Bacaan Ketika Singgah Di Sesuatu Tempat Atau Tempat Yang Dituju Telah Kelihatan

 1. Daripada Khaulah binti Hakim RA, katanya: “Daku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “sesiapa yang singgah di sesuatu tempat kemudian membaca:

أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Mafhumnya: Aku berlindung dengan kalimah Allah[1] yang sempurna, dari setiap kejahatan makhluknya[2]” tidak akan mendatangkan mudharat kepadanya sesuatupun, sehinggalah dia beredar dari tempat tersebut.” (HR Muslim)

Kata al-Imam al-Qurtubi RH: “Khabar ini adalah Sahih dan perkataan yang benar, kami dapat ketahui kebenarannya secara pembuktian dan pengalaman. Daku sendiri semenjak mendengar khabar (hadis) ini, terus beramal, dan tiada sesuatupun yang dapat mendatangkan mudharat kepadaku, sehinggalah daku meninggalkannya pada suatu malam ketika berada di al-Mahdiyyah, ketika itu daku dipatuk binatang berbisa. Lalu aku berfikir, ternyata aku terlupa untuk memohon perlindungan kepada Allah dengan membaca kalimah-kalimah tersebut.” (disebut oleh al-Syeikh Sulaiman bin ‘Abdullah di dalam Taisir al-‘Aziz al-Hamid)   

2. Daripada Suhaib RA: “Bahawa Nabi SAW tidak melihat sesuatu kampung[3] yang akan dimasukinya melainkan baginda akan membaca:

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَمَا أَظْلَلْنَ، وَرَبَّ اْلأَرْضِيْنَ السَّبْعِ وَمَا أَقْلَلْنَ، وَرَبَّ الشَّيَاطِيْنَ وَمَا أَضْلَلْنَ، وَرَبَّ الرِّيَاحِ وَمَا ذَرَيْنَ. فإنا نَسْأَلُكَ خَيْرَ هَذِهِ الْقَرْيَةِ وَخَيْرَ أَهْلِهَا، وَخَيْرَ مَا فِيْهَا، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ أَهْلِهَا وَشَرِّ مَا فِيْهَا.

Mafhumnya: “Ya Allah, Tuhan tujuh langit dan apa yang dinaunginya[4], Tuhan penguasa tujuh bumi dan apa yang ada di atasnya[5], Tuhan yang menguasai setan-setan dan apa yang mereka sesatkan, Tuhan yang menguasai angin dan apa yang diterbangkannya. Aku mohon kepadaMu kebaikan desa ini, kebaikan penduduknya dan apa yang ada di dalamnya[6]. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan desa ini, keburukan penduduknya dan keburukan apa yang ada di dalamnya. (Amal al-Yaum wa al-Lailah oleh al-Nasaie. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

3. Digalakkan orang yang sedang bermusafir memperbanyakkan doa untuk diri sendiri, kedua orang tua, anak-anak, keluarganya dan keseluruhan umat Islam. Ini kerana doa orang yang sedang bermusafir adalah mustajab. Daripada Abu Hurairah RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda: “Tiga doa yang tidak diragukan lagi mustajabnya iaitulah: Doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa orang tua untuk anaknya.” (HR Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

---------------------------------------------------------------------------------------- 

 

[1] Sebahagian ulama berpandangan Kalimah Allah yang dimaksudkan di sini ialah al-Quran, iaitulah memohon perlindungan dengan setiap permohonan perlindungan yang ada di dalam al-Quran seperti surah al-Falaq, al-Naas dan lain-lain. Sebahagian ulama lain berpandangan Kalimah Allah di sini bermaksud Kalimah Allah al-Kauniyyah iaitulah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT: 

Mafhumnya: “Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya (Allah) apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman: "Jadilah! ". maka perkara itu terus terjadi.” (Yasin: 82). Maka kalimat Allah al-Kauniyyah semuanya berada di bawah kalimah ini. (Lihat Jami’ al-Rasaail oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah). Wallahu a’lam.

[2] Iaitulah setiap kejahatan yang terdapat pada semua makhlukNya seperti manusia, jin, semua jenis haiwan, angin dan segalanya yang terdapat keburukan dan kejahatan.

[3] Kampung dalam bahasa ‘Arab disebut القَرْيَة, kalimah ini boleh juga dimaksudkan sebagai Bandar atau المدينة.

[4] مَا أَظْلَلْنَ iaitulah apa yang dinaunginya, dimaksudkan kepada apa-apa yang berada di atas langit, meninggi seperti sesuatu yang memayungi.

[5] Terdiri dari manusia, haiwan, pokok-pokok dan seumpamanya.

[6] Terdiri dari penginapan, makanan dan seumpamanya yang terdapat di dalamnya.


Cetak  
Wallahu a'lam