ZIKIR BANGUN TIDUR
- Dari ‘Ubadah bin al-Somit RA, Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَعَارَّ مِنَ الْلَيْلِ فَقَالَ:
Mafhumnya: “Sesiapa yang terjaga dari tidur malam, lalu membaca:
لَا إِلَهَ إِلَّا الله وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ اْلحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، اَلْحَمْدُ للهِ، وَسُبْحَانَ الله، وَلَا إِلَهَ إِلَّا الله، وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله.
“Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu baginya, bagiNya kekuasaan, dan baginya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu, segala pujian bagi Allah dan Maha Suci Allah, dan tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada keupayaan dan kekuatan melainkan Allah.” Kemudian membaca: اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ (Ya Allah, ampunilah daku) – atau berdoa (dengan doa yang lain) dan akan diperkenankan permohonannya. Sekiranya dia berwudhu, akan diterima solatnya.” (HR al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan keutamaan segera berzikir mengingati Allah sebaik sahaja bangun dari tidur. Perkara ini dapat dilakukan bagi sesiapa yang terbiasa dengan mengingati Allah SWT. Kata Ibn Battal RH:
“Allah berjanji melalui lidah NabiNya SAW, sesiapa yang bangun dari tidur dan lidahnya telah terbiasa dengan menyebut pengakuan tauhid kepada tuhannya, merendahkan diri kepada tuhannya, memperakui nikmat-nikmat dari tuhannya, lalu bertahmid kepada tuhannya, mensucikan tuhannya dari sesuatu yang tidak layak untuk tuhannya dengan bertasbih kepada tuhannya, merendahkan diri kepada tuhannya dengan bertakbir dan menyerahkan dirinya yang lemah melainkan dengan tuhannya. Oleh itu apabila orang itu berdoakan kepada tuhannya, doa itu akan diperkenankan, jika dia menunaikan solat, Allah akan menerimanya. Maka semestinya bagi sesiapa yang mendengar hadis ini mengambil peluang beramal dengannya dan mengikhlaskan niatnya kepada ruhannya yang maha suci.” (Lihat Fath al-Bari: 3/41)
Di dalam hadis ini ada disebut 4 kalimat yang paling disukai oleh Allah SWT. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, daripada Samurah bin Jundub RA, Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Kalimat yang paling disukai oleh Allah Taala ada 4, tidak mengapa kamu hendak memulakan mana-mana dari salah satunya, iaitulah:
سُبْحَانَ الله، وَالْحَمْدُهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا الله، وَاللهُ أَكْبَرُ
Di dalam hadis lain baginda bersabda: “Jika daku menyebut:
سُبْحَانَ الله، وَالْحَمْدُهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا الله، وَاللهُ أَكْبَرُ
Lebih daku sukai berbanding dunia dan isinya.”(HR Muslim)
Secara ringkasnya kalimat Tasbih mengandungi maksud mensucikan Allah SWT dari setiap perkara yang tidak layak dengan keagungan dan kesempurnaanNya. Manakala kalimah Tahmid pula bermaksud menetapkan segala kesempurnaan kepada Allah SWT. Al-Tahlil pula terkandung di dalamnya tauhid dan ikhlas kepada Allah SWT. Al-Takbir pula mengagungkan Allah SWT, tiada sesuatu lain yang lebih besar dari Allah SWT.
Ungkapan وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله merupakan ungkapan mohon pertolongan, mengamalkannya ketika sebaik sahaja baru bangun dari tidur amat bersesuai dengan keperluan manusia, dimana setiap manusia pada ketika itu amat memerlukan kesungguhan, kecerdasan dan kesungguhan yang tinggi. Maka yang mampu memberi pertolongan-pertolongan tersebut hanyalah Allah SWT. Dalam ungkapan zikir ini juga mengandungi penyerahan segala urusan kepada Allah dan berlepas diri dari sebarang keupayaan dan kekuatan yang dipohon selain daripadaNya. Ia juga mengandungi pengakuan bahawa seseorang hamba tidak memiliki sebarang keupayaan dan kekuatan, tiada kemampuan untuk menolak sebarang keburukan, apatah lagi untuk memperolehi sebarang kebaikan melainkan daripada Allah SWT jua. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari dari Abi ‘Abdillah al-Farabri, iaitulah seorang periwayat dari al-Bukhari yang berkata: “Aku mengamalkan zikir ini ketika bangun dari tidur, kemudian aku tertidur, lalu di dalam mimpiku datang seseorang dan membaca:
Mafhumnya: “dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata Yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang amat Terpuji.” (al-Hajj: 24)
Ternyata memelihara zikir ini termasuk di dalam mendapat petunjuk kepada mengucapkan perkataan yang baik serta mendapat petunjuk ke jalan yang lurus. Kita memohon kepada Allah SWT untuk diberi keupayaan mengamalkannya.
- Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu bangun dari tidur, maka hendaklah dia membaca:
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ عَافَانِيْ فِيْ جَسَدِيْ وَرَدَّ عَلَيَّ رُوْحِيْ، وَأَذِنَ لِيْ بِذِكْرِهِ
Mafhumnya: “Segala pujian milik Allah yang telah memberi kesihatan pada tubuh badanku, dan mengembalikan kepadaku nyawaku, dan mengizinkan daku mengingatiNya.” (HR al-Tirmizi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)
Di dalam doa ini adanya pujian kepada Allah SWT yang telah memberi kesejahteraan dan keselamatan pada tubuh badan, demikian juga yang telah mengembalikan ruh ke dalam jasad untuk seseorang terus menambahkan ibadah, ketaatan dan memperbanyakkan mengingatiNya. Kerana itu di akhir doa ini, baginda SAW mengajarkan kepada kita untuk membaca: “Dan mengizinkan daku mengingatinya.” Iaitulah Allah yang telah memberi taufik dan membantu seseorang mengingatiNya.
Secara umumnya perkara sewajarnya untuk dilakukan sebaik sahaja seseorang bangun dari tidur iaitulah bersegera mengingati Allah SWT, berwudhu dan menunaikan solat untuk memperolehi keberkatan pada hari tersebut. Ia juga berperanan mendatangkan kecergasan, memulakan hari dengan penuh kesungguhan untuk mendapat kebaikan dan jauh dari kemalasan. Berkaitan hal ini Nabi SAW bersabda:
Mafhumnya: “Syaitan akan mengikat tiga simpulan di hujung kepada setiap seorang daripada kamu ketika dia tidur. Setiap simpul memiliki tujuannya, dia akan menjadikan kamu merasakan malam masih panjang, oleh itu teruskan tidur. Jika seseorang kamu bangun, lalu mengingati Allah (atau berzikir), terungkailah satu simpulan, jika dia berwudhu, terlerai pula satu simpulan lagi, jika dia menunaikan solat, maka terlerailah ketiga-tiga simpulan tersebut, jadilah dia pada pagi hari berada dalam keadaan cergas dan keelokan jiwa. Jika tidak dia akan berada dalam keadaan buruk jiwa dan kemalasan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Terdapat pula hadis lain yang menyatakan syaitan akan membuat simpulan di tempat-tempat wudhu, apabila seseorang bangun dari tidurnya lalu berwudhu, maka simpulan-simpulan tersebut akan terungkai. Hal ini berdasarkan hadis daripada ‘Uqbah bin ‘Amir RA yang berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang lelaki dari kalangan umatku apabila dia bangun dari tidur malam lalu segera merawat dirinya dengan berwudhu sedang padanya ada beberapa simpulan (syaitan). Maka apabila dia berwudhu dengan membasuh dua tangannya, terlerailah satu simpulan. Apabila dia membasuh (berwudhu) mukanya, terlerai lagi satu simpulan. Apabila dia menyapu kepalanya, terlerai lagi sati simpulan. Apabila dia membasuh kedua-dua kakinya, maka terlerai lagi satu simpulan. Lalu Allah Jalla wa ‘Ala berfirman: “Lihatlah kepada hambaKu ini, dia merawat dirinya untuk mengadap dan memohon kepadaKu, apa-apa yang hamba ini pinta kepadaKu, maka untuknya perkara tersebut, apa-apa yang hamba ini pinta kepadaKu, maka untuknya perkara tersebut.” (HR Ahmad dan Ibn Hibban. Hadis ini tersenarai di dalam Sahih Ibn Hibban)
Sebahagian para ulama berpandangan sesiapa yang mengingati Alllah SWT sebelum tidur dengan mengamalkan zikir-zikir sebelum tidur dan membaca ayat-ayat perlindungan, maka mereka tidak termasuk dari orang-orang yang terkena simpulan-simpulan syaitan ini. Hal ini kerana telah dinyatakan di dalam hadis sesiapa yang memelihara zikir-zikir sebelum tidur akan mendapat pemeliharaan dari Allah dan syaitan tidak akan mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu Subuh.[1]
Bagi sesiapa yang meneruskan tidurnya, merelakan dirinya berada dalam keadaan malas sehingga masuk waktu Subuh, maka dia membiarkan syaitan kencing di dalam telinganya. Perkara ini seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW daripada hadis Ibn Mas’ud RA yang berkata: “Suatu hari diceritakan kepada Nabi SAW tentang seorang lelaki yang tidur sehingga waktu Subuh[2]. Lalu baginda bersabda: “Lelaki itu adalah orang yang syaitan telah kencing ke dalam kedua-dua telinganya atau salah satu telinganya, dia berada pada waktu subuh dalam keadaan simpulan-simpulan syaitan tetap berada di tubuhnya, ditambah dengan kencing syaitan ke dalam telinganya, dia berada ketika subuh hari dalam keadaan kegagalan, kerugian dan keburukan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
------------------------
[1] Sila lihat al-Istia’zah oleh Ibn Muflih. Dicetak dengan tajuk Maso’ib al-Insan min Makaid al-Syaitan. Hal: 75
[2] Tanpa bangun untuk bertahajjud. (Lihat Dalil al-Falihin)