PERKARA- PERKARA YANG BOLEH BERISTIKHARAH
Perkara yang wajib dan Sunat pada asal perbuatannya tidak perlu dilakukan istikharah untuk melaksanakannya. Demikian juga perkara-perkara Makruh dan Haram tidak perlu dilakukan istikharah untuk meninggalkannya. Ini kerana perkara-perkara yang wajib mesti dilaksanakan, dan yang sunat bagus dilakukan. Manakala perkara-perkara yang haram, mesti ditinggalkan dan makruh bagus dijauhkan.
Justeru tidak perlu beristikharah untuk melaksanakan solat wajib mahupun sunat, demikian juga tidak perlu istikharah untuk melaksanakan haji. Tidak perlu juga beristikharah untuk meninggalkan meminum arak dan perbuatan-perbuatan maksiat yang lain.
Sebaliknya al-Istikharah dilakukan untuk melakukan perkara-perkara harus seperti hendak melakukan urusan keduniaan yang berbagai, bermusafir, atau perkara yang tidak diketahui kesudahannya, atau dalam memilih cara melakukannya, atau memilih sesuatu tempat, atau memilih masa yang sesuai, atau memilih perniagaan yang hendak diceburi, pasangan hidup atau yang seumpamanya.
Demikian juga istikharah boleh dilakukan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan cara atau jalan untuk melakukan sesuatu perkara wajib atau sunat yang boleh dibuat pilihan. Sebagai contoh… menuntut ilmu itu adalah sunat, namun ada pula ilmu yang wajib dituntut. Maka istikharah dilakukan untuk memilih jenis ilmu yang sunat yang hendak dipelajari, demikian juga waktu dan tempat. Ini kerana tempat untuk menuntut ilmu adalah suatu yang diberi keizinan kepada kita untuk memilihnya, maka beristikharahlah untuk mendapat tempat yang paling baik. Beristikharahlah untuk memilih sekolah atau university yang paling baik. Namun tidak perlu untuk beristikharah untuk menuntut ilmu agama. Adapun menuntut ilmu dunia maka ia adalah sunat, diberi pilihan hendak menuntut apa-apa bidang ilmu yang dikehendakinya namun tidak perlu dilakukan istikharah dalam menuntut ilmu tersebut kerana ia sunat.
Demikian juga dengan haji. Ia adalah satu kewajipan, tidak dilakukan istikharah untuk menunaikan haji. Tetapi boleh melakukan istikharah untuk memilih kawan dalam melaksanakan haji atau memilih kaedah perjalan yang hendak di tempoh.
Sama halnya dengan Jihad. Ia adalah satu kewajipan. Tidak perlu beristikharah untuk berjihad yang wajib. Namun dilakukan istikharah untuk masa yang sesuai, strategi yang bakal diambil, pemilihan ketua, dan seumpamanya.
Berkahwin itu sama ada wajib atau sunat. Maka tidak dilakukan istikharah untuk berkahwin. Namun boleh dilakukan istikharah untuk memilih pasangan. Boleh juga dilakukan istikharah ketika bertembung dua perkara yang wajib atau bertembung dua perkara sunat. Yang mana satu hendak dilakukan atau yang mana satu perlu didahulukan. Contoh berlaku pertembungan antara dua perkara yang wajib ialah seperti antara berkahwin dengan menunaikan haji bagi yang hanya memiliki perbelanjaan salah satunya sahaja.
Contoh berlaku pertembungan antara dua perkara yang sunat pula seperti bertembung antara jihad sunat dengan menuntut ilmu yang sunat atau antara haji sunat. boleh juga dilakukan istikharah untuk memilih jenis sedekah yang patut disalurkan kepadanya. Atau seumapamnya.
Kesimpulannya bahawa, istikharah dilakukan dalam semua perkara harus, dalam perkara wajib dan sunat yang ada pilihan waktu, tempat, cara atau ketika berlaku pertembungan dalam perkara wajib atau sunat seperti yang dijelaskan di atas. Inilah maksud perkataan Jabir bin ‘Abdillah yang berkata:
“Dahulunya Rasulullah S.A.W. mengajarkan kepada kami al-Istikharah dalam semua urusan kami..”
Kata Ibn Abi Jamrah: “Ia (perkataan Jabir di atas) umum yang memaksudkan khusus. Sesungguhnya perkara wajib dan sunat tidak perlu istikharah untuk melakukannya. Demikian juga perkara haram dan makruh tidak perlu beristikharah untuk meninggalkannya. Maka berhimpunlah istikharah itu dilakukan dalam perkara yang harus, dan jika bertembung dua perkara sunat, yang mana hendak didahulukan atau memadai dengannya…”
Ibn Hajar al-‘Asqalani telah memberi komentarnya terhadap perkataan Ibn Abi Jamrah ini dengan berkata: “Istikharah juga boleh dilakukan dalam apa-apa urusan yang selain yang disebut (oleh Ibn Ibi Jamrah), dalam perkara wajib dan sunat yang ada pilihan, dan dalam urusan yang ada keluasan waktunya, dan untuk mengambil urusan umum yang penting dari urusan yang berbagai, dan dalam mengambil urusan kecil, kerana berapa banyak urusan kecil yang terkandung di dalamnya perkara penting.” [1]
Oleh itu istikharah boleh dilakukan dalam semua urusan yang dinyatakan. Sama ada ketika dalam keraguan atau dalam keadaan pasti. Yang penting tujuan istikharah ialah meminta taufiq bukan sekadar bertujuan menghilangkan keraguan.
---------------------------------
[1] Fath al-Bari 11/184