PENSYARIATAN SOLAT ISTIKHARAH
Dalil pensyariatan solat Istikharah ialah hadith Nabi S.A.W.:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ يَقُولُ: إذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ:
Maksudnya: “Dahulunya Rasulullah S.A.W. mengajarkan kepada kami al-Istikharah dalam semua urusan kami, sepertimana dia mengajarkan kepada kami al-Quran[1], baginda bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu hendak melakukan sesuatu urusan[2], maka dia tunaikanlah solat sunat dua rakaat, kemudian sesudah itu dia mengucapkan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ]ثم يسميه[خَيْرٌ لِي فِي دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، فَاقْدُرْهُ لِيْ وَيَسِّرْهُ لِيْ ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ ]ثم يسميه[شَرٌّ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، فَاصْرِفْهُ عَنِّيْ وَاصْرِفْنِيْ عَنْهُ وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ ارْضِنِيْ بِهِ.
Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada Engkau pilihan terbaik untuk-ku dengan pengetahuan-Mu[3], dan aku memohon ketentuan dengan kekuasaan-Mu[4], dan aku juga memohon kepada-Mu dengan kelebihan-Mu yang maha agung[5], sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, dan Engkaulah yang maha mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui[6], dan Engkau jugalah yang maha mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi[7]. Ya Allah sekiranya dalam pengetahuan-Mu, urusan ini [kemudian dia sebutkan urusan itu][8] baik untuk-ku, agama-ku, kehidupan-ku dan baik juga kesudahannya, baik untuk masa sekarang dan akan datang[9], maka takdirkanlah perkara itu kepada aku dan mudahkanlah dia untuk-ku kemudian Engkau berkatikanlah urusan itu untuk aku. Ya Allah sekiranya dalam pengetahuan-Mu, urusan ini [kemudian dia sebutkan urusan itu][10] buruk untuk-ku, agama-ku, kehidupan-ku dan kesudahnnya, buruk untuk dunia dan akhirat-ku[11], maka palingkanlah urusan itu daripada-ku, dan palingkanlah juga aku daripadanya, kemudian takdirkanlah untuk-ku kebaikan lain walau dimana sahaja kebaikan itu berada, kemudian Engkau jadikanlah aku redha dengannya.”[12]
----------------------------------------
[1] Iaitulah baginda bersungguh mengajarkan kepada mereka solat Istikharah dan menghafaz doa istikharah sebagaimana baginda bersungguh menyuruh mereka menghafaz surah al-Quran.
[2] Iaitulah apabila bertekat untuk melakukan sesuatu, atau berniat melakukan sesuatu, atau ditimpa sesuatu perkara yang tidak diketahui jalan keluarnya.
[3] Aku memohon kepada Mu pilihan terbaik untukku, aku memohon pertolongan untuk hajatku ini agar Engkau pilihkan perkara yang terbaik untukku. Aku juga bertawassul dengan ilmuMu yang mencakupi setiap sesuatu di langit mahupun di bumi.
[4] Daku memohon daripadaMu bantuan di atas apa-apa yang Engkau tetapkan untukku. Daku juga bertawassul dengan kekuasaanMu (al-Qudrah). Di dalam doa ini terdapat contoh bertawassul dengan sifat-sifat Allah SWT iaitulah Berilmu dan Berkuasa. Hal ini kerana semua urusan dan perbuatan Allah SWT tidak dilakukanNya melainkan dengan ilmu dan kuasa. Justeru jadilah doa ini memaksudkan memohon ketetapan dengan al-Qudrah Allah (Kekuasaan Allah), manakala memohon pilihan terbaik pula dengan ilmu Allah SWT.
[5] Sejurus bertawassul dengan sifat Ilmu Allah dan Sifat al-QudrahNya (kekuasaan). Maka disusuli dengan permintaan dikurniakan kelebihan-kelebihan dari Allah SWT yang tidak akan luput dan kemuliaanNya yang tidak terhijab. Jika diperhatikan kepada doa al-Istikharah ini, ia merangkumkan 3 perkara:
- Ilmu Allah atau pengetahuanNya terhadap apa-apa perkara yang lebih baik.
- Takdir atau penetapanNya untuk perkara baik tersebut, yang ianya memerlukan kekuasaan. Sememangnya Dialah Allah yang Maha Berkuasa.
- Kelebihan Allah yang tiada penghujung, dan kemuliaanNya yang tidak terhijab dari sesiapapun.
Setelah itu membuka doanya dengan bertawassul dengan ilmu Allah SWT. Memohon pertolongan kepadaNya agar diberi pilihan yang terbaik. Setelah itu disusuli lagi dengan permohonan agar diberi kemampuan perlaksanaan. Inilah maksud memohon pertolongan dengan kekuasaan Allah SWT, ia termasuk di dalam bab tawassul.
[6] Ungkapan ini merupakan pengakuan akan sifat Maha Agung yang termasuk dari sifat-sifat Allah SWT. Dalam masa yang sama adanya pengakuan akan kelemahan seseorang hamba. Ungkapan ini merealisasikan tauhid seseorang hamba kepada tuhannya, penghinaan diri dari seorang hamba yang lemah kepada tuhannya yang Maha Berkuasa, dan permohonan bimbingan dari seorang hamba dari tuhannya yang Maha Mengetahui. Ia termasuk dalam kemuncak adab seseorang hamba bersama tuhannya iaitulah mengaku kelemahan diri. Allah SWT berfirmna:
[7] Disertakan perasaan mengiktiraf Allah S.W.T sahaja yang mengetahui kebaikan atau keburukan urusan yang terselindung daripada kita. Demikian juga mengiktiraf kejahilan diri tidak mengetahui kebaikan atau keburukan urusan tersebut. Oleh itu kita merendahkan diri memohon Allah S.W.T. pilihkan kebaikan untuk kita, memudahkan kebaikan itu untuk kita dan memberkati pemilihan itu ke atas kita.
[8] Pada ketika ini hendaklah disebut urusan tersebut. Atau boleh juga diingatkan sahaja urusan itu.
[9] Al-Syeikh ‘Adnan Muhammad ‘Ar’ur berkata: “Tambahan akhir ini (baik untuk masa sekarang dan akan datang) adalah hasil gabungan daripada keraguan periwayat. Gabungan seperti ini dilakukan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam al-Kalim al-Tayyib. Syeikh kami berkata: “Agar orang yang berdoa berada dalam keadaan yakin yang ia telah mengucapkan lafaz yang diajarkan oleh Nabi (S.A.W), dan dia tidak ketinggalan apa-apa lafazpun. Inilah juga yang dipilih oleh Ibn ‘Abidin di dalam Hasyiah-nya.” Sila lihat nota kaki 1, Thalathu Solawat Mahjurah, m.s. 15. Ungkapan عاجله وآجله yang diterjemahkan sebagai “untuk masa sekarang dan akan datang” boleh juga difahami ketika di Dunia dan Akhirat.
[10] Rujuk nota kaki 7 di atas.
[11] Rujuk nota kaki 8 di atas.
[12] H.R. al-Bukhari