Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, Nabi SAW berdoa dengan berkata:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung denganMu dari hilangnya nikmat-nikmatMu dari ku, dari perubahan kesejehteraan kurniaanMu, dari hukumanMu yang datang secara tiba-tiba dan dari seluruh kemurkaanMu.” (HR Muslim – Kitab al-Zikr wa al-Du’a wa al-Taubah wa al-Istighfar – Bab Akthar Ahl al-Jannah al-FUqaraa’ wa Akthar Ahli al-Nar al-Nisaa’ wa Bayan al-Fitnah bi al-Nisaa’, bilangan: 2739)
Makna Perkataan
Perkataan زَوَالِ yang diterjemahkan sebagai hilang merujuk kepada pergi dan hilangnya sesuatu tanpa ada gantian. Manakala perkataan نِعْمَتِكَ yang diterjemahkan sebagai "nikmat-nikmatMu" ialah setiap perkara yang kesudahannya dipuji. Kalimah nikmat yang digabungkan dengan kata nama “Engkau (كَ) “ yang merujuk kepada Allah membawa maksud umum, iaitulah merangkumi segala nikmat kurniaan Allah yang zahir dan batin.
Perkataan تَحَوُّلِ diterjemahkan sebagai "perubahan", merujuk kepada perubahan sesuatu kepada sesuatu yang lain seperti sihat berubah kepada sakit dan kaya berubah menjadi miskin.
Perkataan عَافِيَتِكَ pula diterjemahkan sebagai "kesejahteraan" memaksudkan apa-apa yang berlawanan dengan sakit dan bala.
Perkataan yang digunakan oleh Nabi SAW dengan فُجَاءَةِ merujuk kepada sesuatu yang datang secara tiba-tiba dan mengejut.
Manakala سَخَطِكَ ialah membenci dan tidak sukakan sesuatu, demikian juga tidak meredhai. Ia digabungkan dengan ganti nama “Engkau (كَ) yang merujuk kepada Allah SWT, memaksudkan umum.
Syarah
Ungkapan yang diterjemahkan sebagai: “Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung denganMu dari hilangnya nikmat-nikmatMu dari ku” memaksudkan seseorang yang berdoa dan meminta dengan mengatakan “Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung dan minta dijauhkan dari hilangnya segala nikmat kurniaanMu kepada ku, sama ada nikmat yang zahir mahupun yang tersembunyi. Sama ada nikmat bersifat keduniaan mahupun nikmat yang bersifat akhirat. Sama ada nikmat yang daku menyedari keberadaannya mahupun nikmat yang tidak daku sedari keberadaannya."
Ini kerana nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia adalah nikmat yang tidak mampu dihitung dan dibilang. Baginda Nabi SAW mengajar kita agar memohon perlindungan dengan Allah dari kehilangan nikmat kerana sesuatu nikmat tidak akan hilang melainkan apabila penganugerahannya tidak disusuli dengan kesyukuran.
Permohonan ini juga merangkumi permohonan diberi taufiq agar dapat bersyukur atas kurniaan nikmat dan dipelihara dari terjebak ke dalam maksiat kerana maksiat boleh menghilangkan nikmat. Allah SWT berfirman:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Maksudnya: “Dan ingatlah ketika tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur niscaya Aku akan tambah nikmatKu kepada mu, tetapi jika kamu mengingkarinya. Maka sesungguhnya azabKu amatlah dahsyat.” (Ibrahim: 7)
Ungkapan yang diterjemahkan sebagai: “dari perubahan kesejehteraan kurniaanMu” bermaksud daku berlndung dan berteduh kepadaMu ya Allah dari perubahan kesejahteraan yang Dikau kurniakan kepadaku, merangkumi selamat dari segala penyakit, bala dan musibah kepada mendapat sakit, bala dan musibah.
Permohonan ini memaksudkan permohonan agar dikekalkan kesejahteraan. Ini kerana hilangnya kesejahteraan di dalam hidup seseorang hamba menjadikan hidupnya dalam keburukan disebabkan tidak dapat melaksanakan urusan hariannya untuk dunia mahupun akhirat.
Ungkapan yang diterjemahkan sebagai: “dari hukumanMu yang datang secara tiba-tiba” iaitulah memohon perlindungan dari hukuman dan balasan yang mengejut tanpa diduga. Dikhususkan mohon perlindungan dari hukuman yag mengejut ini kerana hukuman yang dikenakan dalam bentuk yang mengejut adalah lebih berat berbanding hukuman yang datang secara beransur, sehingga menjadikan seseorang itu tidak memiliki masa untuk bertaubat.
Ungkapan yang diterjemahkan sebagai: “dan dari seluruh kemurkaanMu” iaitulah daku kembali berlindung dan berteduh kepadaMu dari setiap perkara yang boleh mendatangkan murkaMu, kerana sesungguhnya sesiapa yang mendapat kemurkaan dariMu, dia adalah seorang yang binasa.
Justeru ungkapan ini merangkumi mohon perlindungan dari sebarang sebab yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Seseorang yang bebas dari sebarang sebab yang membawa kemurkaan Allah sudah tentu akan beroleh redha dariNya.