Mana Yang Patut Diutamakan Antara Selawat Dengan Istighfar?

 

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh

Soalan dari Khairul Anuar yang bertanya kalau ditanya antara keutamaan dan kelebihan di antara selawat dan istighfar yang mana lebih utama ya ustaz, mohon pencerahan.

Jawapan:

Baik dalam permasalahan ini kedua-duanya sabit ada anjuran dari Nabi SAW untuk memperbanyakkan selawat, demikian juga ada anjuran dari Allah dan Rasul untuk kita memperbanyakkan istighfar. Kedua-dua termasuk perkara yang disyariatkan, termasuk dalam perkara yang penting dalam kehidupan setiap muslim.

Maka, jika ditanya mana yang lebih utama antara selawat dan istighfar, maka dia bergantung kepada keadaan dan situasi seseorang. Pertama untuk kita faham permasalahan ini, kita kena tahu. Selawat dan istighfar itu termasuk di dalam zikir. Zikir itu pula ada yang muqayyad dan ada pula Mutlaq.

Apa dia zikir muqayyad dan apa dia zikir Mutlaq? Zikir muqayyad adalah zikir yang telah ditetapkan oleh Nabi SAW untuk dibaca pada waktu-waktu tertentu. Itu zikir muqayyad. Demikian juga zikir-zikir yang telah ada bukti ia afdhal untuk diucapkan pada waktu-waktu tertentu. Jadi pada waktu-waktu yang telah ditetapkan zikirnya, maka zikir itu adalah lebih afdhal berbanding zikir yang lain. Sebagai contoh mudah, Allah SWT nyatakan di dalam al-Quran berkaitan sifat ahli syurga, antaranya firman Allah وبالأسحار هم يستغفرون “dan pada waktu sahur itu, mereka beristighfar.” Ayat dari surah al-Dzariyat ini menunjukkan, zikir yang paling afdhal pada waktu sahur ialah istighfar. Maka kita boleh kata zikir yang paling afdhal pada waktu sahur ialah istighfar.

Jadi itu muqayyad, yakni zikir muqayyad iaitu zikir yang dikaitkan dengan waktu sahur adalah istighfar, dan ia adalah lebih utama berbanding zikir-zikir yang lain.

Demikian juga istighfar sebaik sahaja memberi salam dari solat fardhu, adalah zikir yang lebih afdhal berbanding zikir yang lain. Berdasarkan riwayat hadis sahih yang menceritakan baginda Nabi SAW, apabila memberi salam solat, baginda akan beristighfar sebanyak tiga kali: استغفر ثلاثا. Maka selepas solat fardhu, zikir yang paling utama antara istighfar dan selawat adalah istighfar. Kerana sabit perkara ini, dan istighafar adalah zikir yang muqayyad dengan selepas solat.

Demikian juga zikir-zikir lain yang muqayyad dengan selepas solat seperti اللهم أنت السلام ومنك السلام  dan seterusnya adalah lebih afdhal dibaca selepas memberi salam solat berbanding selawat.

Demikian juga tahlil لا إله إلا الله وحده، لا شريك له، له الملك و له الحمد وهو على كل شيء قدير، اللهم لا مانع لما أعطيت... sehingga ke akhirnya terdiri dari zikir-zikir yang sabit dari Nabi SAW yang membacanya selepas solat, maka zikir-zikir ini muqayyad dengan selepas solat, maka semuanya adalah lebih utama dibaca selepas solat berbanding zikir-zikir yang lain.

Manakala selawat berdasarkan hadis yang sabit dari Nabi SAW, menyuruh kita memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat. Maka antara tempat yang selawat lebih afdhal berbanding zikir-zikir yang lain ialah pada hari Jumaat.

Demikian juga zikir pagi dan petang yang telah ditetapkan oleh Rasulullah, ia adalah lebih afdhal di baca pada waktu pagi dan petang berbanding zikir-zikir yang lain. Ini semua zikir muqayyad dan ia didahulukan berbanding zikir-zikir yang lain.

Manakala zikir Mutlaq adalah zikir yang tidak ditetapkan untuk dibaca pada waktu-waktu tertentu oleh Nabi SAW. Maka dalam waktu-waktu yang tiada penetapan zikir dari Nabi SAW, maka sepatutnya kita memperbagai dan memperbanyakkan zikir kepada Allah dengan zikir-zikir yang berbagai supaya kita termasuk dalam kalangan orang yang disebut di dalam al-Quran sebagai الذاكرين الله كثيرا iaitulah orang-orang yang mengingati Allah dengan banyak yang memiliki kelebihan.

Itu secara umum antara zikir muqayyad dan zikir Mutlaq. Pada waktu-waktu yang tidak tetapkan zikirnya, maka kita boleh pilih sama ada hendak selawat ataupun istighfar. Yang penting perbanyak dan memperbagaikan zikir mengikut kemampuan kita.

Kemudian selain daripada  itu, ada pula zikir yang afdhal bergantung kepada situasi seseorang. Sebagai contoh seseorang ada melakukan dosa, lalu dia menyesal, maka dalam situasi ini sudah tentulah zikir yang lebih afdhal pada dia adalah beristighfar  kepada Allah SWT berbanding selawat ke atas Nabi SAW. Begitulah seterusnya. Kena tengak keadaan juga untuk buat pertimbangan antara zikir muqayyad dengan zikir Mutlaq. Demikian juga berdasarkan situasi seseorang. Katakanlah seseorang yang sedang diselubungi kesedihan, ada zikir khusus yang Nabi SAW ajarkan untuk dibaca iaitulah:

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي، وَنُورَ صَدْرِي، وَجَلَاءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمِّي

Zikir ini adalah lebih afdhal kepada orang yang sedang diselubungi kebimbangan dan kesedihan berbanding zikir-zikir yang lain. Inilah asas pertimbangan dalam hendak memiliih zikir yang paling afdhal menurut situasi-situasi keadaan-keadaan yang dijelaskan sebentar tadi.


Cetak  
Wallahu a'lam