Zikir Masuk Rumah

Kebanyakan zikir yang digalakkan untuk dibaca apabila masuk ke dalam rumah ialah membaca Basmalah, memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan memberi salam sama ada terdapat orang di dalam rumah ataupun tiada. Hadis-hadis tersebut adalah seperti di bawah:

  • Dari Jabir bin ’Abdillah RA yang mendengar Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang dari kamu masuk ke dalam rumahnya, lalu menyebut nama Allah ketika memasukinya dan ketika hendak makan, berkata syaitan: ”Tiada tempat bermalam dan tiada makan malam untuk kamu semua (para syaitan).” Dan apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya, maka berkata syaitan: ”Kamu semua (para syaitan) telah mendapat tempat bermalam.” Jika dia tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan, berkata pula syaitan: ”Kamu semua telah mendapati tempat bermalam dan makan malam.” (HR Muslim)

Hadis ini mengisyaratkan dengan jelas menyebut nama Allah ketika memasuki rumah, sebelum makan dan minum dapat melindungi seseorang daripada syaitan. Zikir ini amat diperlukan oleh setiap muslim memandangkan syaitan sentiasa berusaha menyertai seseorang hamba dalam setiap keadaannya, ketika memasuki rumah, makan, minum dan dalam semua keadaannya. Namun apabila seseorang hamba menyebut nama tuhannya, maka syaitan akan bersembunyi dan menjauhkan diri, seterusnya diri seseorang muslim akan terpelihara dari tipu daya syaitan. Manakala jika Allah dilupakan maka sentiasalah syaitan menyertai dalam setiap keadaan dan tindakan seseorang hamba termasuklah ketika memasuki rumah, makan, minum dan seumpamanya. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya ”Barangsiapa yang berpaling dari mengingati Tuhan yang Maha Pemurah, Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) Maka syaitan Itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (al-Zukhruf: 36)

Adapun jika mengingati Allah, syaitan akan menjadi lemah dan menjauhi seseorang hamba. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, kamu (syaitan) tidak dapat berkuasa atas mereka. dan cukuplah Tuhan-mu sebagai Penjaga". (al-Isra: 65)

Al-Syeikh ‘Abdul Rahman bin Sa’di RH ketika menafsirkan ayat ini menyebut:

“Ramai di kalangan para ulama tafsir yang menyebut bahawa termasuk penyertaan syaitan terhadap harta dan anak-pinak apabila meninggalkan menyebut nama Allah ketika hendak makan, minum dan jimak. Jika tidak menyebut nama Allah dalam semua keadaan tersebut, maka syaitan akan menyertainya seperti yang dinyatakan di dalam hadis.” (Lihat tafsir al-Sa’di)

  • Digalakkan memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah, tidak kira sama ada rumah sendiri atau rumah orang lain, sama ada berpenghuni ataupun tidak. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: ”...Maka apabila kamu memasuki  mana-mana rumah, berilah salam ke atas sesama kamu sebagai  penghormatan yang disyariatkan oleh Allah, yang diberkati (mengandungi keselamatan, rahmat dan keberkatan) lagi baik...”  (al-Nur: 61)

Al-Syeikh ’Abd al-Rahman al-Sa’di RH berkata ketika menafsirkan ayat ini, memberi salam dengan menyebut:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Atau:

السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ

Al-Syeikh ‘Abd al-Razak bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr berkata: “Perkataan (al-Sa’di) tentang lafaz salam: السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ, ketika memasuki rumah, terutamanya rumah yang tidak berpenghuni terdapat hadis tentangnya, namun ia tidak thabit dari Nabi SAW dengan sanad yang Sahih.  Seperti yang terdapat di dalam al-Muwattha Malik RH, telah sampai kepadanya hadis: “Bahawasanya disunatkan memasuki rumah yang tidak berpenghuni untuk diucapkan: السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ”, selain itu terdapat juga sebahagian athar daripada Qatadah RH dan selainnya dari kalangan salaf. Akan tetapi berpada dengan apa yang thabit dari sunnah iaitulah dengan ucapan salam السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ  adalah lebih dituntut dalam lebih sempurna, sama ada rumah itu berpenghuni ataupun tidak.

            Perkataan السلام عليكم ketika memasuki rumah memiliki keberkatan ke atas seseorang insan dan ahli keluarganya seperti yang ditunjukkan di dalam ayat yang lalu (al-Nur: 61). Di dalam kitab Sunan al-Tirmizi, dari Anas RA yang berkata: “Rasulullah SAW berkata kepadaku:

يا بني، إذا دخلت على أهلك فسلّم، تكن بركة عليك وعلى أهل بيتك

Mafhumnya: “Wahai anakku, jika kamu memasuki (rumah) menemui ahli keluarga kamu, berikanlah salam, ia menjadi keberkatan ke atas kamu dan ke atas ahli keluarga kamu.” (al-Tirmizi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

            Maka sesiapa yang memberi salam ketika memasuki rumahnya, maka dia berada dalam jaminan dari Allah Ta’ala. Di dalam (kitab) Sunan Abi Daud, (hadis) dari Abu Umamah al-Bahili, dari Rasulullah SAW yang bersabda:

ثلاثة كلهم ضامن على الله عز وجل: رجل خرج غازيا في سبيل الله، فهو ضامن على الله عز وجل، حتى يتوفاه، فيدخله الجنة أو يرده بما نال من أجر وغنيمة، ورجل راح إلى المسجد فهو ضامن على الله تعالى، حتى يتوفاه، فيدخله الجنة أو يرده بما نال من أجر وغنيمة، ورجل دخل بيته بسلام فهو ضامن على الله سبحانه وتعالى

Mafhumnya: ”Tiga golongan, kesemua mereka yang dijamin dari Allah AZW: iaitulah seorang lelaki yang keluar berperang pada jalan Allah, dia berada di dalam jaminan Allah, sehinggalah dia gugur lalu dimasukkan ke dalam Syurga, atau dia pulang dengan memperolehi pahala atau ghanimah. Juga seorang lelaki yang keluar ke masjid, dia berada di dalam jaminan Allah, sehinggalah dia mati lalu dimasukkan ke dalam syurga atau dia pulang dengan memperolehi pahala dan ghanimah. Juga seorang lelaki yang memasuki rumahnya dengan memberi salam, dia berada di dalam jaminan Allah SWT.” (Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib. Fiqh al-Ad’iyyah wa al-Azkar)


Cetak  
Wallahu a'lam