ZIKIR SEBELUM TIDUR
- Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas. Daripada Ibu orang-orang beriman, ‘Aisyah RA katanya:
أن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كان إذا أوى إلى فراشه كل ليلة جمع كفيه ثم نفث فيهما، فقرأ:
Mafhumnya: “Bahawa Nabi SAW, apabila mendatangi tempat tidur baginda pada setiap malam[1], baginda akan menghimpunkan dua telapak tangan[2] dan menghembus[3] ke dalam kedua-duanya membaca surah:
Kemudian baginda menyapu kedua-dua belah tangan ke bahagian tubuh badan baginda yang mampu dicapai, baginda memulakan bahagian kepala, muka dan bahagian hadapan tubuh baginda[4], baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Amalan ini antara tujuannya agar terpelihara dengan izin Allah dari setiap keburukan, kemudharatan dan perkara yang tidak disukai. Terutamanya ketika tidur manusia tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya. Keadaan ini menuntut setiap muslim bersungguh-sungguh berusaha membiasakan diri dengan amalan sunnah ini bagi memperolehi perlindungan dan pengawasan dari Allah SWT. Kerana itu baginda SAW tidak meninggalkan amalan ini untuk dilakukan sebelum tidur. Bahkan kesungguhan baginda memelihara amalan ini tergambar dalam riwayat ‘Aisyah RA yang berkata: “Ketikamana baginda SAW jatuh sakit, baginda mengarahkan daku untuk melakukan perkara tersebut kepada baginda.” (HR al-Bukhari)
‘Aisyah RA juga berkata: “Nabi SAW meniupkan surah-surah al-Mu’awwizat ke atas diri baginda ketika sakit. Apabila sakit itu bertambah, maka dakulah yang meniupkan surah-surah tersebut, dan daku menyapukannya dengan dua tangan baginda kerana keberkatan yang ada pada kedua-duanya.” (HR al-Bukhari)
Perhatian: Perbuatan menyapu muka dan badan selepas membaca dan menghembus sesuatu hanyalah khusus untuk amalan dan kedudukan ini sahaja. Tidak boleh diluaskan pengamalannya kepada zikir-zikir dan doa-doa lain kerana tidak terdapat walau satu hadis yang menganjurkan perbuatan tersebut di tempat yang lain. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:
“Adapun baginda menyapu muka dengan kedua belah tangan, tiada dari baginda perbuatan tersebut melainkan satu atau dua hadis sahaja. Tidak boleh dengan satu atau dua hadis ini untuk dijadikan hujjah (dilakukan amalan yang sama di tempat yang lain.)” (Majmu’ al-Fatawa: 12/519)
- Membaca ayat al-Kursi, iaitulah: Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA yang berkata: “Rasulullah SAW mewakilkan aku untuk menjaga harta zakat Ramadhan. Suatu malam datang seseorang dan mengambil sedikit makanan, lalu aku menangkapnya dan berkata: “Pasti aku akan membawa kamu mengadap Rasululllah SAW.” Dia berkata: “Aku benar-benar memerlukannya dan aku ada keluarga yang perlu diberi makan.” Kata Abu Hurairah: lalu aku membiarkan dia pergi, apabila pagi hari, Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Hurairah, apakah yang dilakukan oleh tawanan engkau malam tadi?” jawabku: “Wahai Rasulullah, dia merayu mendakwa dia benar-benar memerlukan dan dia memiliki keluarga. Aku kesian kepadanya, lalu aku melepaskannya.” Jawab Nabi SAW: “dia berbohong kepadamu dan dia akan datang lagi.” Kata Abu Hurairah: aku pasti dia akan datang lagi kerana Nabi menyatakannya, lalu aku mengintai dan ternyata dia datang lagi dan mengambil makanan. – Abu Hurairah menceritakan kisah itu, hinggalah katanya – lalu aku menangkapnya – buat kali ketiga – lalu aku berkata kepadanya: “Pasti aku akan membawa kamu bertemu Rasulullah SAW, dan kali ini kali terakhir setelah tiga kali kamu berjanji tidak akan datang semula, akan tetapi ternyata kamu datang lagi.” Dia berkata:. “Lepaskan, aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimat, Allah akan memberi manfaat kepadamu dengan kalimat-kalimat tersebut.” Kata Abu Hurairah: ”Apakah kalimat-kalimah itu?” kata dia: “Jika kamu mendatangi tempat tidurmu, bacalah ayat al-Kursi sehingga habis, maka kamu sentiasa berada dalam pengawasan Allah, dan syaitan tidak akan menghampirimu sehinggalah masuk waktu subuh.” Kata Abu Hurairah: Lalu aku melepaskannya. Apabila pagi hari, Rasulullah SAW bertanya: “Apa yang dilakukan oleh tawanan kamu malam tadi wahai Abu Hurairah?” aku menjawab: “Wahai Rasulullah, dia mendakwa akan mengajarkan kepadaku beberapa kalimat yang Allah akan mendatangkan manfaat kepadaku dengan kalimat-kalimat tersebut, lalu akupun melepaskannya.” Baginda bertanya: “Apakah kalimah-kalimah tersebut?” jawabku: “Dia berkata kepadaku, jika kamu mendatangi tempat tidurmu, maka bacalah ayat al-Kursi dari awal hingga akhir. Dia juga berkata kepadaku: kamu sentiasa berada dalam pengawasan Allah dan syaitan tidak akan menghampirimu sehingga Subuh. Lalu Nabi SAW bersabda: “Adapun yang itu dia telah bercakap benar kepadamu sedang dia amat suka berbohong. Tahukah kamu siapa yang datang dan berbicara denganmu sejak tiga malam lalu?” jawab Abu Hurairah: “Saya tidak tahu.” Jawab Baginda: “Dia itu adalah syaitan.” (HR al-Bukhari)
- Membaca surah al-Kafirun, berdasarkan hadis daripada Farwah bin Naufal al-Asyja’ie daripada bapanya RA yang berkata: “Nabi SAW menyerahkan anak perempuan Ummu Salamah kepadaku dan berkata: “engkau bapa susuan kepada anak ini.” Katanya: beberapa lama selepas itu, aku datang bertemu baginda dan baginda bertanya: “Apakah yang dilakukan oleh budak perempuan itu.” Jawab beliau: “Dia ada bersama ibunya.” Baginda bertanya: “Apakah tujuan kamu datang hari ini?” aku menjawab: “Agar tuan ajarkan kepada saya bacaan sebelum tidur.” Sabda Nabi SAW: “Bacalah surah al-Kafirun, kemudian tidurlah setelah habis membacanya, sesungguhnya surah itu pelepasan diri dari kesyirikan.” (HR Ahmad di dalam al-Musnad dan dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib.)
Hadis ini menunjukkan kelebihan surah al-Kafirun. Sesiapa yang membaca surah ini dengan memahami maksudnya akan membebaskan dirinya dari kesyirikan zahir dan batin. Kerana itu sebahagian ulama Salaf menamakan surah ini dengan nama al-Muqaiqisyah (المُقَيْقِشَةْ) iaitulah sipembacanya bebas dari kesyirikan. Selain itu surah al-Kafirun dengan surah Qulhuwallahu Ahad dinamakan juga sebagai dua surah al-Ikhlas. Kerana gabungan isi kandungan dua surah ini memurnikan tauhid kepada Allah SWT dari sudut ilmu dan amalan.
Baginda SAW juga sentiasa membaca kedua-dua surah al-Kafirun dan Qulhuwallahu Ahad dalam solat sunat dua rakaat sebelum solat fardhu Subuh, dalam dua rakaat solat sunat Maghrib dan dalam solat sunat Witir. Ini menunjukkan baginda SAW menjadikan kedua-dua surah ini sebagai pembuka dan penutup amalan harian.
- Terdapat kelebihan membaca dua ayat akhir dari surah al-Baqarah pada setiap malam. Perkara ini berdasarkan hadis daripada Abi Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُوْرَةِ الْبَقَرَةِ فِيْ لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
Mafhumnya: “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir surah al-Baqarah pada setiap malam, kedua-dua ayat itu telah memadai untuknya.”[5] (HR al-Bukhari dan Muslim) Ayat tersebut ialah:
Mafhumnya: “Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan Kami taat." (mereka berdoa): "Ampunilah Kami Ya Tuhan Kami dan kepada Engkaulah tempat kembali. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): "Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau hukum Kami jika Kami lupa atau Kami tersalah.[6] Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau bebankan kepada Kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa yang tak sanggup Kami memikulnya. beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong Kami, Maka tolonglah Kami terhadap kaum yang kafir." (al-Baqarah: 285-286)
- Daripada al-Bara bin ‘Azib RA yang berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: “Jika kamu mendatangi tempat tidurmu, berwudhulah seperti wudhu untuk solat, setelah itu baringlah di atas rusuk kananmu dan membaca:
اَللَّهُمَّ إني أَسْلَمْتُ نَفْسِيْ إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِيْ إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِيْ إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِيْ إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِيْ أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِيْ أَرْسَلْتَ.
Mafhumnya: “Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepadaMu[7], aku menghadapkan wajahku kepadaMu, aku menyerahkan semua urusanku kepadaMu[8], aku menyandarkan belakangku kepada (pemeliharaan)Mu,[9] karena mengharapkan kelebihanMu yang luas dan nikmatMu yang agung, dan berlindung dari kemurkaanMu[10]. Tidak ada tempat perlindungan dan keselamatan dari (kemurkaan)Mu, kecuali kembali kepadaMu. Aku beriman pada kitab yang telah Engkau turunkan, dan kepada NabiMu yang telah Engkau utuskan. Jika kamu meninggal dunia (di waktu tidur), maka kamu meninggal dunia dalam keadaan fitrah (agama Islam), maka jadikanlah ungkapan ini akhir perkataan kamu (sebelum tidur). Maka aku mengulangi membaca doa ini untuk mengingatinya, aku menyebut: آَمَنْتُ بِرَسُوْلِكَ الَّذِيْ أَرْسَلْتَ, (sedangkan tadi baginda membaca: وَبِنَبِيِّكَ الَّذِيْ أَرْسَلْتَ), Nabi bersabda: “Tidak,[11] (kekalkan dengan membaca:) وَبِنَبِيِّكَ الَّذِيْ أَرْسَلْتَ.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
- Daripada Huzaifah bin al-Yaman RA yang berkata: “Nabi SAW apabila hendak tidur akan mengucapkan:
بِسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوْتُ وَأَحْيَا
Mafhumnya: “Dengan NamaMu[12] ya Allah, aku tidur (dimatikan) dan jaga (dihidupkan).” Apabila baginda bangun dari tidur membaca:
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْر
Mafhumnya: “Segala pujian adalah untuk Allah, Yang telah menghidupkan kami setelah menidurkan kami, dan kepadaNya kami akan dikembalikan (pada hari kiamat).” (HR Muslim)
Hadis ini menunjukkan tidur diumpamakan dengan kematian. Sekalipun nyawa masih ada. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:
Mafhumnya: “Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; Maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda- tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (al-Zumar: 42)
- Daripada al-Barra bin ‘Azib RA katanya: “Dahulunya Nabi SAW apabila hendak tidur, baginda akan meletakkan tangan di bawah pipi kanan bagiinda danmengucapkan:
اَللَّهُمَّ قِنِيْ عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبَادَكَ
Mafhumnya: “Ya Allah, lindungi daku dari azabMu, pada hari Engkau menghimpunkan hamba-hambaMu.” (HR al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Adab al-Mufrad)
- Daripada Abu Hurairah RA katanya, Nabi SAW bersabda: “Jika seseorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, maka hendaklah dia melibas tempat tidurnya dengan hujung kainnya, kerana dia tidak tahu apa yang berada di atasnya, kemudian hendaklah dia membaca:
بِسْمِكَ رَبِّيْ وَضَعْتُ جَنْبِيْ، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِيْ فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ
Mafhumnya: “Dengan namaMu wahai Tuhanku, daku meletakkan rusukku, dan denganMu juga daku mengangkatnya (semula nanti)[13], jika Dikau mengambil jiwaku, maka rahmatilah dia[14]. Jika Dikau biarkan dia terus hidup, maka peliharalah dia[15] sepertimana Dikau memelihara hamba-hambaMu yang saleh.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
- Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, yang pernah menyuruh seorang lelaki sebelum tidur untuk membaca:
اَللَّهُمَّ خَلَقْتَ نَفْسِيْ، وَأَنْتَ تَوَفَّاهَا، لَكَ مَمَاتُهَا وَمَحْيَاهَا، إِنْ أَحْيَيْتَهَا فَاحْفَظْهَا، وَإِنْ أَمَتَّهَا فَاغْفِرْلَهَا، اَللَّهُمَّ أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ
Mafhumnya: “Ya Allah, Engkau telah menciptakan diriku, dan Engkaulah yang akan mematikannya, di bawah kuasa dan urusanMu mati dan hidupnya, jika Engkau membiarkan dia hidup, maka peliharalah ia, jika Engkau mematikannya, maka berilah keampunan kepadanya. Ya Allah daku memohon dariMu ‘afiah. Lalu lelaki itu bertanya kepada ‘Abdullah bin ‘Umar, apakah anda mendengar kalimah ini dari ‘Umar? Jawab beliau: Aku mendengarnya dari orang yang lebih baik dari ‘Umar iaitulah dari Rasulullah SAW.” (HR Muslim)
- Daripada Anas bin Malik RA, katanya: “ Rasulullah SAW apabila mendatangi tempat tidur akan membaca:
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا، وَكَفَانَا وَآوَانَا، فَكَمْ مِمَّنْ لَا كَافِيَ لَهُ وَلَا مُؤْوِيَ
Mafhumnya: ”Segala pujian adalah untuk Allah yang telah memberi makan dan minum kepada kami, mencukupkan kami (dengan melindungi dari sebarang keburukan) dan memberi tempat tinggal kepada kami, berapa ramai yang tidak memperolehi kecukupan dan tempat perlindungan.” (HR Muslim)
Berdasarkan beberapa hadis ini, ia menunjukkan seseorang muslim dituntut untuk mengingati beberapa perkara sebelum tidur, iaitulah mengingati nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepadanya terdiri daripada nikmat makanan, minuman dan tempat tinggal. Dalam masa yang sama dituntut juga untuk mengingati sama ada dia akan terus dibenarkan untuk hidup, lalu dia perlu memohon pemeliharaan. Atau sama ada nyawanya akan diambil oleh Allah SWT, maka dia hendaklah memohon keampunan dan rahmat dariNya.
- Dari Abu Hurairah RA katanya: “Rasulullah SAW menyuruh kami, apabila hendak tidur membaca:
اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ، وَرَبَّ الأَرْضِ، وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ دَابَّةٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، إِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ.
Mafhumnya: “Ya Allah Tuhan[16] kepada Arasy yang agung, Tuhan kami semua dan tuhan setiap sesuatu, tuhan yang membelah benih tumbuhan dan bijian buah[17], Tuhan yang menurunkan kitab al-Taurat, al-Injil dan al-Furqan (al-Quran)[18]. Daku memohon perlindungan denganMu dari kejahatan setiap yang melata,[19] Engkau yang menguasai ubun-ubunnya, Ya Allah, Engkaulah Tuhan Yang Maha Awal, dan tiada sesuatupun sebelumMu, Engkaulah Tuhan Yang Maha Akhir dan tiada sesuatu selepas dariMu, Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi, tiada yang lebih tinggi dariMu, Engkaulah Yang Maha Dekat, tiada yang lebih dekat berbandingMu, Langsaikanlah hutang kami (hutang dengan Allah dan manusia) dan bebaskanlah kami dari kefakiran.” (HR Muslim)
- Dari Anas bin Malik RA yang berkata: “bahawa Rasulullah SAW apabila hendak tidur, baginda membaca:
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا، وَكَفَانَا وَآوَانَا، فَكَمْ مِمَّنْ لَا كَافِيَ لَهُ وَلَا مُؤْوِيْ
Mafhumnya: “Segala pujian untuk Allah yang telah memberi makan, minum, mencukupkan kami,[20] dan memberi tempat berteduh (tempat tinggal) kepada kami.[21] Maka berapa ramai yang tidak mempunyai siapa yang memberi kecukupan dan tempat tinggal kepadanya.” (HR Muslim)
- Dari ‘Ali bin Abi Tolib RA, menceritakan tentang Fatimah binti Rasulullah SAW (Isteri beliau) datang menemui Nabi SAW dan meminta seorang khadam, lalu baginda menjawab:
أَلَا أُخْبِرُكِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكِ مِنْهُ، تُسَبِّحِيْنَ اللهَ عِنْدَ مَنَامِكِ ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، وَتَحْمَدِيْنَ اللهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، وَتُكَبِّرِيْنَ اللهَ أَرْبَعًا وَثَلَاثِيْنَ
Mafhumnya: “Mahukah kamu aku beritahukan kepadamu suatu yang lebih baik dari seorang khadam? Iaitulah dengan kamu bertasbih sebelum tidur sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 34 kali.” Kata ‘Ali: “Maka aku tidak meninggalkan amalan tersebut selepas dari itu.” Lalu ditanya kepada beliau: “Sekalipun ketika malam peristiwa (peperangan) Siffin?” Beliau menjawab: “Sekalipun pada malam peristiwa Siffin.”[22] (HR al-Bukhari dan Muslim)
---------------------------------------------
[1] Menunjukkan baginda benar-benar memelihara amalan ini untuk dilakukan pada setiap malam.
[2] Seperti sedang berdoa dalam keadaan kedua-dua telapak tangan terbuka dan menghadap ke arah muka, agar memungkinkan ditiup selepas itu.
[3] Yang dimaksudkan dengan menghembus di sini ialah hembusan beserta sedikit air liur.
[4] Kata al-Syeikh ‘Abdul Razzaq bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr: “Ia merupakan satu penerangan bahawa berdasarkan Sunnah, hendaklah seseorang muslim memulakan sapuan pada bahagian tertinggi tubuhnya, maka disapu pada bahagian kepala, muka dan bahagian hadapan tubuh, kemudian sampai ke bahagian belakang tubuh.” (Fiqh al-Ad’iyyah wa al-Azkar, bah: 3, hal: 51)
[5] Maksud “Kedua-dua ayat itu telah memadai untuknya” ialah memadai untuk pembacanya dari kejahatan yang menyakitinya. Sila lihat al-Wabil al-Sayyib oleh Ibn al-Qayyim.
[6] Nabi SAW memberitahu Allah SWT menjawab: “Telah aku laksanakan” sebagai menjawab permohonan supaya tidak dikenakan balasan di atas kesalahan yang dilakukan kerana terlupa atau tersalah. Di dalam Sahih Muslim hadis dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW memberitahu, Allah berfirman: “Ya”, iaitu memperkenankan permohonan: ربنا لا تؤاخذنا إن نسينا أو أخطأنا sehingga ke akhir ayat.
[7] Membawa maksud: Sesungguhnya ya Allah daku telah redha dengan keredhaan yang sempurna, diriku ini berada di bawah kehendakMu. Engkau menguruskan diriku mengikut kehendakMu, sama ada hendak mengambilnya atau membenarkannya terus hidup. Semua langit dan bumi berada dalam penguasaanMu. Ubun-ubun kesemua para hamba tertakluk dengan ketentuan dan kekuasaanMu, ke atas mereka semua apa yang Engkau kehendaki, Engkau menghukum mereka apa yang Engkau kehendaki, tiada yang dapat menolak ketentuanMu.
[8] Menggambarkan membulatkan pergantungan dan penyerahan kepada Allah SWT, kerana tiada daya-upaya dan kekuatan dari seseorang hamba melainkan dengan Allah SWT Yang Maha Perkasa.
[9] Membawa maksud: Daku sandarkannya kepada pengawasan dan pemeliharaanMu, setelah daku mengetahui tiada tempat sandaran untuk dibuat perlindungan selain daripadaMu Ya Allah. Tiada yang dapat mendatangkan manfaat kepada seseorang melainkan dengan pengawasanMu jua. Dalam ungkapan ini mengandungi isyarat hajat yang mendesak dari seorang hamba kepada bimbingan dan pengawasan Allah Yang Maha Perkasa dalam semua urusan hidupnya sama ada ketika tidur, jaga, dalam pergerakannya, diamnya dan semua keadaannya.
[10] Membawa maksud: Sesungguhnya daku ungkapkan ungkapan-ungkapan ini semua dalam keadaan daku benar-benar mengharap dan bimbang. Daku benar-benar mengharapkan kepada kelebihanMu yang luas, nikmatMu yang agung dan daku benar-benar bimbangkan sesuatu yang menimpaku disebabkan kemurkaanMu. Berkenaan dua sifat ini, Allah SWT berfirman:
Mafhumnya: “Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan bimbang. dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada kami.” (al-Anbiya: 90)
[11] Larangan Nabi SAW dari diubah lafaz zikir ini dari perkataan Nabi kepada Rasul menunjukkan pentingnya berpada dengan lafaz yang diajar oleh baginda.
[12] Huruf ب pada kalimah بِسْمِكَ membawa maksud meminta pertolongan, maka ia membawa maksud: Daku memohon pertolongan dariMu Ya Allah, dan memohon pemeliharaan dan mengharapkan perlindungan dan keselamatan daripadaMu
[13] Dengan namaMu Ya Allah, dengan keupayaan dan kekuatanMu, ketika bila-bila masa daku membangunkan diri dari tidur, sentiasa daku mengharap dan memerlukan pemerhatian, pertolongan dan perlindungan dariMu.
[14] Dengan memberi keampunan dan kemaafan.
[15] Peliharalah jiwaku dari sebarang maksiat. Dosa dan kemerbahayaan.
[16] Kalimah رَبّ yang diterjemahkan sebagai tuhan, secara asasnya memaksudkan tuhan yang Maha Pencipta, Yang Maha Pemilik, dan Yang Maha Mentadbir.
[17] Allah Tuhan Yang Berkuasa membelah biji benih yang telah kering lalu darinya tertunas dan membesarlah tumbuh-tumbuhan. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. (yang memiliki sifat-sifat) demikian ialah Allah, Maka mengapa kamu semua masih berpaling?” (al-An’aam: 95)
[18] Ungkapan ini merupakan salah satu bentuk Tawassul yang dibenarkan. Iaitulah bertawassul dengan sifat Allah SWT yang menurunkan kitab-kitab sebagai hidayah dan membimbing manusia kepada kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dikhususkan sebutan tiga kitab ini kerana ketiga-tiganya merupakan kitab yang paling agung diturunkan oleh Allah SWT. Disebut mengikut turutan masa penurunan.
[19] دَابَّة adalah setiap yang melata di atas muka bumi sama ada melata atau bergerak dengan perut seperti ular atau yang memiliki dua atau empat kaki. Allah SWT berfirman:
Mafhumnya: “dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan Yang melata itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan Dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan Dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja Yang ia kehendaki, kerana Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (al-Nur: 45)
[20] Mencukupkan perlindungan dan memenuhi keperluan.
[21] Menandakan ingatan seorang muslim sebelum tidur akan nikmat makan, minum, memenuhi keperluan dan memberi tempat tinggal yang diterimanya sepanjang hari.
[22] Sebahagian ulama menjadikan hadis ini sebagai dalil atau bukti yang menunjukkan termasuk di dalam kelebihan zikir iaitulah memberi kekuatan, kesihatan dan kecergasan kepada tubuh badan. Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah RH berkata: “Zikir itu memberikan kekuatan kepada orang yang berzikir sehingga dia mampu melakukan sesuatu yang tidak mampu dia lakukannya ketika tidak berzikir. Sesungguhnya saya sendiri telah menyaksikan kekuatan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dari sudut perkataan, keberanian dan penulisan beliau suatu yang menakjubkan.” Berikutnya beliau menyertakan hadis ini, dan berkata: “Dikatakan sesungguhnya sesiapa yang sentiasa melakukan perkara tersebut (zikir tersebut), dia akan mendapati kekuatan badannya dan tidak memerlukan kepada khadam.” (al-Wabil al-Sayyib, hal: 155-156) al-Imam Ibn al-Qayyim juga menukilkan perkataan Ibn Taimiyyah yang berkata: “Sesiapa yang memelihara (mengamalkan) zikir-zikir tersebut dia tidak akan ditimpa kepenatan dari perkara yang menyibukkan dia dan selainnya.” (al-Wabil, hal: 206)