Perasaan Ketika Menjawab Azan

Perkara yang selalu ditinggalkan iaitulah menjawab azan. Kita akan kata: "sunat sahaja, sunat sahaja, tak payah buat pun tak apa." Sedangkan sebuah hadis daripada Abi Sa'id al-Khudri RA, baginda SAW bersabda: 

إذا سمعتم النداء فقولوا مثل ما يقول المؤذن

Mafhumnya: “Apabila kamu mendengar seruan azan, maka jawablah sepertimana seruan yang dilaungkan oleh tukan azan.” 

Maknanya bila muazzin sebut: الله أكبر ألله أكبر, kita jawab: الله أكبر ألله أكبر. Jawab azan seperti yang dilaungkan oleh muazzin atau tukang azan.

Barangkali kita boleh rasakan begini, tuan-tuan.  Antara perkara yang boleh kita rasakan iaitulah, kita rasa cemburu dengan muazzin yang melafazkan seruan الله أكبر ألله أكبر. 

Semua orang Islam tahu dan berkeyakinan Allah itu adalah Tuhan Yang Maha Besar. Jika muazzin melaungkan apa yang diyakininya, bahawa ALlah itu adalah Tuhan Yang Maha Besar, maka kita juga hendak melaungkan apa yang diyakini di dalam hati kita, bahkan kita berbangga dengan memiliki Tuhan Yang Maha Besar tersebut. Kita juga hendak memuji ALlah seperti mana muazzin itu memuji dan melaungkan apa yang diyakini di dalam hatinya.

Kita rasa cemburu dengan muazzin, dia melaungkan apa yang diyakininya, suaranya didengar oleh semua makhluk. Apakah kita diam dan biarkan laungan itu berlalu begitu sahaja tanpa menyahutnya? Lalu kita berasa cemburu dan kita juga seolah-oleh hendak memberitahu kepada Allah, bukan muaazin sahaja yang meyakini Dikau adalah Tuhan Yang Maha Besar, bahkan daku juga memiliki keyakinan yang sama. Lalu kita turun menuturkan apa yang kita yakini di dalam diri. 

Demikian juga, ketika muazzin melaungkan أشهد أن لا إله إلا الله, apa maksud dia tuan-tuan? kalau muazzin itu melaungkan ungkapan tersebut dalam bahasa melayu, dia akan jadi: "Aku bersaksikan bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain ALlah!!!" muazzin melaungkan apa yang diyakini di dalam dirinya sehingga semua orang dengar. Apa perasaan kita tuan-tuan? Bukankah kita akan kata: "bukang hang seorang sahaja meyakini perkara tersebut. Bahkan aku juga meyakini perkara yang sama." Lalu kita rasa cemburu dan segera menuturkannya, seolah-olah kita beritahu kepada Allah, kepada diri kita dan kepada orang lain, bahawa: "aku juga meyakini bahawa tiada tuhan yang berhak disembah sebenar-benarnya melainkan ALlah." Begitulah tuan-tuan. 

Ia sama halnya, jika ada seorang susah, kita nampak ada orang lain yang lebih awal dari kita membantunya. Bukankah kita akan tertanya di dalam diri kita, kenapa aku juga tidak turut sama membantu orang susah tersebut? Lalu kita akan segera turut serta membantunya. 

Azan termasuk di dalam zikir, seorang muazzin yang melaunkan azan maknanya dia sedang berzikir kepada ALlah SWT. Lalu kita yang dengar laungan muaazin yang sedang berzikir, sudah tentu kita akan rasa cemburu lalu dengan segera kita turut berzikir dan memuji ALlah SWT. Hal ini kerana ALlah adalah أهل الثناء والمجد iaitulah zat yang sememangnya berkeahlian dan selayaknya dipuja, dipuji dan diagungkan. Allah taala juga suka seorang hamba yang memuji dan memuja-Nya. Seorang hamba yang dalam keadaan memuja dan memuji ALlah bermakna dia sedang mengiktiraf keagungan ALlah. Alah suka perkara itu, ALlah mahu kita memuji-Nya, ia termasuk dalam ertikata ibadah kepada ALlah SWT. Maka kita hendaklah memperbanyakkan pujian dan pujaan kepada ALlah SWT. 


Cetak  
Wallahu a'lam