DOA KETIKA BANGUN TERKEJUT ATAU KETAKUTAN KETIKA TIDUR
- Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang terkejut jaga dari tidur maka hendaklah dia membaca:
أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ، وَشَرِّ عِبَادِهِ، وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِيْنَ وَأَنْ يَحْضُرُوْنَ
Mafhumnya: “Daku memohon perlindungan[1] dengan kalimah Allah yang sempurna[2] dari kemurkaan dan balasanNya,[3] dari kejahatan hamba-hambaNya dan dari bisikan-bisikan syaitan[4] dan kehadiran mereka[5]. Maka syaitan tidak akan dapat memudharatkannya” (Abu Daud, al-Tirmizi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)
--------------------------------
[1] Memohon perlindungan membawa maksud berlindung kepada Allah dan berselindung kepadaNya. Orang yang memohon perlindungan dan berselindungan dengan Allah adalah orang yang lari menyelamatkan diri dari setiap perkara yang boleh memudharatkannya kepada Allah SWT yang menguasai setiap perkara.
[2] Kalimah Allah yang sempurna iaitulah kalam-kalam Allah yang tidak mempunyai sebarang keaiban dan kekurangan sepertimana kalam manusia.
[3] الغَضَب merupakan salah satu dari Sifat Fi’liyyah (Sifat Perbuatan) Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT bersifat dengan sifat yang berbagai sepertimana yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah, termasuklah Murka, Redha, Sayang dan Benci. Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dalam memahami sifat-sifat seperti ini berpendirian menthabitkan setiap sifat yang telah dinisbahkan kepada Allah oleh Allah SWT sendiri dan RasulNya SAW dan kesemua sifat tersebut adalah bersesuaian dengan kebesaran dan kemuliaan Allah SWT dan ianya tidak sama dengan sebarang makhluk. Maka orang-orang Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah beriman bahawa Allah SWT memiliki sifat murka, lalu mereka berlindung kepada Allah dari kemurkaanNya dari setiap perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan juga balasan dari Allah dan bersungguh-sungguh menjauhi kesemuanya. Sesungguhnya termasuk dalam perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan dan balasan daripada Allah, apabila seseorang ditimpa rasa gelisah dan bimbang lalu meminta perlindungan kepada selain dari Allah. Apakah dapat diterima akal yang waras, seorang hamba meminta perllindungan dari seorang hamba juga? Bagaimana dia boleh berlindung kepada makhluk yang sama sepertinya lalu meninggalkan Allah SWT? Perkara ini jelas menunjukkan kekurangan, kepincangan juga kecacatan akal fikiran orang-orang yang pergi berjumpa para dukun dan bomoh ketika ditimpa ketakutan dan kebimbangan. Sedangkan pengaduan, permohonan hajat, pembebasan dari setiap kebimbangan dan ketakutan dan seumpamanya tidak wajar diminta melainkan dari Allah SWT sahaja. Allah berfirman:
Mafhumnya: “atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah ada Tuhan lain selain ALlah? Amat sedikit dari kalangan kamu mengingati(Nya).” (al-Naml: 62)
[4] Yang dimaksudkan dengan ومن همزات الشياطين (dan dari bisikan-bisikan syaitan) iaitulah tusukan dan tikaman syaitan dan bisikan keraguannya, terangkum juga semua perkara memudharatkan yang sentiasa menjadi usaha syaitan untuk dikenakan ke atas setiap manusia.
[5] Iaitulah dari kehadiran syaitan dalam setiap keadaan.