Doa Wudhu

  1. Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَا وُضُوْءَ لَهُ، وَلَا وُضُوْءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

Mafhumnya: ”Tiada solat bagi orang yang tidak berwudhu, dan tiada wudhu bagi orang yang tidak membaca bismillah.” (HR Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam al-Irwa’)

Ulama berbeza pandangan tentang hukum membaca basmalah sebelum berwudhu. Jumhur (kebanyakan) ulama berpendapat hukumnya Sunat. Manakala sebahagian yang lain berpandangan hukumnya Wajib jika seseorang itu ingat untuk membacanya dan tahu akan kedudukan bacaan basmalah ini. Sekiranya ia jahil akan hukumnya atau terlupa untuk membacanya, ia tidak perlu untuk mengulangi wudhunya. Al-Syeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz RH pernah ditanya tentang hukum tidak membaca bismillah ketika memulakan wudhu kerana terlupa, lalu beliau menjawab:

”Kebanyakan ulama berpandangan sahnya wudhu tanpa membaca bismillah. Sebahagian ulama lain pula berpandangan wajib membaca bismillah jika mengetahui dan mengingatinya berdasarkan riwayat dari baginda yang bersabda: ”Tiada wudhu bagi orang yang tidak membaca bismillah.” akan tetapi sesiapa yang tidak membaca bismillah kerana terlupa atau kerana jahil, maka wudhunya dikira sah. Tidak perlu diulangi, sekalipun jika kita berpendapat membaca bismillah itu wajib, ini kerana dia termasuk dari orang yang diberi kemaafan kerana kejahilan dan lupa. Hujah dalam perkara ini ialah firman Allah SWT: ”Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami terlupa atau kami tersilap.”[1] Telah sahih juga hadis dari baginda SAW yang menyatakan Allah SWT telah memperkenankan doa ini. Oleh yang demikian anda dapat ketahui bahawa jika anda terlupa membaca bismillah pada permulaan wudhu, kemudian mengingatinya di pertengahan wudhu, maka bacalah bismillah pada ketika itu, dan anda tidak perlu mengulangi wudhu tersebut, kerana anda termasuk orang yang dimaafkan kerana terlupa.” (Majmu’ al-Fatawa wa al-Maqalaat oleh Bin Baz)

Perlu diperhatikan juga bahawa tidak ada sebarang doa khusus ketika membasuh setiap angota wudhu. Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata:

Maksudnya: ”Adapun zikir-zikir yang dibaca oleh orang ramai ketika membasuh setiap anggota wudhu, maka ia tidak ada asal-usulnya dari Rasulullah SAW, tidak juga dari salah seorang para Sahabat, al-Tabi’ien dan para imam Mazhab yang empat. Tentangnya ada satu hadis yang didustakan atas Nabi SAW.” (al-Wabil al-Sayyib, hal: 316)

  1. Selesai berwudhu’ disunatkan membaca doa berdasarkan riwayat dari ’Uqbah bin ’Amir yang berkata:

Mafhumnya: ”Dahulu kami ada giliran menjaga unta, apabila datang giliranku, aku mengembalikan unta-unta tersebut ke kandangnya pada akhir siang (waktu petang). Setelah itu aku pergi kepada Nabi SAW, dan aku dapati baginda sedang berdiri berbicara kepada orang ramai, aku dapati dari perkataan baginda ialah: Tiada seorang muslim yang berwudhu dan memperelokkan wudhunya, kemudian berdiri dan menunaikan solat sunat dua rakaat dengan dihadirkan jantung hati dan wajahnya, melainkan akan dimasukkannya ke dalam syurga. Kata ’Uqbah: lalu aku berkata: Alangkah baik (hebat) perkara ini. Tiba-tiba seseorang di hadapanku berkata: Yang sebelumnya adalah lebih baik (hebat). Lalu aku melihat orang itu, rupanya beliau adalah ’Umar RA, lalu ’Umar berkata: Sesungguhnya aku melihat ketika engkau datang sebentar tadi, sebelum itu (sebelum kehadiranmu), baginda bersabda: Tiada seorang dari kalanganmu yang berwudhu, dan memperelokkan wudhunya, kemudian membaca:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا الله، وَأَنَّ مُحَمّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُوْلُهُ

Melainkan dibuka untuknya kelapan-lapan pintu Syurga, dia boleh memasukinya dari mana-mana pintu yang dia mahu.” (HR Muslim)

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi terdapat tambahan selepas mengucapkan dua kalimah Syadah di atas dengan membaca:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ مِنَ التَّوَّابِيْنَ، وَاجْعَلْنِيْ مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ

Mafhumnya: “Ya Allah, jadikan daku dari kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikan daku dari kalangan orang-orang yang mensucikan diri.” (HR al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi)

Selain itu boleh juga dibaca doa yang diriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri RA yang berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berwudhu, selepas itu membaca:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

Mafhumnya: “Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan segala pujian untukMu, tidak ada tuhan melainkan Allah, daku memohon keampunan dariMu dan daku bertaubat kepadaMU.” Dicatit di atas lembaran kemudian dicop (tidak dibuka sehingga hari kiamat). (al-Mustadrak. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

--------------------------------- 

[1] Al-Baqarah: 286


Cetak  
Wallahu a'lam