Zikir dan Doa Lain Yang Berkaitan Dengan Solat

Thursday, November 1, 2012

  1. Daripada ’Aisyah RA katanya: ”Saya kehilangan Rasulullah SAW pada suatu malam, lalu aku mencari baginda, maka tanganku tersentuh perut kaki baginda, ketika itu baginda di dalam masjid (dan sedang sujud), kedua-dua telapak kaki baginda ditegakkan, baginda membaca di dalam sujud:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْكَ، لاَ أُحْصِيْ ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ.

 Mafhumnya: “Ya Allah, daku berlindung dengan keredhaanMu dari kemurkaanMu, dan dengan kemaafanMu (agar terselamat) dari siksaanMu. Daku berlindung dengan rahmatMu dari hukumanMu[1] tidak terhitung pujian kepadaMu. Engkau adalah sepertimana pujianMu kepada diriMu.” (HR Muslim)

  1. Daripada Abu Hurairah RA yang berkata: ”Rasulullah SAW membaca di dalam sujud baginda:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيْ ذَنْبِيْ كُلَّهُ، دِقَّهُ وَجِلَّهُ، أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ وَعَلَى نِيَّتَهُ وَسِرَّهُ

Mafhumnya: ”Ya Allah, ampunilah untukku dosaku keseluruhannya, samada yang kecil dan yang besar, yang awal dan yang akhir dan yang jelas mahupun yang tersembunyi.” (HR Muslim)

  1. Daripada Huzaifah RA: ”Bahawa Rasulullah SAW membaca antara dua sujud:

رَبِّ اغْفِرْ لِيْ، رَبِّ اغْفِرْ لِيْ

Mafhumnya: “Wahai tuhan, ampunilah daku, wahai tuhan, ampunilah daku.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)

Al-Syeikh ‘Abd al-Razaq bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr berkata: “(Hadis ini bermaksud) Baginda mengulang-ulangi doa ini ketika duduk antara dua sujud, bukan bermaksud baginda hanya membacanya  dua kali sahaja.”

  1. Daripada Ibn ’Abbas RA katanya: ”Dahulunya Nabi SAW membaca ketika duduk antara dua sujud

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيْ وَارْحَمْنِيْ وَاجْبُرْنِيْ وَعَافِنِيْ وَاهْدِنِيْ وَارْزُقْنِيْ

Mafhumnya: “Ya Allah, ampunilah daku, rahmatilah daku, cukupkanlah aku, selamatkanlah daku, berilah hidayah kepadaku dan berilah rezeki kepadaku.” (HR Abu Daud dan al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)

----------------------------------------------- 

[1] Ungkapan أَعُوْذُ بِكَ مِنْكَ, di dalam Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Soghir dinyatakan bermaksud: “Daku berlindung dengan rahmatMu dari hukumanMu. Al-Imam Ibn al-Qayyim pula berkata: “(Ungkapan sebelum ini iaitulah) Memohon perlindungan dengan sifat redha (Allah) dari sifat murka (Allah) dan dengan perbuatan memberi ampun (yang ada pada sifat Allah) dari memberi hukuman (yang ada pada sifat Allah), maka  berlindung denganNya dariNya (أعوذ بك منك), dengan diambil kira kedua-dua permohonan perlindungan yang telah dijelaskan sebelum ungkapan ini. Kerana memohon perlindungan dengan Allah dari Allah merujuk kepada ungkapan permohonan perlindungan sebelumnya, disamping ia mengandungi faedah yang mulia iaitulah kesempurnaan tauhid, dan bahawa Zat yang diminta perlindungan (iaitu Allah) oleh seseorang, dielak juga dariNya, iaitulah dari perbuatan, kehendak dan ketentuanNya, kerana hanya Dialah satu-satunya yang menghukum, jika Dia (Allah) hendakkan keburukan kepada seseorang hambaNya, tiada yang dapat melindungi orang tersebut melainkan Dia, Dialah juga yang menghendaki keburukan kepada hamba tersebut, dan Dialah juga yang hendak menolak keburukan itu dari orang tersebut, maka jadilah Allah Yang Maha Suci dipohon perlindungan denganNya dariNya dengan mengambil kira kedua-dua kehendak Allah SWT tersebut. (Firman Allah) وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ  Mafhumnya: “Dan sekiranya Allah mengenakan kepada engkau sesuatu kemudharatan, maka tiada yang dapat melepaskannya melainkan Dia (Allah semata-mata).” Dialah (Allah) yang mengenakan mudharat dan Dialah (Allah) yang dapat melepaskannya, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, maka dielak dari (kemurkaan dan hukumanNya) dengan kembali kepadaNya, tiada tempat berlindung dariNya melainkan kepadaNya, sepertimana permohonan perlindungan dariNya, kerana sesungguhnya tiada tuhan selain dari Allah, tiada tuhan yang menguruskan urusan seseorang hamba melainkan Dia, Dialah yang menggerakkan, membolak-balikkan dan menguruskan urusan seseorang hamba sepertimana yang dikehendakiNya.” Lihat Tariq al-Hijratain wa Bab al-Sa’adatain 1/431.


Cetak  
Wallahu a'lam