KELEBIHAN DAN KEBERKATAN WAKTU PAGI
- Dari Abu Wail Syaqiq bin Salamah al-Asadiy (أبي وائل شقيق بن سلمة الأسدي) katanya: “Kami keluar menuju kepada Abdullah bin Mas’ud RA pada suatu pagi hari selepai selesai menunaikan solat Subuh, lalu kami memberi salam apabila sampai di pintu rumah beliau, lalu kami diberi keizinan untuk masuk. Kata beliau (Abu Wail) kami tetap menunggu di muka pintu seketika, lalu keluar seorang wanita (Jariah) dan berkata: “mengapa anda semua tidak masuk?” Lalu kamipun masuk ke dalam rumah, ketika itu beliau (Abdullah bin Mas’ud) sedang duduk dan bertasbih, beliau berkata: “Apa yang menghalang kamu semua dari masuk, sedangkan aku sudah mengizinkan masuk?” Lalu kami menjawab: “Tiada apa, melainkan kami menyangka sebahagian ahli keluarga anda sedang tidur.” Jawab beliau: “kamu semua menyangka sebahagian keluarga Ibn Ummi ‘Abd (keluarga Ibn Mas’ud) berada dalam keadaan lalai?” kemudian beliau terus bertasbih sehinggalah pada sangkaannya matahari telah terbit, lalu beliau berkata: “Wahai Jariah, cuba lihat apakah matahari telah terbit?” Lalu Jariah itu pun melihat ke luar, dan ternyata matahari masih belum terbit. Maka Abdullah bin Mas’ud terus bertasbih sehinggalah pada sangkaannya matahari telah terbit, lalu beliau berkata: “Wahai Jariah, cuba lihat apakah matahari telah terbit?” Lalu Jariah itu pun melihat ke luar, dan ternyata matahari telah terbit. Lalu beliau berkata:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَقَالَنَا يَوْمَنَا هَذَا وَلَمْ يُهْلِكْنَا بِذُنُوبِنَا
Mafhumnya: “Segala pujian untuk Allah yang telah memaafkan kami pada hari ini dan tidak membinasakan kami disebab dosa-dosa kami.” (HR Muslim)
Hadis ini memberi gambaran jelas bagaimana salah seorang sahabat Nabi SAW memenuhkan masa pagi beliau. Ini kerana waktu pagi adalah waktu yang amat berharga dan dipenuhi keberkatan. Abdullah bin Mas’ud RA yang merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW mengetahui kedudukan, kelebihan dan nilai yang ada pada waktu pagi. Justeru waktu pagi sewajarnya dipenuhkan dengan berzikir kepada Allah SWT atau dengan sebarang aktiviti yang dapat mendatangkan kebaikan. Malangnya sebahagian daripada kita mengabaikan waktu ini dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti tidur, berada dalam penuh kemalasan dan seumpamanya. Kita alpa bahawa keadaan kita pada pagi hari banyak mempengaruhi hari-hari yang kita lalui. Jika awal pagi dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat, maka sepanjang hari itu juga dihabiskan dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
Hadis ini juga menunjukkan, membiasakan diri berzikir pada waktu pagi dapat mendatangkan kecergasan dan kekuatan kepada tubuh badan. Al-Imam Ibn al-Qayyim RH berkata: “Pernah satu ketika aku pergi berjumpa dengan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, setelah selesai menunaikan solat Subuh, kemudian beliau duduk dan berzikir kepada Allah Taala sehingga hampir ke pertengahan siang, setelah itu beliau berpaling memandangku dan berkata: “Inilah dia makananku. Jika tidak akan gugurlah kekuatanku” atau perkataan yang hampir sama dengan perkataan tersebut.” (Lihat al-Wabil al-Sayyib. Hal: 85-86)
- Selain itu thabit[1] juga di dalam sunnah, bahawa Rasulullah SAW telah memohon kepada Allah SWT agar dianugerahkan keberkatan kepada umatnya di waktu pagi. Daripada Sakhr bin Wada’ah al-Ghamidiy (صخر بن وداعة الغامدي) RA, Rasulullah SAW bersabda:
اَللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِيْ فِيْ بُكُوْرِهَا
Mafhumnya: “Ya Allah berkatilah ummatku di waktu awal pagi mereka.” Baginda SAW juga jika hendak mempersiapkan pasukan tentera, baginda mempersiapkan mereka pada awal pagi. sama halnya dengan sahabat Nabi SAW yang bernama Sakhr di atas. Beliau adalah seorang peniaga, beliau akan mengarahkan pekerja-perkerja untuk memulakan perniagaan pada waktu awal pagi. Ternyata beliau memperolehi kekayaan yang banyak. (Diriwayatkan di dalam Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi)
- Melihat kepada kedudukan waktu pagi, keberkatan dan kebaikan yang ada di dalamnya menyebabkan para ulama Salaf memakruhkan tidur pada waktu tersebut. Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziah berkata: “Termasuk dalam perkara yang makruh di sisi para ulama salaf iaitulah tidur diantara selepas solat Subuh dan terbitnya matahari, kerana waktu itu adalah waktu ghanimah, sesiapa yang menempuh waktu ini untuknya pemberian yang besar, sekalipun mereka berjaga sepanjang malam, mereka tidak akan rela berdiam diri dari menempuh waktu ini sehinggalah terbitnya matahari. Kerana sesungguhnya waktu itu merupakan waktu awal siang hari dan anak kuncinya, waktu turunnya berbagai rezeki dan memperolehi pembahagian, dan waktu dianugerahkan keberkatan, dari waktu itu jugalah bermulanya siang, dan disandarkan hukum keseluruhan hari itu pada waktu tersebut, maka jika tidur pada waktu itu hendaklah tidur disebabkan terpaksa.” (Lihat Madarik al-Salikin 1/459)
- Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas RA yang melihat salah seorang anaknya tidur pada waktu awal pagi, lalu beliau berkata:
قُمْ، أَتَنَامُ فِيْ السَّاعَةِ الَّتِيْ تُقَسَّمُ فِيْهِ اْلأَرْزَاق
Mafhumnya: “Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu dibahagikan beberapa rezeki?” (Zaad al-Ma’ad oleh Ibn al-Qayyim)
-------------------------
[1] Sila lihat Fiqh al-Ad’iyyah wa al-Azkar oleh al-Syeikh ‘Abdul Razak bin ‘Abdul Muhsin al-Badr