Zikir-Zikir Rukuk, I'tidal, Sujud dan Duduk Antara Dua Sujud

  1. Daripada Huzaifah RA katanya: ”Aku pernah menunaikan solat bersama Nabi SAW pada suatu malam, baginda memulakan solat (selepas al-Fatihah) dengan membaca surah al-Baqarah. Aku berkata: Baginda akan rukuk bila sampai ayat 100. Setelah itu baginda melepasi ayat 100. Aku berkata: baginda akan menghabiskan surah al-Baqarah dalam satu rakaat. Setelah itu baginda membaca surah al-Nisa’, surah Ali Imran, baginda membacanya dengan perlahan-lahan (bacaan tartil), apabila sampai pada ayat al-Quran yang memuji Allah baginda bertasbih (memuji Allah), apabila sampai pada ayat permohonan kepada Allah baginda memohon kepada Allah, apabila sampai pada ayat perlindungan, baginda berlindung dengan Allah. Setelah itu baginda rukuk dan membaca:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ

 Mafhumnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung (1).” Dan rukuk baginda seperti panjang ketika berdiri, kemudian baginda mengucapkan:

سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Mafhumnya: “Allah memperkenankan[1] sesiapa yang memujiNya.” Kemudian baginda berdiri lama hampir sama seperti baginda rukuk, kemudian baginda sujud dan membaca:

سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأَعْلَى

Mafhumnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi (2).” Dan sujud baginda hampir sama seperti I’tidal baginda.” (HR Muslim)

  1. Daripada ’Aisyah RA yang berkata: ”Adalah Nabi SAW memperbanyakkan membaca di dalam rukuk dan sujud baginda:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ

Mafhumnya: “Maha Suci Mu Ya Allah Tuhan kami, dan dengan segala pujian untukMu, Ya Allah ampunilah daku.” Baginda mentakwilkan (menafsirkan) al-Quran.[2] (HR al-Bukhari dan Muslim)

  1. Daripada ’Aisyah RA juga katanya: ”Rasulullah SAW membaca di dalam rukuk dan sujud baginda:

سُبُّوْحٌ قُدُّوْسٌ رَبُّ الْمَلَائِكَةِ وَالرُّوْحِ

Mafhumnya: Maha Suci dan Maha Mulia(3) Tuhan para Malaikat dan al-Ruh(4) (Jibril AS).”

  1. Daripada ’Auf bin Malik al-Asyja’ie RA katanya: ”Aku berdiri menunaikan solat malam bersama Rasulullah SAW, baginda membaca surah al-Baqarah, baginda tidak melalui ayat Rahmat melainkan baginda berhenti dan memohon rahmat kepada Allah, baginda tidak melalui ayat azab, melainkan baginda berhenti dan memohon perlindungan dari azab. Seterusnya beliau berkata: kemudian baginda rukuk sama seperti lamanya berdiri dan membaca:

سُبْحَانَ ذِيْ اْلجَبَرُوْتِ وَاْلمَلَكُوْتِ وَالْكِبْرِيَاءِ وَاْلعَظَمَةِ

Mafhumnya: “Maha Suci Tuhan yang memiliki kekuasaan, kerajaan, keagungan dan kekuasaan.” setelah itu baginda sujud sama seperti lama baginda berdiri, kemudian baginda membaca di dalam sujud sama seperti bacaan tadi, setelah itu baginda bangun dan membaca surah Ali Imran, kemudian baginda membaca satu surah, satu surah.” (HR Abu Daud, al-Nasa’ie. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)   

  1. Daripada ’Ali bin Abi Talib RA di dalam sebuah hadis yang panjang ada dinyatakan: ”Rasulullah SAW apabila rukuk baginda akan membaca:

اَللَّهُمَّ لَكَ رَكَعْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ، خَشَعَ لَكَ سَمْعِيْ وَبَصَرِيْ وَمُخِّيْ وَعَظْمِيْ وَعَصَبِيْ.

Mafhumnya “Ya Allah, hanya untukMu daku ruku’. denganMu aku beriman, kepadaMu daku berserah. Pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulangku, dan sarafku merendah dan menghina di hadapanMu.” apabila bangun baginda menyebut:

اللهم ربنا لك الحمد مِلْءَ السَّمَاوَاتِ، وَمِلْءَ اْلأَرْضِ، وملء مَا بَيْنَهُمَا، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ

Mafhumnya: ”Ya Allah Ya Tuhan kami, untukMu segala pujian yang memenuhi langit, memenuhi bumi dan memenuhi apa yang ada antara keduanya, dan memenuhi setiap sesuatu mengikut kehendakMu setelah dari yang itu.”  apabila sujud baginda akan membaca pula:

اَللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ، سَجَدَ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، تَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِيْنَ.

Mafhumnya: Ya Allah, hanya kepadaMu daku bersujud, denganMu daku beriman, kepadaMu daku berserah, wajahku bersujud kepada Tuhan yang menciptakannya, yang membentuk rupanya, yang memberikan pendengaran dan penglihatannya, Maha Berkat Allah, Tuhan sebaik baik Pencipta.” (HR Muslim)

  1. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: ”Apabila imam berkata:

سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Mafhumnya: “Allah memperkenankan sesiapa yang memujiNya.” Maka ucapkan pula:

اَللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ اْلحَمْدُ

Mafhumnya: “Ya Allah ya tuhanku, untukMu segala pujian.” Sesungguhnya sesiapa yang bertepatan ucapannya dengan ucapan para malaikat, akan diampunkan dosa-dosanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

  1. Daripada Abi Sa’id al-Khudriy RA katanya: “Adalah Rasulullah SAW apabila bangun dari rukuk akan mengucapkan:

رَبَّنَا لَكَ اْلحَمْد مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ، أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ، أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ، اَللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ.

Mafhumnya:  “Ya tuhanku, untukMu segala pujian yang memenuhi langit dan bumi, yang memenuhi apa yang Engkau kehendaki setelah itu. Wahai Tuhan yang layak dipuja dan diagungkan, Yang paling berhak dipuja dan diagungkan oleh seseorang hamba dan kami semuanya adalah hambaMu. Ya Allah tidak ada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan dan tidak ada pula yang dapat memberi apa yang Engkau halang(5), tidak bermanfaat orang yang memiliki kekayaan untuk terlepas dari azabMu. (HR Muslim)

  1. Daripada Rifa’ah bin Rafi’ al-Zuraqi RA katanya: ”Kami pernah dahulu suatu hari solat di belakang Nabi SAW, ketikamana bangun dari rukuk, baginda mengucapkan: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ lalu salah seorang yang berada di belakang baginda mengucapkan:

رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ، حَمْدًا كَثِيْرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيْهِ

Mafhumnya: “Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian, daku memujiMu dengan pujian yang banyak, yang baik dan penuh dengan berkah.” Apabila selesai menunaikan solat baginda bertanya: “Siapakah yang mengucapkan ucapan tadi?” orang itu berkata: “Saya.” Baginda bersabda: “Aku melihat lebih dari 30 malaikat[3] berebut-rebut siapakah di kalangan mereka yang pertama mencatitnya.” (HR al-Bukhari)

------------------------------------- 

(1) Ketika turun ayat al-Quran:

فسبح باسم ربك العظيم

Mafhumnya: “oleh Yang demikian, bertasbihlah Dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Agung.” (al-Waqiaah: 74), Nabi SAW bersabda: “Jadikanlah ia (mengagungkan Allah) di dalam rukuk kamu semua.” (HR Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Misykah al-Masabih)

(2) Ketika turun ayat:

سبح اسم ربك الأعلى

Mafhumnya: “bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha tinggi (dari Segala sifat-sifat kekurangan).” (al-Aala: 1), Nabi SAW bersabda: “Jadikanlah ia (mensucikan Allah), di dalam sujud kamu semua.” (HR Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Misykah al-Masabih)

(3) Kalimah سُبُّوْحٌ dan قُدُّوْسٌ yang diterjemahkan sebagai Maha Suci dan Maha Mulia adalah dua nama Allah SWT yang mengisyaratkan kepada keagungan dan kesucian Allah dari sebarang perkara yang tidak layak padaNya terdiri dari sebarang kekurangan, keaiban dan dari sebarang penyamaan  dengan makhlukNya.

(4) Ungkapan “Tuhan para malaikat dan al-Ruh (Jibril)” menunjukkan sifat Rububiyyah Allah SWT secara umum dan disusuli dengan menyebut al-Ruh” iaitulah malaikat Jibril kerana ia merupakan malaikat yang paling utama. Dialah juga yang diamanahkan untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi SAW. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “dan Sesungguhnya Al-Quran adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril Yang amanah (al-Ruh al-Amin). Ke Dalam hatimu, supaya Engkau (Wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (ia diturunkan) Dengan bahasa Arab Yang fasih serta terang nyata.” (al-Syuaaraa: 192-195). Malaikat JIbril dinamakan juga sebagai al-Ruh, kerana dia menjadi perantara dalam menyampaikan wahyu yang berperanan untuk menghidupkan jantung hati manusia yang lupa kepada Allah SWT. 

(5) Bersesuaian dengan firman Allah SWT:

Mafhumnya: “dan jika Allah mengenakan Engkau Dengan sesuatu Yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun Yang akan dapat menghapuskannya melainkan dia; dan jika ia menghendaki Engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun Yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa Yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Yunus: 107)

[1] Kalimah سَمِعَ di sini  boleh juga membawa maksud استجاب الله. Sila lihat Fiqh al-Ad’iyyah wa al-Azkar oleh al-Syeikh ‘Abdul Razak bin ‘Abdul Muhsin al-Badr.

[2] Maksud baginda mentakwilkan atau menafsirkan al-Quran di sini ialah baginda menafsirkan firman Allah di dalam surah al-Nasr: فسبح بحمد ربك واستغفره، إنه كان توابا

[3] Di dalam teks hadis dinyatakan بِضْعَةً وثلاثين kalimat بضعة bermaksud jumlah antara tiga ke sepuluh.


Cetak  
Wallahu a'lam