Bacaan Ketika Menziarahi Orang Sakit

Monday, October 1, 2012

BACAAN KEPADA ORANG SAKIT

Islam memberi perhatian terhadap orang sakit dengan menganjurkan amalan menziarahi dan berdoa untuk kesembuhan mereka. Untuk itu Islam mengajarkan beberapa doa yang boleh dibaca ketika menziarahi mereka. Semua ini bagi mempraktikkan persaudaraan Islam, dimana kegembiraan dan susah payah dikongsi bersama. Di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada al-Nu’man bin Basyir RA yang berkata, Nabi SAW bersabda: 

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إذَا اشْتَكَى منه عضو تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Mafhumnya: ”Perumpamaan orang-orang yang beriman itu dalam kelunakan, berkasih-sayang dan berlemah-lembut sesama mereka seperti tubuh yang satu, jika satu anggota sakit, seluruh jasad akan turut terasa demam dengan berjaga malam.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Antara bacaan-bacaan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Daripada Ibn ’Abbas RA, Nabi SAW pernah menziarahi seorang Arab Badwi, beliau berkata: ”Nabi SAW apabila menziarahi orang sakit akan berkata:

لَا بَأْسَ، طَهُوْرٌ إِنْشَاءَ اللهُ

Mafhumnya:  “Tiada mengapa, sebagai pembersih[1] insyaAllah.” (apabila baginda mengucapkannya kepada Arab Badwi tersebut), jawab Arab itu: “Anda kata semoga menjadi pembersih? Sama sekali tidak, bahkan ia merupakan panas badan yang merebak pada seorang tua yang akan membawa dia menziarahi kubur.” Jawab baginda SAW: “Kalau begitu demikianlah.”

  1. Daripada Ummi al-’Ala (أم العلاء) RA yang berkata: “Rasulullah SAW pernah menziarahiku yang sedang sakit, lalu baginda bersabda: “Terimalah khabar gembira wahai Umm al-‘Ala, kerana sesungguhnya sakit seseorang muslim itu, Allah akan menghilangkan dengannya kesalahan-kesalahannya, sepertimana api menghilangkan kotoran emas dan perak.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

Termasuk dari adab yang perlu diperhatikan ketika menziarahi pesakit ialah memilih waktu yang sesuai. Hal ini kerana tujuan disyariatkan menziarahi pesakit ialah untuk mendatangkan kegembiraan dan menyenangkan hati pesakit, bukan untuk mendatangkan kesukaran dan kesempitan dari mereka. Demikian juga jangan memanjangkan masa bersama dengannya melainkan jika sipesakit sendiri yang menghendakinya.

 

  1. Bagi orang yang menziarahi pesakit dianjurkan dia berada berhampiran dengan kepala pesakit. Di dalam al-Adab al-Mufrad, daripada Ibn ’Abbas RA yang berkata: ”Dahulunya Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit, baginda akan duduk berhampiran kepalanya, kemudian baginda mengucapkan sebanyak tujuh kali:

أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيْمَ، رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْم أَنْ يَشْفِيَكَ

 Mafhumnya: “Daku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan kepada ‘Arasyh yang agung, untuk Dia menyembuhkanmu.” (al-Adab al-Mufrad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Adab al-Mufrad)

  1. Termasuk di dalam sunnah meletakkan tangan di atas tubuh orang yang sakit ketika hendak berdoa untuknya. Di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim diriwayatkan ketika Nabi SAW menziarahi Sa’ad bin Abi Waqqas RA, baginda meletakkan tangan baginda dahi Sa’ad, kemudian baginda menyapu tangan baginda ke muka dan perut Sa’ad sambil membaca:

اللّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا

Mafhumnya: “Ya Allah, sembuhkanlah Sa’ad” (al-Bukhari dan Muslim)

  1. Orang yang menziarahi pesakit juga dianjurkan berdoa dengan ikhlas kepada pesakit dan jangan memperkatakan sesuatu melainkan perkara-perkara yang baik sahaja. Daripada Umm Salamah RA yang berkata: ”Baginda Rasulullah SAW bersabda: ”Apabila kamu semua menziarahi orang sakit atau orang yang meninggal dunia, maka ucapkanlah perkara-perkara yang baik. Kerana sesungguhnya para Malaikat akan mengaminkan apa yang kamu semua katakan.” (HR Muslim)

Kita dibernarkan untuk memilih sebarang bentuk doa, dan yang terbaik ialah doa yang datang dari Nabi SAW.

  1. Daripada ’Aisyah RA yang berkata: ”Dahulunya Nabi SAW, jika ada seseorang ditimpa sakit atau terluka, baginda akan melakukan begini – lalu Sufian (periwayat hadis) meletakkan jari telunjuk beliau ke tanah, kemudian mengangkatnya – dan membaca:

بِسْمِ اللهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا، بِرِيْقَةِ بَعْضِنَا، يُشْفَى سَقِيْمُنَا، بِإِذْنِ رَبِّنَا

Mafhumnya: “Dengan nama Allah, ini sebahagian dari tanah bumi kami, dengan sedikit air liur kami, (semoga) diberi kesembuhan kepada orang yang sakit di kalangan kami dengan izin tuhan kami.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

al-Imam al-Nawawi ketika menyarahkan hadis ini berkata:

ومعنى الحديث أن يأخذ من ريق نفسه على أصبعه السبابة ، ثم يضعها على التراب ليتعلق بها شيء منه ، فيمسح به على الموضع العليل أو الجريح ، ويقول هذا الكلام في حال المسح

Maksudnya: “Hadis ini bermaksud baginda mengambil sedikit air liur baginda dengan jari telunjuk, kemudian meletakkannya ke atas tanah agar tanah melekat sedikit pada jari telunjuk itu, seterusnya menyapukannya ke tempat sakit atau luka, baginda membaca perkataan tersebut ketika melakukan sapuan.” 

Pernah juga ditanya kepada al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaiman RH: “Di dalam fatwa, tuan ada menyatakan mengambil berkat dengan air liur selain dari Nabi SAW adalah haram dan termasuk di dalam syirik, kecuali jampi dengan ayat al-Quran. Perkara ini menimbulkan tanda-tanya kerana terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim hadis dari ‘Aisyah RA, yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah menyebut di dalam jampi baginda: “Dengan nama Allah, ini sebahagian dari tanah bumi kami, dengan sedikit air liur kami, (semoga) diberi kesembuhan kepada orang yang sakit di kalangan kami dengan izin tuhan kami.” Kami mengharapkan dari yang berbahagian tuan untuk memberi penjelasan.”

Jawapan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin:

ذكر بعض العلماء أن هذا مخصوص برسول الله صلى الله عليه وسلم وبأرض المدينة فقط وعلى هذا فلا إشكال. ولكن رأي الجمهور أن هذا ليس خاصّاً برسول الله صلى الله عليه وسلم ولا بأرض المدينة بل هو عام في كل راقٍ وفي كل أرضٍ، ولكنه ليس من باب التبرك بالريق المجرد بل هو ريق مصحوب برقية وتربة للاستشفاء وليس لمجرد التبرك.وجوابنا في الفتوى السابقة هو التبرك المحض بالريق وعليه فلا إشكال لاختلاف الصورتين.

Maksudnya: “Sebahagian ulama menyebut hadis ini khusus untuk Rasulullah SAW dan khusus untuk tanah Madinah sahaja, jika berdasarkan pendapat ini maka tidak timbul masalah. Akan tetapi kebanyakan ulama berpandangan hadis ini tidak dikhususkan untuk Rasulullah SAW dan bukan juga khusus untuk tanah Madinah sahaja, bahkan ia umum untuk semua air liur dan semua tanah, akan tetapi ia tidak termasuk mengambil berkat hanya dengan air liur, sebaliknya dengan air liur beserta dengan  jampi dan tanah untuk memohon kesembuhan, bukan semata-mata mengambil berkata. Jawapan kami dalam fatwa yang lalu iaitulah tentang mengambil berkat semata-mata dengan air liur tidak menimbulkan masalah kerana berbeza keadaan.” (Majmuk Fatawa wa Rasail al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Jilid pertama)  

-------------------------------------------------- 

[1] Membersihkan dari semua kesalahan dosa.


Cetak  
Wallahu a'lam