SDI 1316: Bacaan al-Quran dan Sedekahkan Pahala Kepada Mayat

Friday, October 18, 2013

Soalan:

Saya pernah mendengar orang berkata membaca al-Quran dan sedekahkan pahalanya kepada mayat adalah perbuatan bid’ah. Antara bukti dalam perkara ini ialah hadis Nabi SAW yang menyatakan: “apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, semua amalannya akan terputus melainkan tiga perkara: Sedekah Jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”  Benarkan dakwaan ini? Ada pula yang mendakwa syeikh Uthaimin juga berpandangan sedemikian. mohon penjelasan dari ustaz.

 

Jawapan:

Para ulama berbeza pendapat dalam masalah ini.

Pertama: Imam Ahmad, Imam Abu Hanifah dan sebahagian Ashab al-Syafie berpandangan mayat dapat mengambil manfaat dari sedekah pahala bacaan al-Quran dari orang hidup kepada mereka.

Kedua: Imam Malik pula berdasarkan pandangan yang masyhur dari beliau, demikian juga Imam Syafie berpandangan tidak sampai sedekah pahala bacaan al-Quran kepada mayat. Dalil mereka antaranya:

  1. Firman Allah SWT:

وأن ليس للإنسان إلا ما سعى

Maksudnya: “Dan tiadalah bagi seseorang insan itu melainkan apa yang diusahakannya sahaja.” (al-Najm: 39)

  1. Sabda Nabi SAW:

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث……..

Maksudnya: “apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, semua amalannya akan terputus melainkan tiga perkara.... (HR Muslim)

Namun ayat al-Quran dan hadis ini dijawab oleh golongan pertama dengan berkata:

  1. Ayat 39 dari surah al-Najm membicarakan soal seseorang hanya memperolehi apa yang diusahakannya sahaja, kerana apa-apa yang diusahakannya itulah hak yang menjadi miliknya. Adapun sesuatu perkara yang diusahakan oleh orang lain, maka perkara itu menjadi miliki kepada orang yang mengusahakannya, orang itu pula berhak untuk menghadiahkannya kepada sesiapa yang dikehendakinya. Bukankah setiap orang, sama ada yang hidup mahupun yang mati dapat mengambil manfaat bukan hanya dari usahanya sahaja? bahkan kadang-kadang kita dapat mengambil manfaat dari sesuatu yang diusahakan dan dimiliki oleh orang lain dengan izin dari pemiliknya?
  1. Adapun berkaitan dengan hadis yang menyatakan apabila seseorang anak adam meninggal dunia maka terputuslah semua amalannya melainkan tiga perkara, salah satunya ialah anak yang mendoakannya. Kebanyakan ulama menjawab: doa anak soleh kepada orang tuanya yang meninggal dunia adalah perkara khas. Hadis tersebut membicarakan berkaitan usaha seseorang yang dapat mendatangkan manfaat setelah meninggal dunia. seseorang anak termasuk dari usaha orang tuanya. Allah SWT berfirman:

ما أغنى عنه ما له وما كسب

Maksudnya: “Tiadalah bermanfaat hartanya (Abu Lahab) dan apa-apa yang diusahakannya.” (al-Masad:2)

Para ulama tafsir telah menafsirkan وما كسب yang bermaksud: “dan apa-apa yang diusahakannya.” Di dalam ayat ini ialah anak. Tafsiran ini dikuatkan lagi dengan hadis Nabi SAW yang bersabda:

إن أطيب ما أكل الرجل من كسبه وإن ولده من كسبه

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang lelaki adalah dari usahanya, dan seseungguhnya anaknya itu adalah termasuk dari usahanya.” (HR Ashab al-Sunan)

Seorang anak dikira termasuk dari usaha orang tuanya kerana melalui merekalah dia dilahirkan, dan dengan didikan mereka jugalah dia mampu mendoakan kebaikan untuk kedua orang tuanya, maka doa seseorang anak untuk orang tuanya adalah termasuk dari usaha orang tuanya yang telah meninggal dunia. Ini menunjukkan seseorang anak berbeza keadaannya dengan adik-beradik, bapa saudara bahkan orang luar dari keluarga. Namun sekiranya mereka ini (orang luar dari keluarga) mendoakan kebaikan untuk seseorang, doa mereka tetap dapat memberi manfaat kepada mayat. Bukankah juga doa orang lain itu bukan amalan simati? Selain itu Nabi SAW juga bersabda: “Terputus amalannya, melainkan tiga perkara…” baginda tidak menyatakan simayat tidak boleh mengambil manfaat dari orang lain.

Oleh yang demikian, pandangan yang lebih benar dalam persoalan ini – insyaAllah – ialah sampai pahala bacaan al-Quran kepada mayat. Ada juga beberapa ulama dari mazhab al-Syafie yang berpandangan tidak sampai pahala bacaan al-Quran kepada mayat, melontarkan pandangan yang amat baik dalam menyelesaikan persoalan ini. Mereka berkata: Jika seseroang membaca al-Quran, setelah membacanya orang itu berkata: “Ya Allah sekiranya Engkau menerima bacaan al-Quranku ini, maka jadikanlah pahalanya untuk fulan.” Maka perbuatannya ini adalah benar. Mereka memasukkannya dalam persoalan doa.

Kesimpulannya, para peneliti dari kalangan ulama berpandangan sesiapa yang melakukan sesuatu amalan, dia berhak memperolehi pahala dari amalan yang dilakukannya jika dilakukan memenuhi syarat-syarat diterima oleh Allah SWT. dia juga berhak untuk menganugerahkan pahala amalannya itu kepada sesiapa yang dikehendakinya, selama mana tiada sebarang halangan dari pihak penerima. Dan satu-satunya halangan yang dimaksudkan di sini iaitulah jika simati tersebut adalah seorang kafir.

Adapun berkaitan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin RH, beliau adalah salah seorang ulama yang berpandangan harus menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada mayat, dan ianya bermanfaat untuk mayat insyaAllah. Yang dilarang oleh al-Syeikh ibn al-Uthaimin ialah perbuatan berhimpun di kubur dan membaca al-Quran untuk mayat. Inilah pandangan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin RH setakat maklumat yang saya ada. Pandangan beliau ini bertepatan dengan pandangan majoriti ulama dan para peneliti. Sila lihat pandangan beliau ini di dalam kitabnya Majmu’ Fatawa al-‘Aqidah jilid 2, halaman 305.


Cetak  
Wallahu a'lam