Doa Dari Berbagai Keburukan
Al-Imam al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (810), daripada ‘Uqbah bin ‘Amir (عقبة بن عامر) katanya: “Rasulullah SAW sentiasa berdoa:
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ يَوْمِ السُّوْءِ، وَمِنْ لَيْلَةِ السُّوْءِ، وَمِنْ سَاعَةِ السُّوْءِ، وَمِنْ صَاحِبِ السُّوْءِ، وَمِنْ جَارِ السُّوْءِ، وَمِنْ جَارِ السُّوْءِ فِيْ دَارِ الْمُقَامَةِ
“Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung dengan-Mu dari siang hari yang buruk, dari malam hari yang buruk, dari masa yang buruk, daripada teman yang buruk, daripada jiran yang buruk dan daripada jiran yang buruk di tempat tinggal.” Kata al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawa-id 10/212: “Diriwayatkan oleh al-Tabarani, dan para periwayatnya adalah para periwayat al-Sahih selain Bisyr bin Thabit al-Bazzar, namun beliau seorang thiqah.” Hadis ini juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’ 1299)
Doa Berlindung Dari Perkara Buruk
Al-Imam Abu Daud (1552) dan al-Nasa-ie (5531) meriwayatkan: “Daripada Abi al-Yasar (أَبِي الْيَسَرِ) RA bahawa Rasulullah SAW sering berdoa:
اللَّهُمَّ، إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَدْمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ التَّرَدِّي، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْغَرَقِ وَالْحَرَقِ وَالْهَرَمِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنِي الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ فِي سَبِيلِكَ مُدْبِرًا، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ لَدِيغًا
“Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung dengan-Mu dari dihempap runtuhan (al-Hadm), daku berlindung dengan-Mu dari terjatuh dari tempat yang tinggi (al-Taraddi), daku berlindung dengan-Mu dari al-lemas di dalam air (Gharaq) dan dari terbakar (al-Haraq) dan usia nyanyuk (al-Haram). Daku berlindung dengan-Mu dari gangguan syaitan ketika nazak, daku berlindung dengan-Mu dari mati lari meninggalkan jihad di jalan-Mu dan daku berlindung dengan-Mu dari dipatuk haiwan berbisa.” (Dinilai Sahih oleh al-ALbani)