّي ادْعُ تُجَبْ "

Mafhumnya: “Suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang duduk (di dalam masjid), tiba-tiba salah seorang lelaki masuk dan menunaikan solat. Kemudian dia berdoa dengan menyebut: “Ya Allah ampunkan daku, Ya Allah rahmatilah daku.” Sabda Nabi SAW: “Engkau gopoh wahai orang yang berdoa. (sepatutnya) apabila engkau telah menunaikan solat dan duduk, maka bertahmidlah (pujilah) Allah dengan apa-apa yang layak untukNya, kemudian berselawat ke atasku, setelah itu barulah berdoa.” Tidak lama selepas itu masuk pula seorang lelaki lain dan menunaikan solat, setelah itu dia bertahmid kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi. Lalu baginda bersabda kepada orang tersebut: “Wahai orang yang telah menunaikan solat, berdoalah permohonan kamu akan diperkenankan.” (HR al-Tirmizi dan Abu Daud. Kata al-Tirmizi: Hadas ini Hasan)

Di dalam hadis lain, baginda bersabda:

كُلُّ دُعَاءٍ مَحْجُوبٌ حَتَّى يُصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Mafhumnya: “Setiap doa itu terhalang (dari dimakbulkan), sehinggalah terlebih dahulu berselawat ke atas Nabi SAW.” (HR al-Tabarani, al-Dailami dan al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

  • Memperakui diri banyak melakukan berdosa dan kesalahan. Hal ini dapat diperhatikan dari doa Nabi Yunus AS yang berupa sebuah doa yang agung, diganding di dalamnya pengakuan Rububiyyah Allah SWT dan pengakuan dosa, kesalahan dan kezaliman diri. Allah SWT berfirman tentang Nabi Yunus AS:

Mafhumnya: “dan (ingatlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) Dia menyangka Bahawa Kami tidak akan mengenakannya cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa Yang berlaku) maka ia pun menyeru Dalam keadaan gelap-gelita (di dalam perut ikan) Dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau! Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Yang menganiaya diri sendiri". (al-Anbiyaa: 87)

Demikian juga dengan Sayyidul Istighfar yang merupakan ungkapan istigfar yang paling utama. Dimana terkandung di dalamnya pengakuan kesalahan dan doa yang pernah dilakukan. Daripada Syaddad bin ‘Auf RA, Nabi SAW bersabda: “Sayyidul Istighfar adalah dengan seseorang hamba menyatakan:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ.

Mafhumnya: Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan aku. Aku adalah hambaMu. Aku sentiasa setia pada perjanjianku denganMu semampuku. Aku berlindung denganMu dari kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui kepadaMu banyaknya nikmatMu kepadaku dan aku mengakui juga banyaknya dosaku, oleh karena itu, ampunilah daku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau. Sesiapa yang mengucapkan istighfar ini pada siang hari (pagi hari), membenarkan dan berkeyakinan dengan isi kandungannya, jika dia mati pada hari tersebut sebelum petang, maka dia termasuk dari kalangan penghuni Syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada malam hari, membenarkan dan berkeyakinan dengan isi kandungannya, jika dia mati sebelum pagi hari, maka dia termasuk dari kalangan penghuni Syurga” (HR al-Bukhari)

  • Berdoa dengan merendahkan diri dan khusu’, berada cemas dan harap. Allah SWT berfirman tentang para Nabi:

Mafhumnya: “Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba Dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami Dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada kami.” (al-Anbiyaa’: 90)

  • Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan meminta. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

 لا يَقُولَنَّ أَحَدُكُمُ : اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ ، اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ ، وَليَعْزِمِ الْمَسْأَلَةَ ، فَإِنَّهُ لا مُكْرِهَ لَهُ

Mafhumnya: ”Jangan seseorang itu berkata: Ya Allah, ampunilah daku jika Kamu mahu. Ya Allah, rahmatilah daku jika kamu mahu. Sebaliknya hendaklah dia bersungguh-sungguh dalam permohonan, kerana permohonan seumpama itu tiada sebarang faedah.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

  • Berterusan dan mengulangi permintaan kepada Allah SWT. Hal ini menunjukkan harapan yang bersungguh dari seseorang hamba kepada Tuhannya. Daripada ’Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُلِحِّينَ فِي الدُّعَاءِ

Mafhumnya: ”Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berterusan dan mengulangi doanya.” (al-Hafidz Ibn Hajar al-’Asqalani berkata di dalam Fath al-Bari: ”Hadis ini dikeluarkan oleh al-Tabarani di dalam al-Doa dengan sanad para perawi yang thiqaat melainkan di dalamnya ada ’An’anah Baqiyyah[1] daripada ’Aisyah RA secara marfu’.” Hadis ini pula dinilai sebagai Palsu oleh al-Albani di dalam al-Irwa’ al-Ghalil)

  • Sentiasa berdoa kepada Allah dalam setiap keadaan, samada ketika susah mahupun senang. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرَبِ ، فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ

Mafhumnya: ”Sesiapa yang suka Allah memustajabkan permohonannya ketika kesempitan dan kesusahan, maka hendaklah dia perbanyakkan berdoa ketika di dalam kesenangan.”  (HR al-Tirmizi, al-Hakim dan al-Tabarani. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

  • Mengelak dari memohon keburukan untuk keluarga, harta dan diri sendiri. Hal ini kerana doa bertujuan memperolehi kebaikan dan menghindari keburukan. Nabi SAW bersabda:

لَا تَدْعُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ وَلا تَدْعُوا عَلَى أَوْلادِكُمْ، وَلا تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ، لاَ تُوَافِقُوا مِنَ  الله سَاعَةً يُسْأَلُ فِيْهَا عَطَاءً فَيَسْتَجِيبَ لَكُمْ

Mafhumnya: ”Jangan kamu semua meminta keburukan ke atas dirikamu sendiri, anak-anak dan harta. Kerana tidak bertepatan sesuatu masa mustajab dengan sesuatu permohonan, melainkan akan diperkenankan permohonan tersebut terhadap kamu.” (HR Muslim dan Abu Daud)

  • Mengulangi doa sebanyak tiga kali, berdasarkan sebuah hadis yang panjang dari Ibn Mas’ud RA, di dalamnya ada dinyatakan: “Setelah baginda SAW selesai menunaikan solat, baginda meninggikan suara dan memohon hukuman ke atas mereka (beberapa musyrikin yang menggangu baginda), dan baginda apabila berdoa, baginda akan berdoa sebanyak tiga kali. Baginda menyebut:

اللهم عليك بقريش، اللهم عليك بقريش، اللهم عليك بقريش

Mafhumnya: ”Ya Allah kenakan balasan ke atas orang-orang Quraisy, Ya Allah kenakan balasan ke atas orang-orang Quraisy, Ya Allah kenakan balasan ke atas orang-orang Quraisy.” (HR Muslim)

  • Menghadap Qiblat. Daripada Abdullah bin Zaid RA:

خَرَجَ النَّبِيُّ- صلى الله عليه وسلم- إِلَى هَذَا اْلمُصَلَّى يَسْتَسْقِي، فَدَعَا، وَاسْتَسْقَى، ثُمَّ اسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ وَقَلَّبَ رِدَاءَهُ

Mafhumnya: “Baginda keluar menuju ke tempat menunaikan solat untuk memohon hujan. Baginda berdoa dan memohon diturunkan hujan, baginda juga beralih menghadap kiblat dan menebalikkan selendang baginda.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dinyatakan:

اسْتَقْبَلَ رَسُوْلُ اللهِ الْكَعْبَةَ فَدَعَا عَلَى قُرَيْش

Mafhumnya: “Baginda mengadap Kaabah dan memohon hukuman dikenakan ke atas Quraisy.”

  • Berdoa dengan mengangkat tangan. Abu Musa al-Asy’ariy berkata:

دَعَا النَّبِيُّ-صلى الله عليه وسلم- ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ، وَرَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ

Mafhumnya: ”Nabi SAW berdoa dan mengangkat kedua-dua tangan baginda, daku melihat bahagian putih dua ketiak baginda.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Ibn ’Omar pula berkata: ”Nabi SAW pernah mengangkat kedua-dua tangan baginda dan berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَبْرَأُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ خَالِدُ

Mafhumnya: ”Ya Allah daku berlepas diri kepadaMu, terhadap apa yang telah dilakukan oleh Khalid bin al-Walid.” (HR al-Bukhari)

Salman al-Farisi pula meriwayatkan, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

Mafhumnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu semua Tabaraka wa Taala, Maha Pemalu dan Maha Mulia, Dia malu dari hambaNya yang mengangkat kedua-dua tangan memohon kepadaNya, namun tidak memperolehi apa-apa.” (HR Abu Daud dan Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

Perhatian: Berdoa dengan mengangkat tangan ini dilakukan dalam doa-doa yang umum dan doa-doa yang terdapat bukti baginda melakukannya dengan mengangkat tangan seperti berdoa di Safa dan Marwah, doa meminta diturunkan hujan pada hari Jumaat dan seumpamanya. Hal ini kerana terdapat beberapa doa yang tidak perlu diangkat kedua-dua tangan seperti doa ketika masuk dan keluar rumah, keluar dan masuk tandas dan seumpamanya.

  • Terlebih dahulu membersihkan gigi. Hal ini kerana doa merupakan ibadah lisan, maka membersihkan gigi untuk melakukan ibadah seperti ini adalah termasuk di dalam akhlak dan adab yang baik. Di samping itu terdapat pula sunnah yang menggalakkan membersih gigi sebelum menunaikan solat. Tujuannya adalah kerana membersihkan mulut untuk mengucapkan zikir-zikir dan bacaan-bacaan di dalam solat. (Lihat Tuhfah al-Zakirin oleh al-Syaukani)
  • Melakukan sesuatu amalan soleh terlebih dahulu, seperti bersedekah, berbuat baik kepada orang miskin, atau menunaikan solat sunat dua rakaat, berpuasa atau seumpamanya, agar semua amalan ini dapat menjadi wasilah diperkenankan permohonan yang dipinta. Bukti dalam hal ini dapat diperhatikan dari hadis yang menceritakan tiga orang lelaki yang terkurung di dalam gua. Baginda menceritakan setiap seorang dari tiga lelaki tersebut berdoa dengan bertawassul dengan amalan baik yang besar yang pernah dikerjakan kerana Allah SWT. Lalu Allah memperkenan permohonan mereka dan mereka dibebaskan dari gua tersebut. Cerita dari baginda SAW ini merupakan satu sunnah untuk kita umat baginda SAW.
  • Daripada Abu Musa al-Asy’aari RA yang menceritakan setelah Baginda SAW selesai dari peperangan Hunain, ada dinyatakan di dalam hadis tersebut, baginda meminta air seterusnya berwudhu, kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangan baginda dan berdoa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعُبَيْدِ بْنِ عَامِر، وَرَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ

Mafhumnya: ”Ya Allah ampunilah Ubaid bin ’Amir.” kata Abu Musa seterusnya: ”Daku  melihat tempat putih di bawah kedua-dua ketiak baginda SAW.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

  • Memiliki tujuan baik dari sesuatu permohonan. Tujuan baik dari sesuatu doa dapat menjadi sebab doa itu diperkenankan. Sebagai contoh seseorang berdoa dengan berkata: ”Ya Allah kurniakan kepadaku harga, agar daku dapat gunakannya ke jalan yang benar.” atau: ”Agar daku dapat menggunakannya untuk meninggikan agama Islam.” atau: ”Ya Allah kurniakan kepadaku ilmu, agar daku dapat sampaikannya kepada orang ramai dan menyebarkan kebenaran dan kebaikan.” atau: ”Ya Allah kurniakan kepadaku isteri, agar daku dapat menahan diri dari melakukan perkara maksiat.” dan seumpamanya.

Isyarat ini dapat diperhatikan daripada firman Allah SWT tentang permohonan Nabi Musa:

Mafhumnya: ”Nabi Musa berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; "Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, Supaya mereka faham perkataanku; Dan Jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku; "Kuatkanlah Dengan sokongannya, pendirianku, Dan Jadikanlah Dia turut campur bertanggungjawab Dalam urusanku, Supaya Kami sentiasa beribadat dan memujiMu, Dan (supaya) Kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami". (Tohaa: 25-35) Hasilnya Allah SWT telah memperkenankan doa Nabi Musa ini.

Selain itu terdapat juga isyarat lain dari hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibn ’Amr RA yang berkata, Nabi SAW pernah bersabda: ”Jika seseorang lelaki pergi menziarahi seorang pesakit, maka hendaklah dia membaca:

اللَّهُمَّ اشْفِ عَبْدَكَ يَنْكَأُ لَكَ عَدُوًّا أَوْ يَمْشِي لَكَ إِلَى صَلاةٍ

Mafhumnya: ”Ya Allah, sembuhkanlah hambaMu ini, agar dia dapat mengalahkan musuh atau dia dapat berjalan kepadaMu pergi menunaikan solat.” (HR Abu Daud. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

  • Menangis ketika berdoa. Daripada Abdullah bin ’Amr bin al-’Ash RA, Nabi SAW membaca firman Allah tentang perkataan Nabi Ibrahim:

Mafhumnya: ”Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. oleh itu, sesiapa Yang menurutku maka ia adalah dari golonganku.” (Ibrahim: 36). Tentang perkataan Nabi Isa pula Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: "Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada Yang menghalanginya) kerana Sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka Sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (al-Maaidah: 118). Lalu Nabi SAW mengangkat kedua belah tangan baginda dan berdoa:

اللَّهُمَّ أُمَّتِيْ أُمَّتِيْ

Mafhumnya: “Ya Allah, ummatku, ummatku.[2]” Seterusnya baginda menangis. Lalu Allah SWT berfirman: Wahai Jibril, pergi kepada Muhammad – sedang Allah SWT telah sedia Maha Mengetahui – dan tanya kepadanya, apakah yang membuatkan dia menangis?” lalu jibril pergi bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan bertanya. Baginda menceritakan kepada jibril sebab baginda menangis[3] - sedangkan Allah telah sedia Maha Mengetahuinya – lalu Allah berfirman: “Wahai Jibril pergilah kepada Muhammad, dan beritahu kepadanya sesungguhnya kami akan menjadikan kamu redha terhadap hak yang akan diperolehi oleh umat kamu, dan kami tidak akan menjadikan kamu sedih terhadap hak mereka semua.” (HR Muslim di dalam Sahihnya. Kitab al-Iman, Bab Doa’ al-Nabiy li Ummatih wa Bukaaihi Syafaqatan ‘ALaihim: Bab Doa Nabi Untuk Ummat Baginda, dan Tangisan Baginda Kerana Sayangkan Mereka Semua)

  • Menzahirkan pengaduan kepada Allah dan memerlukanNya. Allah SWT berfirman tentang Nabi Ya’kub AS:

Mafhumnya: ”(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya Aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah.” (Yusuf: 86). Tentang Nabi Musa AS pula Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian Yang Engkau berikan". (al-Qasas: 24)

 

  • Memilih ungkapan doa yang baik, menjauhi memanjang-manjangkan bahasa doa dan memperincikan perkara yang tidak perlu. Hal ini kerana Nabi SAW:

يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنَ الدُّعَاءِ، وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ

Mafhumnya: “Baginda menyukai lafaz-lafaz doa yang ringkas dan padat, dan meninggalkan selain dari yang itu.” (HR Ahmad, Abu Daud, al-Hakim dan al-Tabarani)

  • Memulakan doa untuk diri sendiri. Daripada Ubai bin Ka’ab RA yang berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  إِذَا ذَكَرَ أَحَدًا فَدَعَا لَهُ بَدَأَ بِنَفْسِهِ

Mafhumnya: ”Rasulullah SAW dahulunya apabila menyebut seseorang untuk mendoakannya, baginda akan memulakan untuk diri baginda sendiri.”[4] (HR al-Tirmizi dan katanya: Hasan Gharib Sahih. Diriwayatkan juga oleh Abu Daud)

Selain hadis ini, terdapat banyak ayat al-Quran, antaranya:

Mafhumnya: “dan orang-orang (Islam) Yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa Kami dan dosa saudara-saudara Kami Yang mendahului Kami Dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan Dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang Yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan RahmatMu". (al-Hasyr: 10)

Mendoakan untuk diri sendiri sebelum mendoakan untuk orang lain bukanlah suatu yang mesti. Sebahagian ulama berkata, memulakan permohonan doa untuk diri sendiri jika seseorang hendak mendoakan untuk diri dia dan orang lain. Sekiranya dia hanya mahu mendoakan untuk orang lain sahaja, maka bukan satu kemestian untuk memulakan doa untuk diri sendiri. Hal ini dapat dilihat dari doa Nabi SAW untuk Ubaid bin ‘Amir yang telah disebut sebelum ini.

  • Mendoakan untuk orang-orang yang beriman. Perkara ini termasuk dalam tuntutan persaudaraan Islam dan menjadi sebab diperkenankan doa. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “dan mintalah ampun kepadanya bagi salah silap Yang Engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang Yang beriman - lelaki dan perempuan.” (Muhammad: 19)

Tentang Nabi Nuh pula, Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: "Wahai Tuhanku! ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa Yang masuk ke Rumahku Dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan." (Nuh: 28)

Sabda Nabi SAW pula:

مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَاْلمُؤْمِنَاتِ كُتِبَ لَهُ بِكُلِّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ حَسَنَة

Mafhumnya: “Sesiapa yang memohon keampunan untuk orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, dicatit untuknya bagi setiap orang beriman lelaki dan perempuan itu satu kebaikan.” (al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaaid berkata Isnadnya Jayyid. Hadis ini juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

Digalakkan juga untuk mengkhususkan permohonan untuk kedua ibu dan bapa, para ulama, orang-orang soleh, termasuk juga orang-orang yang mentadbir urusan umat Islam.  

  • Merendahkan suara dan menyembunyikan doa. Berkaitan hal ini Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “berdoalah kepada Tuhan kamu Dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang melampaui batas.” (al-Aaraf: 55)

Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA katanya:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ- صلى الله عليه وسلم- فَجَعَلَ النَّاسُ يَجْهَرُوْنَ فِيْ التَّكْبِيْرِ، فَقَالَ النَّبِيِّ- صلى الله عليه وسلم-:"أَيُّهَا النَّاس، ارْبَعُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ؛ إِنَّكُمْ لَا تَدْعُوْنَ أَصُمَّ وَلَا غَائِبًا، إِنَّكُمْ تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا وَهُوَ مَعَكُمْ"

Mafhumnya: “Kami dahulu pernah bersama dengan Nabi SAW (dalam suatu permusafiran). Orang ramai bertakbir dengan kuat. Lalu Nabi SAW bersabda: “Wahai sekelian orang, kesihanilah diri kami sendiri, sesungguhnya kamu semua bukan memohon kepada zat yang pekak dan jauh, sebaliknya kamu semua berdoa kepada tuhan yang Maha Mendengar dan Maha Dekat, Dia bersama dengan kamu semua.” (HR al-Bukhari)

Berdoa dengan memperlahan dan menyembunyikan suara terdapat banyak kebaikan. Perkara ini disebut oleh al-Imam Ibn al-Qayyim, antaranya:

Pertama: Bukti beriman kepada Allah SWT Maha Mendengar. Dia Maha Mendengar permintaan hambaNya sekalipun perlahan. Perkara ini berbeza dengan tanggapan orang-orang musyrik seperti hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud RA:

اخْتَصَمَ عِنْدَ الْبَيْتِ ثَلَاثَةُ نَفَرٍ قُرَشِيَّانِ وَثَقَفِيٌّ أَوْ ثَقَفِيَّانِ وَقُرَشِيٌّ قَلِيلٌ فِقْهُ قُلُوبِهِمْ كَثِيرٌ شَحْمُ بُطُونِهِمْ فَقَالَ أَحَدُهُمْ أَتَرَوْنَ أَنَّ اللَّهَ يَسْمَعُ مَا نَقُولُ فَقَالَ الْآخَرُ يَسْمَعُ إِذَا جَهَرْنَا وَلَا يَسْمَعُ إِذَا أَخْفَيْنَا وَقَالَ الْآخَرُ إِنْ كَانَ يَسْمَعُ إِذَا جَهَرْنَا فَإِنَّهُ يَسْمَعُ إِذَا أَخْفَيْنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصَارُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ

Mafhumnya: “Tiga orang pernah bertengkar berhampiran dengan Kaabah. Dua daripada mereka adalah Qurasyi dan seorang Thaqafi, atau dua orang mereka Thaqafi dan seorang lagi Qurasyi, mereka tiada kefahaman jiwa, tetapi mempunyai lemak perut yang banyak. Kata salah seorang daripada mereka: Apakah kamu merasakan Allah mendengar apa yang kita minta.” Jawab salah seorang daripada mereka: “Dia mendengar, jika kita menguatkan permohonan, dan tidak mendengar jika kita perlahankan permohonan.” Kata seorang lagi: “Jika Dia mendengar sekiranya kita menguatkan permohonan, maka Dia juga mendengar jika kita perlahankan.” Lalu Allah SWT menurunkan ayat:

Mafhumnya: "Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu Yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka Bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa Yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).”[5](HR al-Tirmizi dan katanya: Hadis ini Hasan Sahih)

Kedua: Memperlahan dan menyembunyikan suara ketika berdoa termasuk di dalam adab dan perbuatan mengagungkan Allah SWT. Bukankah ketika berbicara dengan seorang raja tidak wajar diangkat dan ditinggikan suara kerana memuliakannya. Melainkan berbicara dengannya sekadar suara yang dapat didengarinya sahaja. Maka Allah SWT amat sempurna dan mulia dari segalanya. Jika Allah SWT Maha Mendengar permohonan yang perlahan, maka apakah keperluan untuk mengeraskan permohonan kepadaNya? Bahkan perbuatan tersebut tidak bersesuaian dengan adab yang sewajarnya bagi seorang yang benar-benar merendahkan diri di hadapanNya.

Ketiga: Lebih bersesuaian dengan sifat khusu’ dan merendahkan diri. Bahkan merendah dan menyembunyikan suara itu merupakan tanda seseorang yang khusu’ dan merendahkan diri. Ketika dia berdoa dia merasakan dirinya seorang yang benar-benar mengharapkan Allah, miskin dan hina, maka sudah tentu dia akan merendahkan suaranya.

Keempat: Lebih hampir kepada ikhlas.

Kelimah: Tanda seseorang hamba merasai dirinya benar-benar hampir dengan Allah SWT, demikian Allah juga hampir kepadanya. Justeri dia berbisik, memperlahan dan menyembunyikan suara kerana dia tahu Allah hampir dan mendengar permohonannya. Bukan terjerit-jerit seolah-olah seorang yang jauh dari Allah SWT.

Keenam: Dapat mengelakkan diri dari rasa jemu. Ini kerana berdoa dengan suara  yang perlahan dan berbisik tidak meletihkan anggota badan. Berbeza jika diangkatkan suara yang sudah tentu meletih dan menjemukan. Tiada orang yang mampu melakukannya berulang kali, sedangkan doa digalakkan berulang kali dan berterusan seperti yang telah dijelaskan di atas.

  • Memilih nama dan sifat Allah yang sesuai ketika berdoa. Seperti berdoa memohon rahmat dengan menyebut: Wahai Tuhan al-Rahim, rahmatilah daku.” Atau: “Wahai Tuhan al-Karim, muliakanlah daku.” Atau: “Wahai Tuhan al-Syafi (Maha Penyembuh), berilah kesembuhan kepadaku.” Atau: “Wahai Tuhan anugerahilah daku rahmat daripadaMu, sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pemberi Anugerah.” Dan seumpamanya.
  • Jangan sempitkan permohonan doa. Seperti memohon: “Ya Allah siramilah kebun dan tanamanku sahaja.” atau: “Ya Allah perbaikilah keadaan anak-anakku, jangan diperbaiki keadaan anak-anak orang lain.” Atau: “Ya Allah kurniakanlah kepadaku rezeki, tidak perlu dikurniakan rezeki kepada orang selain daku.” Hal ini dinyatakan di dalam hadis daripada Abu Hurairah RA yang berkata:

قَامَ رَسُوْلُ الله- صلى الله عليه وسلم- فِيْ صَلَاةٍ، وَقُمْنَا مَعَهُ، فَقَالَ أَعْرَابِيٌّ وَهُوَ فِيْ الصَّلَاةِ: اللَّهُمَّ ارْحَمْنِيْ وَمُحَمَّدًا، وَلَا تَرْحَمْ مَعَنَا أَحَدًا، فَلَمَّا سَلَّمَ النَّبِيُّ- صلى الله عليه وسلم- قَالَ لِلْأَعْرَابِيِّ: "لَقَدْ حَجَّرْتَ وَاسِعًا

Mafhumnya:  “Suatu hari Rasulullah SAW mendirikan solat, maka kami berdiri bersolat bersama baginda. Terdapat seorang Arab Badawi berdoa di dalam solat: “Ya Allah rahmatilah daku dan Muhammad, dan jangan Dikau rahmati orang lain lagi bersama dengan kami.” Apabila selesai solat, Nabi SAW bersabda kepada Arab Badawi tersebut: “Sesungguhnya engkau telah menyempitkan sesuatu yang luas (iaitulah rahmat Allah yang amat luas).” (HR al-Bukhari)

  • Orang yang mendengar mengaminkan doa yang dibaca. Hal ini berdasarkan kisah Nabi Musan dan Harun yang terdapat di dalam al-Quran:

Mafhumnya: “dan Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda Yang mewah Dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (kemewahan Yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka Dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab Yang tidak terperi sakitnya. Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang Yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)". (Yunus: 88-89)

Kata para ulama tafsir: “Nabi Musa berdoa, manakala nabi Harun mengaminkannya.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir). Kerana itu Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua.”

  • Memohon kepada Allah dalam semua urusan samada kecil mahupun besar. Anggapan yang menyangka permohonan kepada Allah hanya dalam urusan yang besar dan penting sahaja adalah salah. Sebaliknya seseorang hamba hendaklah berdoa kepada Allah dalam semua urusannya, sehinggakan dalam urusan pakaian, makanan dan seumpamanya. Nabi SAW bersabda:

سَلُوا اللَّهَ كُلَّ شَيْءٍ حَتَّى الشِّسْعَ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِنْ لَمْ يُيَسِّرْهُ لَمْ يَتَيَسَّرْ

Mafhumnya: “Mintalah kepada Allah dalam setiap sesuatu, sehinggakan dalam urusan al-Syis’a[6], kerana sesungguhnya Allah AWJ jika Dia tidak memberi kemudahan, perkara itu tidak akan menjadi mudah.” (Dikeluarkan oleh Ibn al-Sunniy di dalam “amal al-Yaum wa al-Lailah dan al-Tirmizi. Dinilai Lemah oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Dhoiefah. Akan tetapi hadis ini Sahih dari perkataan ‘Aisyah RA, iaitulah Mauquf kepada beliau. Lihat Musnad Abi Ya’la dan ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah. Al-Haithami berkata tentang hadis ini: Para periwayatnya adalah para periwayat al-Sahih, melainkan Muhammad bin ‘Ubaidillah, dan beliau juga seorang yang thiqah. Lihat Majmu’ al-Zawaaid 10/150)

--------------------- 

[1] بَقِيَّة adalah seorang periwayat hadis yang terkenal melakukan tadlis dalam periwayatan hadis. Maka periwayat yang seumpama ini jika dia meriwayatkan hadis dengan lafaz عَنْ atau daripada, ia akan memberi kesan buruk kepada periwayatan.

[2] Iaitulah bermaksud: “Ya Allah ampunilah dan rahmatilah umatku.” Barangkali ini tujuan pengulangan tersebut. Atau ia memaksudkan penegasan, atau baginda maksudkan untuk kesemua umat baginda dari awal hingga ke akhirnya. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih oleh ‘Ali bin Sultan Muhammad al-Qaariy)

[3] Iaitulah kebimbangan baginda terhadap umat baginda

[4] Hal ini kerana tiada seorang makhluk sama sekali melainkan kesemuanya memerlukan kepada pemberian dan kelebihan dari Allah SWT.

[5] Fussilat: 22

[6] الشِسْعُ ialah tali kasut yang dimasukkan antara dua jari. Hujungnya berada di hujung kasut


Cetak  
Wallahu a'lam