SDI 1337: Apakah Mustajab Berdoa Pada Hari 'Arafah Itu Umum?

Soalan: 

Apakah Mustajab Berdoa Pada Hari 'Arafah Itu Umum

Jawapan: 

Sabit dari 'Aisyah RA yang berkata Nabi SAW pernah bersabda: 

ما مِن يَومٍ أَكْثَرَ مِن أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فيه عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِن يَومِ عَرَفَةَ، وإنَّه لَيَدْنُو، ثُمَّ يُبَاهِي بهِمُ المَلَائِكَةَ، فيَقولُ: ما أَرَادَ هَؤُلَاءِ

maksudnya: "Tiada satu hari yang lebih banyak ALlah membebaskan para hambanya dari neraka melainkan pada hari 'Arafah. Sesungguhnya benar-benar Allah itu dekat, kemudian Dia berbangga dengan semua para hamba-Nya (yang berada di padang 'Arafah) pada para malaikat dan Dia berfirman: "Apa yang dkehendaki oleh mereka semua ini?" 

Demikian juga sabit daripada 'Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash RA, Nabi SAW bersabda: 

خير الدعاء دعاء يوم عرفة ، وخير ما قلت أنا والنبيّون من قبلي : لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك ، وله الحمد ، وهو على كل شيء قدير

maksudnya: "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari 'Arafah, sebaik-baik ungkapan yang diucapkan oleh daku dan para nabi sebelumku adalah: لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك ، وله الحمد ، وهو على كل شيء قدير(HR al-Tirmizi 3585 dan dinilai sebagai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib 1536)

Para ulama berbeza pandangan apakah kelebihan doa pada hari 'Arafah ini khusus kepada jemaah haji yang berada di Padang 'Arafah? atau ianya umum semua tempat? 

Perkataan al-Baji di dalam al-Muntaqa Syarh al-Muwattha 1/358 dapat difahami ia khusus kepada jemaah haji, kata beliau: 

قَوْلُهُ أفْضَلُ الدُّعاءِ يَوْمَ عَرَفَةَ يَعْنِي أكْثَرَ الذِّكْرِ بَرَكَةً وأعْظَمَهُ ثَوابًا وأقْرَبَهُ إجابَةً ويَحْتَمِلُ أنْ يُرِيدَ بِهِ الحاجَّ خاصَّةً لِأنَّ مَعْنى دُعاءِ يَوْمِ عَرَفَةَ فِي حَقِّهِ يَصِحُّ وبِهِ يَخْتَصُّ وإنْ وصَفَ اليَوْمَ فِي الجُمْلَةِ بِيَوْمِ عَرَفَةَ فَإنَّهُ يُوصَفُ بِفِعْلِ الحاجِّ فِيهِ واَللَّهُ أعْلَمُ

maksudnya: "Dan sabda baginda: "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari 'Arafah" iaitulah zikir yang paling banyak keberkatannya dan paling agung pahalanya dan paling hampir untuk dimustajabkan." boleh difahami yang dimaksudkan dengannya adalah khusus untuk yang melaksanakan haji, kerana makna doa pada hari 'Arafah pada orang yang melaksanakan haji adalah benar, maka dikhususkan pada mereka. Maka jika baginda mensifatkan sesuatu hari pada beberapa tempat dengan hari 'Arafah, sesungguhnya baginda merujuk kepada perbuatan orang yang melaksanakan haji di padang 'Arafah, dan Allahlah yang lebih mengetahui."

 

Riwayat Dari Sebahagian Salaf

Sabit juga riwayat dari sebahagian salaf yang dapat difahami mereka memuliakan hari 'Arafah tanpa dikaitkan dengan keberadaan di Padang 'Arafah. Antara buktinya iaitulah mereka mengharuskan al-Ta'rif التعريف, iaitulah perhimpunan orang Islam di masjid-masjid untuk berdoa dan berzikir kepada ALlah pada hari 'Arafah. Di kalangan salaf yang diriwayatkan ada melakukan perkara ini adalah seorang sahabat Nabi SAW yang mulia, iaitulah Ibn 'Abbas RA. Demikian juga perhimpunan yang dinamakan sebagai al-Ta'rif ini dibenarkan oleh Imam Ahmad, sekalipun beliau sendiri tidak melakukannya. 

Kata Ibn Qudamah: 

قال القاضي : ولا بأس بـ " التعريف " عشية عرفة بالأمصار ( أي ِ: بغير عرفة ) ، وقال الأثرم : سألت أبا عبد الله – أي : الإمام أحمد - عن التعريف في الأمصار يجتمعون في المساجد يوم عرفة ، قال : " أرجو أن لا يكون به بأس قد فعله غير واحد " ، وروى الأثرم عن الحسن قال : أول من عرف بالبصرة ابن عباس رحمه الله وقال أحمد : " أول من فعله ابن عباس وعمرو بن حُرَيث " .

وقال الحسن وبكر وثابت ومحمد بن واسع : كانوا يشهدون المسجد يوم عرفة ، قال أحمد : لا بأس به ؛ إنما هو دعاء وذكر لله . فقيل له : تفعله أنت ؟ قال : أما أنا فلا ، وروي عن يحيى بن معين أنه حضر مع الناس عشية عرفة " انتهى

maksudnya: "Kata al-Qadhi: Tidak mengapa dengan al-Ta'rif pada petang hari 'Arafah yang dilakukan di bandar-bandar umat Islam selain di Padang 'Arafah. Telah berkata al-Athram: Aku pernah bertanya kepada Abu Abdillah (Imam Ahmad) berkaitan dengan al-Ta'rif yang dilakukan di kota-kota negeri umat Islam, mereka berhimpun di masjid-masjid pada hari 'Arafah. Jawab beliau: "Aku harapkan ia tidak mengapa, kerana bukan seorang (di kalangan salaf) yang melakukannya." al-Athram juga meriwayatkan daripada al-Hasan yang berkata: "Orang pertama yang melakukan al-Ta'rif di Basrah adalah Ibn 'Abbas RA, dan Ahmad berkata: "Orang pertama yang melakukannya adalah Ibn 'Abbas dan 'Amr bin Huraith." Kata al-Hasan, Bakr, Thabit dan Muhammad bin Wasi': "Mereka dahulunya (umat Islam yang awal) menghadirkan diri ke masjid pada hari 'Arafah." Kata Ahmad: "Tidak mengapa dengan perkara itu. Ia hanyalah berdoa dan berzikir." Lalu dikatakan kepadanya: "Tuan melakukannya?" Jawab beliau: "Adapun aku, tidak melakukannya." Diriwayatkan juga dariapda Yahya bin Ma'ien yang pernah hadir bersama orang ramai (perhimpunan tersebut) pada petang hari 'Arafah." (Lihat al-Mughniy 2/129) 

Hal ini menunjukkan atau dapat difahami sebahagian salaf ada yang berpandangan kemuliaan hari 'Arafah adalah umum kepada semua tempat dan tidak khusus untuk Padang 'Arafah sahaja. Perhimpunan yang dilakukan di masjid-masjid pada hari 'Arafah juga suatu yang dibolehkan, sekalipun perkara ini tidak didapati ada anjuran dari Nabi SAW, kerana itu Imam Ahmad tidak melakukannya, sebaliknya beliau membenarkannya dan tidak mencegahnya kerana perkara itu didapati ada dilakukan oleh sebahagian Sahabat Nabi SAW seperti Ibn 'Abbas dan 'Amr bin Huraith RA.


Cetak  
Wallahu a'lam