SDI 0662: Apa Beza Ungkapan Tiada Upaya Dan Tiada Kekuatan Di Dalam Zikir?

Soalan: 
 
Ustaz, dlm zikir kita baca:
La hawla wa la quwwata Illa billah, maksudnya: "Tiada upaya dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah." Apa maksud zikir ini? Dan apa pula beza antara upaya dan kekuatan?
 
Jawapan:
 
Zikir yang ditanya dinamakan sebagai zikir alHawqalah الحوقلة. Ada beberapa pandangan ulama tentang maksud zikir ini. alImam alNawawi di dalam Tahzib alAsma' wa alLughat menyatakan حَوْلَ bermaksud alHarakah atau pergerakan seperti yang dinyatakan oleh Abu alHaitham, di mana orang Arab apabila hendak menyatakan seseorang itu bergerak, akan menyebut:
 
أَحَالَ الشَخْصُ
 
Oleh itu kalimah alHawqalah berdasarkan maksud ini membawa pengertian:
 
"Tiada keupayaan bergerak dan tiada kemampuan melainkan dengan kehendak Allah jua."
 
Abu 'Umar pula di dalam alSyarh daripada Ibn 'Abbas RA berkata: "Tiada upaya bagi menolak kejahatan dan tiada kekuatan bagi mengambil kebaikan melainkan dengan izin Allah." Ada juga yang berkata ia bermaksud: "Tiada upaya menjauhi maksiat melainkan dengan pemeliharaan dari Allah, dan tiada kekuatan untuk melakukan ketaatan melainkan dengan pertolongan dari Allah." Pandangan ini dinukilkan daripada Ibn Mas'ud RA.  Ibn Hajar di dalam alFath berkata:
 
معنى لا حول ولا تحويل للعبد عن معصية الله إلا بعصمة الله ولا قوة له على طاعة الله إلا بتوفيق الله، وقيل معنى لا حول لا حيلة , وقال النووي هي كلمة استسلام وتفويض وأن العبد لا يملك من أمره شيئا وليس له حيلة في دفع شر ولا قوة في جلب خير إلا بإرادة الله تعالى
 
Maksudnya: "Makna La Hawla (iaitulah) tiada (keupayaan) mengubah bagi seseorang hamba dari maksiat kepada Allah melainkan dengan pemeliharaan Allah. Wa La Quwwata (iaitulah) tiada kekuatan untuk melakukan ketaatan kepada Allah melainkan dengan taufiq dari Allah. Dikatakan juga bahawa makna La Hawla iaitulah tiada helah (upaya). Kata alNawawi ia adalah kalimah penyerahan bahawa seseorang hamba tidak memiliki apa-apa terhadap urusannya, tidak memiliki apa-apa upaya dalam menolak keburukan dan tiada kekuatan untuk mengambil kebaikan melainkan dengan kehendak Allah Taala." 
 
Oleh itu, seseorang yang berzikir hendaklah berusaha menghadirkan perasaan ini ketika melafazkan zikir alHawqalah.

Cetak  
Wallahu a'lam