Beberapa Lafaz Doa Iftitah di Dalam Solat

Thursday, November 1, 2012

Thabit dari Nabi SAW berbagai lafaz doa al-Iftitah. Baginda juga tidak kekal dengan satu bacaan tertentu sahaja. Oleh yang demikian seseorang muslim lebih utama mengamalkan sesuatu lafaz secara kadang-kadang, dan kadang-kadang mengamalkan lafaz yang lain pula. Inilah bentuk yang paling sempurna dalam mengikut Nabi SAW. Antara lafaz doa Iftitah tersebut ialah:

 

  1. Daripada Abu Hurairah RA katanya: ”Rasulullah SAW apabila membuka solatnya, baginda akan berdiam diri seketika sebelum baginda membaca (al-Fatihah). Maka Abu Hurairah berkata: Wahai Rasulullah, apakah yang tuan baca ketika tuan dian antara takbir dan bacaan (al-Fatihah)? Sabda Baginda SAW, saya membaca:

اَللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِيْ وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، اَللَّهُمَّ نَقِّنِيْ مِنْ خَطَايَايَ، كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اَللَّهُمَّ اغْسِلْنِيْ مِنْ خَطَايَايَ بِالثَّلْجِ وَالْمَاءِ وَالْبَرَدِ.

Mafhumnya: “Ya Allah, jauhkanlah antara daku dan kesalahan-kesalahanku, sebagaimana Engkau menjauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah daku dari kesalahan-kesalahanku, sebagaimana baju putih dibersihkan dari kotoran. Ya Allah, cucikanlah daku dari kesalahan-kesalahanku dengan salju, air dan air sejuk” (HR al-Bukhari dan Muslim)

  1. Daripada ’Aisyah, Abu Sa’id, dan selain mereka berdua RA, Nabi SAW membuka solat baginda dengan membaca:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلاَ إِلَـهَ غَيْرُكَ.

Mafhumnya: “Maha Suci Engkau ya Allah, dan dengan segala kepujian untukMu, Maha Berkah akan nama-Mu, Maha Tinggi keagunganMu, dan tiada Ilah yang berhak disembah selainMu.” (HR Abu Daud dan Muslim dari ‘Umar bin al-Khattab RA secara Mauquf)

  1. Daripada ’Abdullah bin ’Umar RA, katanya: ”Ketikamana kami menunaikan solat bersama Rasulullah SAW, seorang lelaki membaca:

اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً

Mafhumnya: ”Allah yang Maha Besar Sebesar-besarnya, segala pujian untuk Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang.” baginda bertanya: Siapakah yang menyebut perkataan demikian dan demikian tadi? Kata seorang lelaki: Saya wahai Rasulullah.” Jawab baginda: menakjubkan daku kalimah tersebut, kerana dibuka untuknya pintu-pintu langit.” kata Ibn ’Umar: Aku tidak meninggalkan kalimah-kalimah tersebut semenjak aku mendengar perkara ini dari Rasulullah SAW.”(HR Muslim)

  1. Daripada ’Ali RA yang berkata: “Baginda SAW apa bangun menunaikan solat membaca:

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضَ حَنِيْفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ، إِنَّ صَلاَتِيْ، وَنُسُكِيْ، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِيْ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكَ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ. أَنْتَ رَبِّيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِيْ وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ جَمِيْعًا إِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ. وَاهْدِنِيْ لأَحْسَنِ اْلأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِيْ لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّيْ سَيِّئَهَا، لاَ يَصْرِفُ عَنِّيْ سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، وَالْخَيْرُ كُلُّهُ بِيَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ، تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ.

Mafhumnya: “Aku menghadap (dengan ikhlas) kepada Tuhan Pencipta langit dan bumi, dalam keadaan mentauhidkannya dan aku bukanlah tergolong dari kalangan orang-orang musyrik. Sesungguhnya salatku, ibadahku dan hidupku serta matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan demikian itu aku diperintahkan dan aku termasuk dari kalangan orang-orang muslim. Ya Allah, Engkau adalah Raja, tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Engkau, Engkau Tuhanku dan aku adalah hambaMu. Aku telah menganiaya diriku, aku mengakui dosaku (yang telah ku lakukan). Oleh karena itu ampunilah seluruh dosaku, sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosa, kecuali Engkau. Tunjukkan aku pada akhlak yang terbaik, tiada yang dapat menunjukkannya melainkan Engkau. Hindarkan aku dari akhlak yang jahat, tiada yang dapat menjauhkan aku daripadanya, kecuali Engkau. Aku memenuhi semua panggilanMu, kebaikan keseluruhannya berada dalam gengamanMu, kejelekan tidak dinisbahkan kepadaMu. Aku hidup dengan pertolongan dan rahmatMu, dan kepadaMu (aku kembali). Maha BerkatMu dan Maha Tinggi. Aku minta ampun dan bertaubat kepadaMu”. (HR Muslim)

Terdapat juga bacaan lain dari Nabi SAW yang baginda membacanya sebagai al-Iftitah pada solat malam. Antaranya:

  1. Daripada Ibn ’Abbas RA yang berkata: ”Baginda SAW apabila bangun malam bertahajjud akan membaca:

اَللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ، وَلَكَ الْحَمْدُ، لَكَ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ، وَلَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ نُوْرُ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ، وَلَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ مَلِكُ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ، وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ الْحَقُّ، وَوَعْدُكَ الْحَقُّ، وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ، وَقَوْلُكَ حَقٌّ، وَالْجَنَّهُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالنَّبِيُّوْنَ حَقٌّ، وَمُحَمَّدٌ صلى الله عليه وسلم حَقٌّ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ، اَللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ، وَبِكَ خَاصَمْتُ، وَ إِلَيْكَ حَاكَمْتُ، فَاغْفِرْ لِيْ مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ

Mafhumnya: “Ya, Allah! BagiMu segala puji, Engkau yang Menguruskan langit dan bumi serta seisinya. BagiMu segala puji, untukMU pemilikan langit dan bumi serta seisinya. BagiMu segala puji, Engkau Tuhan (yang memberi cahaya) kepada langit dan bumi. BagiMu segala puji, Engkaulah adalah raja langit dan bumi. BagiMu segala puji, Engkau Yang Maha Benar, janjiMu suatu yang benar, bertemu denganMu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurga itu suatu yang benar, neraka itu juga suatu yang benar, para nabi kesemuanya benar, Muhammad SAW itu juga benar, hari kiamat itu benar. Ya Allah, kepadaMu aku berserah diri, denganMu aku beriman, kepadaMu aku bertawakal, kepadaMu jua aku kembali, dengan pertolonganMu aku berdebat (kepada orang-orang kafir), kepadaMu (dan dengan ajaran-Mu) aku menjatuhkan hukum. Oleh karena itu, ampunilah dosaku yang terdahulu dan yang akan datang, dan apa yang aku sembunyikan dan apa yang aku nyatakan, Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan terkemudian, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

  1. Daripada ’Aisyah RA yang berkata: ”Rasulullah SAW apabila bangun malam, baginda memulakan solat malamnya dengan membaca:

اَللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرَائِيْلَ، وَمِيْكَائِيْلَ، وَإِسْرَافِيْلَ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيْمَا كَانُوْا فِيْهِ يَخْتَلِفُوْنَ. اِهْدِنِيْ لِمَا اخْتُلِفَ فِيْهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِيْ مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ.

Mafhumnya: “Ya Allah, Tuhan Jibrail, Mikail dan Israfil. Tuhan Yang Mencipta langit dan bumi. Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata. Engkau Tuhan yang menjatuhkan hukum antara hamba-hambaMu apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kepadaku akan kebenaran apa yang diperselisihkan dengan keizinan dariMu. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang menunjukkan pada jalan yang lurus bagi sesiapa yang Engkau kehendaki.” (HR Muslim)


Cetak  
Wallahu a'lam