Adab Dan Zikir-Zikir Memasuki Tandas

  • Disunatkan sebelum masuk ke dalam tandas untuk membaca:

بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ اْلخُبُثِ وَاْلخَبَائِثِ

Mafhumnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah sesungguhnya daku berlindung denganMu dari syaitan jantan dan betina.” (HR al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik tanpa ada bacaan بِسْمِ اللهِ di awal)

Tambahan lafaz بسم الله di awal bacaan sebelum memasuki tandas terdapat di dalam sebahagian riwayat hadis lain. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH berkata: “al-‘Umari telah meriwayatkan hadis ini dari jalan ‘Abd al-‘Aziz bin al-Mukhtar, daripada ‘Abd al-‘Aziz bin Suhaib dengan lafaz perintah:

إذا دخلتم الخلاء فقولوا:

Mafhumnya: “Apabila kamu memasuki tandas, maka bacalah:

بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ اْلخُبُثِ وَاْلخَبَائِثِ

Seterusnya al-Hafiz berkata: “Isnad hadis ini berdasarkan syarat Muslim.” (Fath al-Bari: 1/244)

Riwayat ini juga disokong dengan hadis riwayat Ibn Majah dan selainnya dari ‘Ali RA secara Marfu’:

سِتْرُ مَا بَيْنَ اْلجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِيْ آدَم إِذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ أَنْ يَقُوْلَ: بِسْمِ اللهِ

Mafhumnya: “Pelindung antara jin dan aurat anak Adam apabila masuk ke dalam tandas, ialah dengan dia membaca; بِسْمِ اللهِ.” (HR Ibn Majah. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Razak bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr: “Hadis ini Sahih dengan himpunan jalan-jalannya.” Lihat juga Irwa’ al-Ghalil oleh al-Albani)

  • Menjauhi dari pandangan orang lain. Daripada al-Mughirah bin Syu’bah: ”Bahawasanya Nabi SAW apabila hendak menunaikan hajat, baginda akan pergi jauh sehingga tidak kelihatan oleh seseorang.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)
  • Tidak menyingkap pakaian, melainkan setelah menghampiri tanah berdasarkan riwayat dariapda Ibn ’Umar RA: ”Bahawa Nabi SAW apabila hendak menunaikan hajat, baginda tidak akan menyingkap pakaian baginda melainkan setelah menghampiri tanah.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)
  • Menjauhi buang air di laluan orang ramai. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: ”Takutlah kamu semua dari dua sebab mendapat laknat. Para sahabat bertanya: apakah dua sebab mendapat laknat itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: ”iaitulah orang yang membuang najisnya di jalan orang ramai atau tempat mereka berteduh.” (HR Muslim)
  • Tidak menghadap atau membelakangi Kiblat dan tidak mensucikan najis dengan tangan kanan. Demikian juga, jika beristinjak, tidak mengurangkan bilangan sapuan istinjak kurang dari tiga kali dan tidak beristinjak menggunakan najis kering dan tulang. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: ”Sesungguhnya daku bagaikan seorang bapa yang mengajar kamu semua. Maka jika seseorang daripada kamu sedang menunaikan hajatnya (buang air), jangalah dia mengadap ke kiblat atau membelakanginya, dan jangan juga dia bersuci dengan menggunakan tangan kanannya, baginda juga mengarahkan beristinjak dengan tiga ketul batu dan melarang menggunakan najis kering.” (HR Abu Daud. Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jamik)
  • Berjaga-jaga dari terkena percikan najis sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Daripada Ibn ’Abbas RA katanya: Rasulullah SAW pernah lalu berhampiran dua buah kubur, lalu baginda bersabda: ”Adapun kedua-dua penghuni kubur ini sedang diazab. Tidaklah mereka diazab kerana perkara yang besar (untuk ditinggalkan). Iaitulah salah seorangnya suka menyampaikan namimah. Manakala seorang lagi tidak membersihkan diri dari air kecilnya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
  • Tidak berkata-kata ketika membuang air, demikian juga tidak menyibukkan diri dengan zikir dan doa. Hal ini demikian kerana Nabi SAW tidak menjawab salam yang diberikan kepada beliau ketika membuang air,[1] sedangkan salam adalah termasuk di dalam zikir dan doa.
  • Adapun bacaan ketika keluar dari tandas, berdasarkan hadis dari ’Aisyah RA yang berkata: ”Adalah Nabi SAW, apabila keluar dari tandas baginda membaca:

غُفْرَانَكَ

Mafhumnya: “KeampunanMu.”[2] (HR Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

--------------------------- 

[1] Berdasarkan hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya.

[2] Dikatakan permohonan ampun ketika keluar dari tandas kerana bimbang terkurang dalam bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang dikurniakan terdiri dari kurniaan makanan, penghadaman seterusnya memudahkan pembuangan najis.


Cetak  
Wallahu a'lam