Bimbangkan hukuman dari Allah adalah dengan cara kembali berlindung kepada-Nya

Daripada ’Aisyah RA katanya:
 
”Daku pernah kehilangan Rasulullah SAW pada suatu malam, lalu daku mencari baginda, maka tanganku tersentuh perut kaki baginda, ketika itu baginda di dalam masjid (dan sedang sujud), kedua-dua telapak kaki baginda ditegakkan, baginda membaca di dalam sujud:
 
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْكَ، لاَ أُحْصِيْ ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ.
 
Mafhumnya: “Ya Allah, daku berlindung dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu (agar terselamat) dari siksaan-Mu. Daku berlindung dengan rahmat-Mu dari hukuman-Mu* tidak terhitung pujian kepada-Mu. Dikau adalah sepertimana pujian-Mu kepada diri-Mu.” (Muslim) 
 
* Ungkapan أَعُوْذُ بِكَ مِنْكَ, di dalam Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Soghir dinyatakan bermaksud: “Daku berlindung dengan rahmat-Mu dari hukuman-Mu."
 
Al-Imam Ibn al-Qayyim pula berkata: “(Ungkapan sebelum ini iaitulah) Memohon perlindungan dengan sifat redha (Allah) dari sifat murka (Allah) dan dengan perbuatan memberi ampun (yang ada pada sifat Allah) dari memberi hukuman (yang ada pada sifat Allah), maka berlindung dengan-Nya dariNya (أعوذ بك منك), dengan diambil kira kedua-dua permohonan perlindungan yang telah dijelaskan sebelum ungkapan ini. Kerana memohon perlindungan dengan Allah dari Allah merujuk kepada ungkapan permohonan perlindungan sebelumnya, disamping ia mengandungi faedah yang mulia iaitulah kesempurnaan tauhid, dan bahawa Zat yang diminta perlindungan (iaitu Allah) oleh seseorang, dielak juga dari-Nya, iaitulah dari perbuatan, kehendak dan ketentuan-Nya, kerana hanya Dialah satu-satunya yang menghukum, jika Dia (Allah) hendakkan keburukan kepada seseorang hamba-Nya, tiada yang dapat melindungi orang tersebut melainkan Dia, Dialah juga yang menghendaki keburukan kepada hamba tersebut, dan Dialah juga yang hendak menolak keburukan itu dari orang tersebut, maka jadilah Allah Yang Maha Suci dipohon perlindungan dengan-Nya dari-Nya dengan mengambil kira kedua-dua kehendak Allah SWT tersebut. (Firman Allah) وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ Mafhumnya: “Dan sekiranya Allah mengenakan kepada engkau sesuatu kemudharatan, maka tiada yang dapat melepaskannya melainkan Dia (Allah semata-mata).” Dialah (Allah) yang mengenakan mudharat dan Dialah (Allah) yang dapat melepaskannya, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, maka dielak dari (kemurkaan dan hukuman-Nya) dengan kembali kepada-Nya, tiada tempat berlindung daripada-Nya melainkan kembali kepada-Nya, sepertimana permohonan perlindungan daripada-Nya, kerana sesungguhnya tiada tuhan selain dari Allah, tiada tuhan yang menguruskan urusan seseorang hamba melainkan Dia, Dialah yang menggerakkan, membolak-balikkan dan menguruskan urusan seseorang hamba sepertimana yang dikehendaki oleh-Nya.” Lihat Tariq al-Hijratain wa Bab al-Sa’adatain 1/431.

Cetak  
Wallahu a'lam