Meninggi atau mengeraskan suara melaungkan takbir hari raya ketika hari raya termasuk di dalam syi'ar yang membezakan antara umat Islam dengan lainnya. Demikian juga takbir mutlaq dan takbir muqayyad sama ada dilakukan secara perseorangan atau berkumpulan adalah suatu yang disunatkan. Ia merupakan perbuatan yang dilazimi oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda RA ajmaien. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah: 185:
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
maksudnya: "Untuk kamu semua menyempurnakan bilangan dan membesarkan Allah atas apa yang telah Dia hidayahkan kepada kamu dan mudah-mudahan kamu bersyukur."
Untuk itu, sesuatu yang dianggap sesuai dan munasabah ia dilakukan secara seragam dan tersusun, ditambah lagi apabila takbir secara jama'ie itu lebih kuat dan lebih jelas suara takbirnya. Ia juga lebih dapat meresap ke dalam jiwa. Berbeza jika ia dilakukan secara individu yang sudah tentu akan berlaku pertembungan suara, seterusnya menghasilkan nada yang tidak seragam dan berkecamuk.
Selain itu bolehnya takbir hari raya dilakukan secara berjama'ie dikuatkan dengan dalil-dalil berikut:
1. Sabit dari Ummu 'Atiyyah (أُمِّ عَطِيَّةَ) RA yang berkata:
كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ، حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا، حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ، وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ، يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ
maksudnya: "Kami dahulnya diperintahkan keluar pada hari raya, hatta dikeluarkan anak-anak dara dari biliknya dan para wanita berhaid, mereka boleh berada di bahagian belakang dari orang ramai, agar mereka dapat bertakbir dengan takbir orang ramai dan berdoa dengan doa orang ramai, demikian juga mengharapkan keberkatan dan kesucian hari tersebut."
2. Kata al-Imam al-Bukhari RH:
كان عمر رضي الله عنه يكبر في قبته بمنى فيسمعه أهل المسجد، فيكبرون، ويكبر أهل الأسواق، حتى ترتج منى تكبيراً. وكن النساء يكبرن خلف أبان بن عثمان، وعمر بن عبد العزيز ليالي التشريق مع الرجال في المسجد
maksudnya: "Dahulunya 'Umar RA akan bertakbir di dalam qubbahnya di Mina, beliau mendengarkannya kepada ahli masjid, lalu mereka juga bertakbir dan bertakbir juga orang-orang yang berada di pasar-pasar sehingga bergema Mina dengan suara takbir. Dahulu juga para wanita bertakbir di belakang Aban bin 'Uthman, ;Umar bin Abdul Aziz pada malam-malam tasyriq bersama dengan orang lelaki di dalam masjid."
Di dalam Fath al-Bari dinyatakan ترتج ialah bergema dan bergetar (تضطرب وتتحرك), ia menggambarkan bersangatannya bersama meninggikan suara. Secara zahir dari dua teks ini menunjukkan takbir itu berlaku secara jama'ie dan serentak.
3. al-Imam al-Syafi'ie di dalam al-Umm berkata:
إذا رأوا هلال شوال أحببت أن يكبر الناس جماعة وفرادى في المسجد والأسواق والطرق والمنازل، ومسافرين ومقيمين، في كل حال، وأين كانوا، وأن يظهروا التكبير
maksudnya: "Apabila anak bulan (hari raya) kelihatan, maka yang lebih aku sukai ialah orang ramai bertakbir secara berkumpulan dan bersendirian di masjid, di pasar-pasar, di jalan-jalan dan di rumah-rumah, sama ada orang yang bermusafir mahupun yang bermuqim, dalam semua keadaan dan di mana sahaja mereka berada dengan mereka menzahirkan takbir tersebut."
Ibn Hajar setelah menukilkan beberapa athar dari sahabat dan tabi'ien berkaitan takbir hari raya, beliau berkata:
وقد اشتملت هذه الآثار على وجود التكبير في تلك الأيام عقب الصلوات وغير ذلك من الأحوال...وظاهر اختيار البخاري شمول ذلك للجميع، والآثار التي ذكرها تساعده
maksudnya: "Athar-athar ini merangkumi bukti wujudnya takbir pada hari-hari tersebut (hari-hari korban) selepas menunaikan solat dan dalam keadaan lainnya... dan yang zahir pemilihan al-Bukhari merangkumi semua itu keseluruhannya. Athar-athar yang disebut itu menyokongnya."
Seterusnya dinyatakan di dalam fatwa Jordan, bil. 2956 :
وبهذا نعلم أن التكبير الجماعي بصوت واحد مشروع في أصل السنة، وأنه على فرض عدم ورود ظواهر الأدلة عليه فليس ثمة ما يمنع منه، ولا تترتب عليه أي مفسدة، ولا يدعي أحد أن الذكر بصوت واحد أكثر أجراً وأحب إلى الله، وإنما هو أداء تلقائي ثبت في السنة وفي آثار الصحابة الكرام، فلا يجوز الإنكار على فاعليه، وتناقل هذا الفعل بين أجيال المسلمين من غير نكير أمارة على المشروعية أيضا.
ووقت التكبير يبدأ في عيد الفطر من غروب شمس آخر يوم من رمضان (ليلة العيد)، أو من ثبوت رؤية هلال شوال، وينتهي بالشروع في صلاة العيد.
وأما التكبير في عيد الأضحى فيبدأ من صبح يوم عرفة ويستمر حتى عصر آخر يوم من أيام التشريق. والله تعالى أعلم.
maksudnya: "Dan dengan ini kita dapat ketahui bahawa takbir jama'ie dengan suara serentak adalah disyariatkan pada asas sunnah. Sekalipun diandaikan ketiadaan dalil-dalil zahir yang menunjukkannya, namun tiada sesuatu yang menghalangnya dan ianya pula tidak membawa kepada apa-apa keburukan, tiada pula seseorang yang mendakwa zikir dengan suara serentak itu lebih banyak pahala dan lebih disukai oleh Allah. Sebaliknya ia adalah perlaksaan yang berlaku secara spontan di dalam sunnah dan athar sahabah yang mulia. Maka tidak boleh dibantah ke atas mereka yang melakukannya. Perbuatan ini juga saling dinukilkan antara generasi umat Islam tanpa sebarang bantahan yang juga merupakan tanda ia disyariatkan.
Waktu bertakbir pula bagi hari raya Fitri bermula dari tenggelamnya matahari pada hari terakhir Ramadan (malam raya) atau bermula dengan sabit kelihatan anak bulan Syawal sehinggalah mula melakukan solat hari raya.
Adapun untuk takbir hari raya korban, ia bermula pada subuh hari 'Arafah (9 Zulhijjah) dan berterusan sehingga waktu Asar hari Tasyriq terakhir. Wallahu a'lam.