Bolehkah Jawab Salam Dengan Tambahan "Wa Maghfiratuh"?

assalamu’alaikum warahmatullah wabarakatuh.

Soalan dari Pak Udin, > Pak Udin:

🔴 pak ustaz, bila ada orang ucapkan salam...kita dianjurkan jawab dengan lebih baik.... bolihkan kita jawab macam ini....وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته ومغفرته  ...

Jawapan:

Menjawab salam dengan tambahan "wa maghfiratuh" ومغفرته adalah boleh, bahkan perkara ini disebut oleh beberapa ulama, antaranya al-Imam al-Syaukani RH di dalam tafsir beliau, ketika menafsirkan firman Allah SWT:

فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ

maksudnya: “…maka jawablah dengan ucapan yang lebih baik dari ucapan yang diberikan…” Kata al-Syaukani RH:

والمراد بقوله : { فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَا } أن يزيد في الجواب على ما قاله المبتدىء بالتحية ، فإذا قال المبتدىء : السلام عليكم ، قال المجيب : وعليكم السلام ورحمة الله ، وإذا زاد المبتدىء لفظاً زاد المجيب على جملة ما جاء به المبتدىء لفظاً أو ألفاظاً نحو : وبركاته ، ومرضاته ، وتحياته

Ini perkataan al-Syaukani di dalam tafsirnya. Maksudnya lebih kurang: “maka firman ALlah yang bermaksud: “maka jawablah dengan jawapan yang lebih baik” bila ada orang yang mengucapkan ucapan penghormatan atau salam kepada kita. Lalu al-Syaukani berkata: “Iaitulah dengan menambah pada jawapan itu lebih dari apa yang diucapkan oleh orang yang memulakan ucapan salam atau dengan ucapan penghormatan. Lalu Syaukani berkata: “Apabila orang yang memulakan ucapan salam itu berkata: “Assalamu’alaikum” maka orang yang menjawab berkata: “Wa’alaikumussalam warahmatullah”. Apabila orang yang memulakan salam menambah lafaz, maka orang yang menjawab, tambah lagi perkataan yang lebih dari perkataan yang diungkapkan oleh orang yang memulakan salam. Sama ada tambahan itu satu lafaz yang ditambah atau kita tambah beberapa lafaz yang lebih dari apa yang diucapkan oleh orang yang memulakan salam. seperti tambahan: وبركاته ، ومرضاته ، وتحياته "wabarakatuhu, wamardhatuhu wa tahiyyatuhu.”

Ini yang disebut oleh al-Syaukani di dalam tafsir beliau. Beliau tidak bersendirian dalam perkara ini. Perkara ini disebut juga oleh al-Hafidz Ibn Hajar di dalam kitab beliau Fath al-Bari, di mana beliau ada menyebut riwayat atau menukilkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas RA juga riwayat ‘Umar RA yang menyatakan انتهى السلام إلى البركة iaitulah “lafaz salam itu berhenti pada atau tamat pada lafaz barakah” iaitulah وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته. Ini sahaja atau setakat ini sahaja lafaz salam yang datang dari Nabi Muhammad SAW berdasarkan perkataan Ibn ‘Abbas dan ‘Umar bin al-Khattab RA. Bahkan ada juga riwayat yang seumpama ini daripada Ibn ‘Umar. Allah redhai mereka bertiga.

Namun Ibn Hajar juga mendatangkan riwayat lain daripada Ibn ‘Umar, iaitulah anak kepada ‘Umar bin al-Khattab yang bernama ‘Abdullah yang berpandangan harus menambah lebih dari وبركاته berdasarkan riwayat yang ada di dalam al-Muwattha oleh Imam Malik. antara riwayat tersebut, menyebut, Ibn ‘Umar apabila menjawab salam beliau akan menambah والغاديات والرائحات, maknanya jika ada orang memberi salam kepada Ibn ‘Umar dengan lafaz yang sempurna, beliau akan menjawab dengan menyebut: وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته والْغَادِيَاتُ وَالرَّائِحَات  beliau tambah dua lafaz.

al-Imam al-Bukhari juga ada menyebut di dalam al-Adab al-Mufrad riwayat daripada ‘Amr bin Syuaib daripada Salim Maula Ibn ‘Umar yang berkata: “Ibn ‘Umar akan menambah ungkapan jawab salam.” Lalu kata Salim Maula Ibn ‘Umar: فأتيته مرة فقلت السلام عليكم فقال السلام عليكم ورحمة الله ثم أتيته فزدت وبركاته فرد وزاد وطيب صلواته “Satu ketika aku datang kepada Ibn ‘Umar dan berkata: “Assalamu‘alaikum!” beliau menjawab: “Assalamu ‘alaikum warahmatullah.” kemudian aku datang berikutnya dan mengucapkan lafaz memberi salam sehingga “wabarakatuh.” Lalu beliau menjawab dengan sempurna dan menambah “wa tayyibu salawatihi” 

Maknanya Ibn ‘Umar RA menambah jawab salam dengan: وعليكم السلام  ورحمة الله وبركاته وطيب صلواته. Perkara ini disebut oleh Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari. Demikian juga berdasarkan riwayat daripada Zaid bin Thabit yang pernah memulis surat kepada Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Di dalam surat itu Zaid bin Thabit menulis salam dengan lafaz: السلام عليكم يا أمير المؤمنين ورحمة الله وبركاته ومغفرته وطيب صلواته. Kemudian kata Ibn Hajar: “Ibn Daqil al-‘Ied menukilkan daripada Abi al-Walid bin Rusyd yang mana beliau berpandangan perbuatan Muawiyah menambah lafaz salam itu, kerana difahami dari firman Allah: فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ  “(Apabila kamu diberi ucapan penghormatan) maka jawablah dengan ucapan yang lebih baik daripadanya.” Maka ayat ini menunjukkan keharusan menambah lebih dari ucapan “wabarakatuh” jika orang yang memulakan salam mengucapkan salam dengan lafaz yang sempurna sampai “wabarakatuh.” maka boleh pula orang yang menjawab, menjawab lebih dari lafaz yang diberikan. 

Jadi kesimpulannya, boleh menambah lafaz “wamaghfiratuh” ketika menjawab salam kepada orang yang memberi salam secara sempurna.

Bahkan saya juga mendengar kuliah daripada seorang syeikh yang diberkati, semoga Allah SWT memelihara dan memanjangkan umur beliau, iaitulah dalam kuliah al-Syeikh Dr. Abdul Karim al-Khudhair, di mana beliau juga membenarkan, ditambah lafaz “wa maghfiratuh”, Cuma saya tidak ingat dalil yang beliau datangkan. Yang penting al-Syeikh Dr. Abdul Karim al-Khudhair juga antara tokoh yang mengharuskan penambahan lafaz salam dengan ucapan “wa maghfiratuh.”     


Cetak  
Wallahu a'lam