Soalan Saudara Ibrahim yang berbunyi: “Bolehkah kita bertabarruk dengan sesuatu yang mempunyai berkah berdasarkan hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam?”
Jawapannya:
Boleh, sememangnya boleh kita bertabarruk ataupun mengambil berkat atau mengharapkan berkat dari sesuatu yang memiliki berkat berdasarkan hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam. Barakah yang dimaksudkan iaitulah النمو والزيادة itulah yang bermaksud subur dan bertambah, yakni sesuatu yang berkat membawa maksud sesuatu yang memiliki kebaikan yang banyak, kebaikan yang sentiasa subur dan bertambah. Itu maksud berkat. Maknanya sesuatu yang memiliki berkat, iaitulah sesuatu yang memiliki kebaikan yang sentiasa subur, tetap dan sentiasa bertambah.
Jadi apabila sesuatu perkara itu sabit dari hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam yang ianya memiliki berkat, maka kita mengambil berkat, kita mengharapkan kebaikan yang banyak dan yang mencurah-curah dikurniakan kepada kita. Itu maksud mengambil berkat dari sesuatu yang sabit keberkatannya dari Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Contoh yang disebut dalam soalan ini, berdoa selepas membaca surah al-Baqarah dengan berkata:
“Ya Allah aku mohon kepada-Mu dengan keberkatan surah al-Baqarah agar hajat dan sekian sekian..” berdasarkan hadis Rasulullah:
خُذِ الْبَقَرَةَ، فَإِنَّهاَ بَرَكَة
Maksudnya: “Bacalah surah al-Baqarah, kerana sesungguhnya ia memiliki keberkatan.”
Ada beberapa isu yang perlu dijelaskan di sini. Pertamanya; berdoa selepas membaca al-Quran. Persoalan berdoa selepas membaca al-Quran, yang saya boleh jawab di sini, bahawa tidak terdapat lafaz doa yang khusus dari Nabi sallallahu alaihi wasallam untuk kita baca doa tersebut selepas membaca al-Quran. Tidak terdapat lafaz doa khusus dari nabi. Namun bukan bermaksud kita tidak boleh berdoa. Kerana secara umumnya kita dibenarkan berdoa sebaik sahaja ataupun selepas selesai dari menunaikan apa-apa amalan soleh seperti selepas solat dan seumpamanya. Bahkan isyarat di dalam al-Quran membenarkan perkara ini. Itulah boleh berdoa selepas melakukan amalan soleh. Antaranya ayat al-Quran yang menceritakan doa yang dibaca oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebaik sahaja baginda berdua selesai membina Kaabah. Allah subhanahu wa ta'ala berfirman:
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim selesai meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): "Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (al-Baqarah: 127)
Ini antara bukti disyariatkan atau dibolehkan kita berdoa sebaik sahaja melakukan amalan soleh. Maka membaca al-quran adalah termasuk di dalam amalan soleh dan kita boleh berdoa sebaik sahaja selepas membaca al-quran. Jadi boleh berdoa, bukan hanya dikhususkan selepas membaca surah al-Baqarah sahaja, bahkan selepas membaca mana-mana surah al-Quran ataupun selepas kita khatamkan al-Quran, kita boleh berdoa kepada Allah SWT.
Cumanya jangan dikhususkan, kerana tidak ada lafaz tertentu dan tidak ada surah tertentu yang dikhususkan untuk kita baca. Manakala hadis Nabi yang disebutkan:
خُذِ الْبَقَرَةَ، فَإِنَّهاَ بَرَكَة
Maksudnya: “Bacalah surah al-Baqarah, kerana sesungguhnya ia memiliki keberkatan.”
Hadis ini berdasarkan lafaz hadis yang Sahih, di mana Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:
اقْرَؤُوا سُورَةَ البَقَرَةِ، فإنَّ أخْذَها بَرَكَةٌ، وتَرْكَها حَسْرَةٌ، ولا تَسْتَطِيعُها البَطَلَةُ
Maksudnya: “Bacalah surah al-Baqarah, kerana sesungguhnya membacanya suatu keberkatan, meninggalkannya satu kerugian dan sihir tidak akan mampu menghadapinya.” (HR Muslim)