Zikir Ketika Melihat Sesuatu Yang Baik Atau Buruk Di Dalam Tidur

  • Dari Sa’id al-Khudriy RA, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا فَإِنَّمَا هِيَ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ فَإِنَّمَا هِيَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا وَلَا يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ فَإِنَّهَا لَا تَضُرُّهُ

Mafhumnya: “Apabila seseorang dari kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, maka perkara itu adalah dari Allah, maka bertahmidlah kepada Allah, dan ceritakanlah perkara tersebut. Jika dia melihat sesuatu yang tidak disukainya, perkara itu adalah dari syaitan, maka mohonlah perlindungan dari kejahatannya (kejahatan mimpi), dan jangan diceritakan kepada seseorangpun, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak dapat mendatangkan mudharat kepadanya.” (HR al-Bukhari)

  • Dari Abu Salamah, katanya:

لَقَدْ كُنْتُ أَرَى الرُّؤْيَا فَتُمْرِضُنِي حَتَّى سَمِعْتُ أَبَا قَتَادَةَ يَقُولُ وَأَنَا كُنْتُ لَأَرَى الرُّؤْيَا تُمْرِضُنِي حَتَّى سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ اللَّهِ فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يُحِبُّ فَلَا يُحَدِّثْ بِهِ إِلَّا مَنْ يُحِبُّ، وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَلْيَتْفِلْ ثَلَاثًا وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا أَحَدًا فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ

Mafhumnya:  “Sesungguhnya aku pernah bermimpi suatu yang tidak elok, sehingga menyebabkan aku jatuh sakit, sehinggalah aku mendengar Abu Qatadah berkata: ”Aku juga sebelum ini pernah bermimpi buruk sehingga menyebabkan aku jatuh sakit. Lalu aku mendengar Nabi SAW bersabda: Mimpi yang baik itu dari Allah, oleh yang demikian jika seseorang dari kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, maka jangan dia menceritakannya melainkan kepada sesiapa yang dia suka. Dan jika dia bermimpi sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaklah dia meminta perlindungan dengan Allah dari kejahatan mimpi dan syaitan, dan meludah (meludah angin tanpa air liur) tiga kali, dan jangan dia menceritakannya kerana ia tidak akan memudharatkannya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

  • Dari Jabir RA pula, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤيَا يَكْرَهُهَا فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا، وَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنْ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِيْ كَانَ عَلَيْهِ.

Mafhumnya: “Jika seseorang dari kamu semua bermimpi suatu yang dibencinya, maka hendaklah dia meludah (meludah angin tanpa air liur) ke sebelah kirinya tiga kali, dan meminta perlindungan dengan Allah daripada syaitan tiga kali, dan hendaklah dia berubah dari rusuk yang dia berada ketika itu.” (HR Muslim)

PENGAJARAN:

Beberapa hadis di atas menunjukkan sejumlah pengajaran yang dapat diambil, iaitulah:

  • Mimpi yang baik berada pada tempat yang mulia kerana ia dari Allah SWT. Allah mengurniakannya sebagai khabar gembira kepada orang-orang yang beriman, melunakkan dan memberi ketenangan kepadanya.
  • Sesuatu yang tidak disukai yang dilihat di dalam mimpi adalah dari syaitan bertujuan mendatangkan rasa sedih kepada orang yang beriman, dan semua itu tidak dapat memberi sebarang kemudharatan kepada orang yang beriman melainkan dengan keizinan dari Allah SWT jua. Maka apa yang dilihat di dalam mimpi terbahagi kepada tiga bahagian: Pertama: Mimpi baik sebagai khabar gembira dari Allah SWT. Kedua: Mimpi buruk dari syaitan bertujuan mendatangkan rasa bimbang dan sedih kepada manusia. Ketiga: Disebabkan perkara yang bermain di fikiran manusia.
  • Jika melihat sesuatu yang baik di dalam mimpi, tindakan yang perlu dilakukan ialah:

Pertama: Boleh bergembira dan menceritakannya kepada orang lain, namun jangan terpedaya. Mimpi baik seperti yang disebut oleh sebahagian para ulama salaf iaitulah تسر المؤمن ولا تغره menggembirakan orang yang beriman, namun tidak memperdayanya.

قَالَ المروذي : أَدْخَلْت إبْرَاهِيمَ الْحُمَيْدِيَّ عَلَى أَبِي عَبْدِ اللَّهِ وَكَانَ رَجُلًا صَالِحًا فَقَالَ : إنَّ أُمِّيَ رَأَتْ لَك كَذَا وَكَذَا وَذَكَرَتْ الْجَنَّةَ . فَقَالَ : يَا أَخِي إنَّ سَهْلَ بْنَ سَلَامَةَ كَانَ النَّاسُ يُخْبِرُونَهُ بِمِثْلِ هَذَا، وَخَرَجَ سَهْلٌ إلَى سَفْكِ الدِّمَاءِ وَقَالَ : الرُّؤْيَا تَسُرُّ الْمُؤْمِنَ وَلَا تَغُرُّهُ

Maksudnya: al-Marruzi berkata: ”Aku membawa masuk Ibrahim al-Humaidi bertemu Abu Abdullah. Ibrahim adalah seorang lelaki yang soleh, lalu dia berkata:  ”Ibuku melihatmu (Abu ’Abdullah) di dalam mimpi demikian dan demikian, dan dia menceritakan syurga”. Kata Abu ’Abdillah: ”Wahai saudaraku, sesungguhnya Sahl bin Salamah, dahulunya orang ramai menceritakan kepadanya sama seperti cerita kamu ini, namun Sahl terlibat dalam menumpahkan darah (orang ramai).” Selanjutnya dia (Abu Abdullah) berkata: ”Mimpi itu menggembirakan orang yang beriman, tetapi tidak memperdayakannya.” (al-Adab al-Syar’iyyah: 3/451)

Kedua: Bertahmid atau memuji Allah yang telah memperlihatkan sesuatu yang menggembirakannya di dalam mimpi. Ia termasuk dalam satu kebaikan, kelebihan dan kemuliaan dari Allah SWT untuknya.

Ketiga: Menceritakan kepada sesiapa yang dia suka terdiri dari saudara dan kenalannya yang dapat berkongsi dan menasihatinya ke arah kebaikan.

 

Keempat: Tidak menceritakan mimpi tersebut kepada orang yang tidak menyukainya, agar jauh dari keburukan dan kejahatan seperti hasad atau seumpamanya.

  • Jika melihat sesuatu yang tidak baik di dalam mimpi, tindakan yang perlu dilakukan ialah:

Pertama: Menyedari mimpi itu adalah dari syaitan bertujuan mendatangkan kesedihan, memasukkan rasa takut, bimbang dan seumpamanya kepada manusia. Oleh yang demikian tidak perlu menghiraukan mimpi tersebut dan jangan menyibukkan fikiran memikirkannya.

Kedua: Meminta perlindungan dengan Allah dari keburukan mimpi dan kejahatan syaitan. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: ”Barangsiapa yang berpegang teguh (berlindung) kepada Allah, Maka Sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” (Ali Imran: 101)

Ketiga: Meludah ke kiri tiga kali. Dikatakan ia dilakukan kerana syaitan datang dari arah kiri menghasut dan membisikkan keraguan ke jantung hati manusia, dan jantung hati itu pula berada lebih hampir ke sebelah kiri, oleh yang demikian syaitan akan datang dari arah yang dekat dengan jantung hati. Wallau a’lam.

Keempat: Berubah ke rusuk satu lagi. Dikatakan tujuan melakukan perbuatan ini, ia merupakan harapan agar dapat berubah dari mimpi yang buruk tersebut kepada mimpi yang baik.

Kelima: Tidak menceritakannya kepada sesiapa. Terdapat hadis dari Jabir RA yang berkata: ”Suatu hari seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata: ”Wahai Rasulullah, aku bermimpi seolah-olah kepala aku dipancung.” Kata Jabir: ”Lalu Nabi SAW ketawa dan bersabda: ”Apabila syaitan mempermainkan seseorang dari kamu di dalam mimpinya, maka jangan dia menceritakannya kepada orang lain.” (HR Muslim)

Dalam riwayat lain Jabir berkata: ”Suatu hari datang seorang Arab Badwi bertemu Nabi SAW dan berkata: ”Wahai Rasulullah! Aku telah bermimpi seolah-olah kepala aku dipancung dan jatuh bergolek. Mimpi itu meninggalakan kesan yang berat ke atasku. Lalu baginda SAW bersabda: ”Jangan kamu bercerita kepada orang ramai apabila apabila syaitan mempermainkanmu di dalam tidurmu.” (HR Muslim)  

Nabi SAW menyatakan sesiapa yang melakukan amalan-amalan ini, mimpi tersebut tidak akan mendatangkan mudharat kepadanya. Sebaliknya semua amalannya itu menjadi sebab memdapat perlindungan Allah dari sebarang keburukan mimpi dan kejahatan syaitan. Oleh yang demikian seseorang hamba sewajarnya berterusan mentaati Allah SWT dan menjauhi sebarang maksiat agar terus berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan dari Allah SWT. Kata Ibn Sirin RH:

اتق الله في اليقظة ، ولا تبال ما رأيت في النوم

Maksudnya: ”Bertakwalah kamu kepada Allah ketika jaga, justeru kamu tidak perlu  pedulikan apa yang kamu lihat di dalam mimpi.” (Lihat Syarh al-Sunnah oleh al-Imam al-Baghawi)


Cetak  
Wallahu a'lam