Zikir Keluar Rumah

Sunnah Nabi SAW telah menyenaraikan beberapa doa dan zikir yang dipenuhi keberkatan untuk diucapkan oleh seseorang muslim ketika keluar dari rumah. Doa dan zikir tersebut berperanan mendatangkan pemeliharaan dari Allah SWT, dicukupkan setiap keperluannya, dilindungi dari sebarang keburukan dan diberi petunjuk ke jalan yang lurus dan benar. Zikir dan doa tersebut sebahagiannya adalah seperti berikut:

  • Dari Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu keluar dari rumahnya, maka hendaklah dia membaca:

بِسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Mafhumnya: “Dengan nama Allah,[1] daku bertawakkal kepada Allah,[2] tiada keupayaan dan kekuatan melainkan dengan Allah.” Baginda seterusnya bersabda: “dikatakan[3] ketika itu: “engkau telah diberi petunjuk[4], diberi kecukupan[5] dan diberi pemeliharaan[6], lalu syaitan menjauhinya dan berkata syaitan yang lain: “Bagaimana kamu (mampu memesongkan) seorang lelaki yang telah diberi hidayah, diberi kecukupan dan perlindungan?”  (HR Abu Daud dan al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

  • Dari Umm Salamah RA katanya: “Rasulullah SAW tidak pernah keluar dari rumah baginda sama sekali melainkan baginda akan mengangkat pandangannya ke langit dan membaca:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ، أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ، أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ، أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ

Mafhumnya: “Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung denganMu dari tersesat[7] atau disesatkan[8], atau dari tergelincir[9] atau digelincirkan[10], atau menzalimi[11] atau dizalimi[12], atau daku melakukan perbuatan orang bodoh[13] atau daku dibodohkan[14].” (HR Abu Daud dan Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah)

Doa ini menghimpunkan permohonan dijauhkan dari setiap perkara yang menjauhkannya dari hidayah, kecukupan dan perlindungan dari Allah SWT. Tidak mengapa jika dihimpunkan atau dibacakan kedua-dua doa ini ketika keluar dari rumah.[15]

-------------------------------- 

[1] Ketika membaca Bismillah seseorang itu memaksudkan perbuatan yang hendak dilakukannya dengan menyebut nama Allah tersebut. Ketika dia membaca bismillah untuk keluar dari rumah ia memaksudkan daku keluar dari rumah dalam keadaan mengharap dan meminta pertolongan, pemeliharaan dan bimbingan dari Allah SWT.

[2] Membawa maksud daku bersandar kepada Allah dan menyerahkan semua urusanku kepadaNya. Maka bertawakkal bermaksud menyandar dan menyerah. Ia termasuk amalan hati, tidak boleh memalingkan perasaan ini kepada selain Allah SWT, sebaliknya wajib mengarahkannya hanya kepada Allah sahaja. Firman Allah SWT Taala:

Mafhumnya: “dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman". (al-Maidah: 23)

Di dalam ayat ini Allah SWT menjadikan tawakkal sebagai salah satu syarat keimanan kepadanya. Terhimpun pada tawakkal itu berbagai jenis ibadah. Ia juga merupakan kedudukan tauhid yang tertinggi dan teragung. Ia melahirkan amalan soleh dan ketaatan yang berbagai. Ini kerana jika seseorang hamba telah bersandar kepada Allah dalam semua urusannya sama ada urusan dunia mahupun akhirat, maka benarlah keikhlasannya dan bertambah kuatlah hubungannya dengan Allah. Seterusnya Allah akan mencukupkan semua keperluannya. Allah Taala berfirman:

Mafhumnya: “dan Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (al-Tolaq: 3)

[3] Yang berkata di sini boleh dimaksudkan kepada Allah SWT atau boleh juga kepada Malaikat.

[4] Diberi petunjuk ke jalan yang benar kerana memohon pertolongan dari Allah SWT dalam menempuh jalan untuk melakukan perkara yang akan dilakukannya. Maka sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah, sudah tentu tiada yang dapat menyesatkannya.

[5] Kecukupan dalam setiap urusan dunia dan akhirat.

[6] Pemeliharaan dari setiap kejahatan musuh dari kalangan syaitan dan selainnya.

[7] Seperti terjebak melakukan perkara yang boleh membawa kepada kesesatan atau melakukan dosa yang memalingkan kita dari jalan yang lurus.

[8] Sama ada disesatkan oleh syaitan dari kalangan jin mahupun manusia. Dimana para syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia dan menghalang mereka dari jalan yang lurus.

[9] Perkataan أَزِلَّ diambil dari زَلَّةُ الْقَدَم tergelincir kaki, iaitulah memaksudkan perlakuan salah yang dilakukan secara tidak sengaja atau tidak disedari. Tergelincir di sini memaksudkan yang berlaku disebabkan kesilapan diri sendiri.

[10] Tergelincir yang berlaku disebabkan pengaruh luar atau usaha dari orang lain.

[11] Iaitulah menzalimi diri sendiri dengan melakukan kesalahan dan dosa. Termasuk melakukan kezaliman ke atas orang lain seperti bertindak melampau terhadap seseorang atau menguruskan sesuatu milik orang lain secara salah, atau menjadikan perkara tersebut rosak atau ditimpa keburukan.

[12] Iaitulah kezaliman dari orang lain ke atas kita. Sama ada kezaliman itu berlaku ke atas diri kita, harta atau maruah.

[13] Termasuk menyibukkan diri melakukan perkara-perkara yang tiada manfaat, atau mengabaikan perkara yang wajib ke atasku.

[14] Diperlakukan seperti orang bodoh oleh orang lain, termasuk mendapat celaan dan celaan dari orang lain.

[15] Lihat Fiqh al-Ad’iyyah wa al-Azkar oleh al-Syeikh Abdul Razak bin ‘Abdul Muhsin al-Badr.


Cetak  
Wallahu a'lam