Hendakkan Syafaat Bukan Minta Dari Nabi SAW

Berselawat ke atas Nabi SAW dan memohon wasilah untuk baginda. 

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA, dimana beliau mendengar Nabi SAW bersaba:

إذا سمعتم المؤذن فقولوا مثل ما يقول، ثم صلَّوا عليَّ، فإنه من صلَّى عليَّ صلاة صلى الله عليه بها عشراً، ثم سلوا الله لي الوسيلة، فإنها منزلة في الجنة لا تنبغي إلا لعبد من عباد الله، وأرجو أن أكون أنا، فمن سأل لي الوسلة حلَّت لـه الشفاعة

Mafhumnya: “Apabila kamu semua mendengar muazzin (melaungkan azan), maka jawablah sama seperti laungannya, setelah itu berselawatlah kepadaku…” 

Iaitulah selepas muazzin melaungkan azan, kita disuruh berselawat ke atas Nabi SAW. Maknanya sebaik sahaja muazzin melaungkan di hujung azannya لا إله إلا الله, kita pun jawab لا إله إلا الله, selepas itu kita berselawat terlebih dahulu. Antara lafaz selawat اللهم صل على محمد ataupun صلى الله عليه وسلم, atau dengan lafaz-lafaz selawat yang lain. Kemudian Nabi SAW bersabda: 

kerana sesungguhnya sesiapa yang berselawat ke atas aku dengan satu selawat, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali selawat,…” 

Di sini dinyatakan siapa yang berselawat ke atas Nabi, Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali selawat. Maknanya Allah bukan hanya berselawat ke atas Nabi SAW. Bahkan Allah SWT juga berselawat ke atas orang lain selain Nabi Muhammad SAW. Hadis ini sebut sedemikian. 

Saya ada dengar, ada ustaz yang sebut: “tuan-tuan, satu-satunya manusia yang Allah selawat ke atasnya iaitulah Nabi Muhammad.” Tak betul dakwaan ini. Allah berselawat ke atas manusia lain juga. Apa maksud Allah berselawat ke atas Nabi SAW? Maksudnya Allah menambahkan kemuliaan, menaikkan kedudukan, berterusan mengurniakan anugerah dan kelebihan kepada Nabi SAW. Inilah antara maksud Allah berselawat ke atas Nabi SAW.

Kita berselawat ke atas Nabi, maksudnya kita meminta kepada Allah supaya berselawat ke atas Nabi, iaitulah kita minta supaya Allah menambahkan lagi kemuliaan, meninggikan lagi kedudukan Nabi. Inilah maksud kita berselawat ke atas Nabi. Kemudian Nabi SAW bersabda:

“…kemudian..” yakni setelah berselawat. “pohonlah kepada Allah untuk mengurniakan kepadaku al-Wasilah,” iaitulah pada sebutan kita dalam doa azan: آت محمدا الوَسِيْلَة, al-Wasilah yang ini. Kata Nabi lagi: “kerana sesungguhnya al-Wasilah itu adalah satu kedudukan di dalam syurga yang tidak layak melainkan untuk seorang hamba dari kalangan hamba Allah, dan aku berharapkan hamba itu (yang dikurniakan al-Wasilah) adalah aku, maka sesiapa yang memohon al-Wasilah untukku, dia layak mendapat syafaatku.” (HR Muslim)

Nak dapat syafaat Nabi, salah satu caranya ialah dengan amalan ini. Iaitulah berselawat ke atas Nabi SAW setelah azan, sebelum itu menjawab seruan azan, setelah berselawat, membaca doa azan.

Bukan dengan meminta اشفع لنا، يا رسول الله “berilah syafaat kepada kami wahai Rasulullah.”

Syafaat ini diminta daripada siapa sebenarnya? minta dari Rasulullah? Tidak! Syafaat ini minta kepada Allah!, bukan Rasulullah. Allah berfirman: من ذا الذي يشفع عنده إلا  بإذنه, huruf من di sini bermaksud penafian iaitulah “tiada”, maknanya “tiada siapa yang memiliki syafaat atau dapat memberi syafaat di sisi Allah, melainkan perlu mendapat keizinan dari Allah terlebih dahulu.” Ini potongan dari ayat al-Kursi. 

Nabi SAW di dalam hadis al-Bukhari antaranya menyebut, baginda ada panggil orang yang baginda kenal di mahsyar, kerana baginda kenal mereka ketika baginda masih hidup. Baginda tidak tahu apa yang telah orang-orang tersebut lakukan setelah baginda wafat. Mereka sebenarnya telah murtad setelah baginda wafat. Tapi Rasulullah kenal mereka di akhirat kerana baginda tidak tahu mereka telah murtad setelah baginda wafat. Lalu Rasulullah kata: أصحابي، أصحابي “sahabat aku, sahabat aku!” Lalu diseru kepada baginda: “Mereka bukan sahabat kamu wahai Muhammad.” Maknanya baginda tidak boleh bagi bantuan sekalipun kepada orang yang baginda kenal, kerana orang tersebut tidak memenuhi syarat mendapat syafaat baginda.

Kerana itu, kalau dok mintak kepada Rasulullah: “berilah syafaat kepada kami, berilah syafaat kepada kami,” tetapi tidak mengikut sunnah, bagaimana hendak mendapat syafaat baginda SAW? sebaliknya hanya asyik membuat bidaah.

Ada kumpulan tertentu, apabila nak berselawat sahaja nak kena tepuk tangan. Pelik mereka ini. Bukankah selawat itu ibadat? kenapa perlu tepuk tangan? Laksanakan ibadat dengan adab. Golongan pelampau sufi ni, saya ingat mereka pening, selawat itu bukan bercakap dengan Rasulullah. Sebaliknya ia berbentuk permintaan kepada Allah. Cuba lihat lafaz selawat: اللهم صل على محمد maknanya:  “Ya Allah, selawatlah ke atas Nabi Muhammad.” maknanya kita minta kepada Allah. Bukan kita puji Rasulullah, kalau selawat itu maksudnya kita puji Rasulullah, mungkin boleh kita nak bertepuk tangan. Tetapi ia berupa permintaan kepada ALlah yang merupakan tuhan yang Maha Agung.

Oleh itu jika nak syafaat, antaranya, amalkanlah sunnah Nabi berkaitan dengan azan ini.  


Cetak  
Wallahu a'lam