SDI 0701: Hukum Khususkan Selawat Nabi SAW Antara Rakaat Tarawih

 
Soalan: 
 
Ust apa hukum selawat ke atas Nabi SAW diantara rakaat2 tarawih? Benarkan perlis melarang para imam tarawih berselawat ke atas nabi di antara solat tarawih? Mengapa?
 
Jawapan: 
 
Saya salah seorang staf Jabatan Mufti negeri Perlis, juga urusetia mesyuarat Fatwa negeri Perlis. Tidak pernah sama sekali Perlis melarang orang ramai berselawat di antara rakaat-rakaat solat Tarawih. Perlis tidak pernah melarang sesiapa sahaja melakukan apa-apa yang dibenarkan oleh syara' di antara rakaat-rakaat tarawih seperti berdoa, berzikir, berselawat, baca alQuran dan seumpamanya. Perlis berusaha mengamalkan sunnah Nabi SAW, bagaimana mungkin Perlis melarang orang ramai berselawat ke atas Nabi SAW pula? 
 
Jika perkara tersebut sampai ke pengetahuan anda, ini bermakna ada salah faham yang berlaku. Sama-sama kita berusaha untuk memperbetulkan salah faham tersebut dan hal ini tidak mudah. Saya mengharapkan saudara tidak mudah menerima apa sahaja maklumat yang diterima melainkan terlebih dahulu memastikan kebenarannya.
 
Lakukanlah apa-apa sahaja yang dibenarkan syara' di antara rakaat-rakaat Tarawih. Sama ada berdoa, berselawat, berzikir, baca alQuran, tazkirah atau seumpamanya selagi ada ruang. Cuma jangan dikhususkan dengan sesuatu kaifiat seperti menetapkan lafaz tertentu kepada selawat atau bacaan-bacaan zikir lain untuk dibaca di antara rakaat Tarawih tersebut. Ia pula dilakukan berbentuk syiar dan dilazimi pengamalannya. Perbuatan mengkhususkan kaifiat seperti ini DIBIMBANGI termasuk dalam bidaah Idhafiah seperti pembahagian yang disebut oleh Imam Syatibi RH. 
 
Jika perbuatan mengkhususkan lafaz dan kaifiat selawat di antara rakaat tarawih berlaku, maka ia ditegah oleh para ulama. Antara mereka salah seorang ulama mazhab Syafi'e yang masyhur iaitulah al-‘Alim al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami (الهيتمي) al-Syafi’ie (W 974H) di dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, di mana beliau pernah ditanya:
 
وسئل - فسح الله في مدته - هل تسن الصلاة عليه صلى الله عليه وسلم بين تسليمات التراويح أو هي بدعة ينهى عنها ؟ ( فأجاب ) بقوله الصلاة في هذا المحل بخصوصه .لم نر شيئا في السنة ولا في كلام أصحابنا فهي بدعة ينهى عنها من يأتي بها بقصد كونها سنة في هذا المحل بخصوصه دون من يأتي بها لا بهذا القصد كأن يقصد أنها في كل وقت سنة من حيث العموم..."
 
Maksudnya: “Apakah disunatkan selawat ke atas baginda SAW di antara rakaat-rakaat tarawih, atau perbuatan itu adalah bid’ah yang ditegah?” Maka jawab Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Selawat di tempat tersebut secara khusus tidak kami dapati ada sesuatu (bukti) di dalam sunnah, dan tiada juga dari perkataan sahabat-sahabat kami. Maka ia adalah satu bid’ah, ditegah darinya, bagi sesiapa yang melakukannya dengan maksud ia adalah sunnah pada tempat tersebut secara khusus, kecuali orang yang melakukannya bukan dengan maksud ini, seperti dia maksudkan selawat itu pada bila-bila masa adalah sunnah dari sudut umum...” (1/186. Cetakan ‘Abdul Hamid Ahmad Hanafi, Mesir) 
 
Demikian juga salah seorg ulama mazhab Maliki, Al-Syeikh Abu ‘Abdillah Muhammad Bin Muhammad Bin Muhammad al-‘Abdariy al-Maliki, masyhur dengan Ibn al-Hajj (W 737H) di dalam kitabnya al-Madkhal telah meletakkan satu Fasal:
 
فصل في الذِّكر بعد التسليمتين من صلاة التراويح :
وينبغي له أن يتجنب ما أحدثوه من الذكر بعد كل تسليمتين من صلاة التراويح ، ومن رفع أصواتهم بذلك ، والمشي على صوت واحد ؛ فإن ذلك كله من البدع ، وكذلك ينهى عن قول المؤذن بعد ذكرهم بعد التسلميتين من صلاة التراويح " الصلاة يرحمكم الله " ؛ فإنه محدث أيضاً ، والحدث في الدين ممنوع ، وخير الهدي هدي محمد صلى الله عليه وسلم ، ثم الخلفاء بعده ثم الصحابة رضوان الله عليهم أجمعين ولم يذكر عن أحد من السلف فعل ذلك فيسعنا ما وسعهم
 
Maksudnya: “Fasal pada menyatakan tentang zikir selepas empat rakaat dari solat Tarawih: “Dan sepatutnya (seseorang Imam) menjauhi apa-apa yang orang ramai rekakan terdiri dari zikir selepas setiap dua salam (empat rakaat) dari solat Tarawih, dan terdiri dari perbuatan meninggikan suara dengan zikir tersebut secara serentak. Sesungguhnya demikian itu semuanya termasuk dari bid’ah. Demikian juga dilarang bacaan tukang azan selepas dari zikir orang ramai setelah dua salam solat Tarawih: “al-Solah, Yarhamukumullah.” Sesungguhnya ia juga adalah suatu yang direka. Manakala rekaan di dalam agama adalah suatu yang dilarang. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad SAW, setelah itu para khulafa’ selepas baginda, setelah itu para sahabat Ridhwanullahi ‘Alaihim Ajma’ien, dan tidak disebut dari seorangpun dalam kalangan al-Salaf pernah melakukan demikian itu, maka melapangkan kita (berpuas hati) apa-apa yang melapangkan mereka.” (2/293-294, Maktabah Dar al-Turath, Qaherah)
 

Cetak  
Wallahu a'lam