SDI 1653: Isu Merenjis Kereta Dengan Air Jampian

Soalan:

Assalamualaikum ustaz... Apa pandangan ustaz berkaitan isu merenjis atau membilas kenderaan dengan air ruqyah?... Sebab saya tengok di media sosial mufti pulau pinang, mufti Selangor dan dr zulkifli al bakri kata tidak dibenarkan tetapi mufti wilayah persekutuan sekarang kata dibenarkan

Jawapan:

 

Baik, wallahu taala a’lam.

Isu berkaitan dengan jampian, direnjis air jampian direnjis pada kenderaan, saya nasihatkan umat Islam supaya menyelesaikan dengan cara yang berhati-hati, dengan cara yang berhikmah supaya tidak menimbulkan perbalahan yang lebih parah dalam kalangan umat Islam.

Pertama sekali, kita kena tahu, bahawa sabit dari perbuatan nabi SAW membaca ayat al-Quran di air, kemudian menjirus atau merenjiskannya kepada sahabat yang ditimpa sakit. Demikian juga sabit perbuatan itu dilakukan oleh para sahabat dan sebahagian ulama salaf. Saya sebut sebahagian kerana saya tidak berani nak kata semua kerana mungkin atau tidak mustahil ada yang tidak bersetuju dengan perkara ini, ditambah lagi ada pandangan ulama yang kemudian seperti al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani RH yang tidak membenarkan ataupun berpandangan merenjis air jampian pada rumah, alatan tertentu, setakat yang saya tahu al-Albani tidak bersetuju dan dia berkata perkara itu tidak disyariatkan kerana tidak ada bukti dari Nabi SAW melakukan perkara tersebut. Akan tetapi banyak riwayat yang saya tahu, bukti-bukti dari para ulama salaf yang melakukan renjisan air pada sesuatu alatan, rumah dan seumpamanya.

Oleh kerana itu, kita boleh kata perkara ini menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Saya melihat isu terbaru merenjis air jampian pada kenderaan, saya tengak dari dua sudut yang perlu diketengahkan dan diperbaiki.

Pertama iaitulah kita kena tahu telah ada sunnah Nabi SAW bacaan yang perlu dibaca apabila kita membeli kenderaan baharu. Bacaan yang sama Nabi ajar untuk kita baca ketika membeli khadam bagi kes-kes klasik. Demikian juga bagi seseorang yang baharu berkahwin disunatkan dia membaca bacaan yang diajar oleh Nabi SAW dengan dia pegang di bahagian ubun-ubun kepala isteri dia, lalu dia baca doa yang sabit dari Nabi SAW, baginda yang ajar doa ini, iaitulah:

اللهُمَّ إِنِّىْ أَسْأَلُكَ خَيرَهَا وَخَيرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ

Yang bermaksud lebih kurang: “Ya Allah aku memohon kepada-Mu kebaikan isteri aku ini – jika merujuk kepada kenderaan, maka kita kata: Ya Allah aku memohon kepada-Mu kebaikan kenderaan ini – dan kebaikan apa-apa yang Engkau tetapkan ke atas kenderaan ini. Demikian juga aku berlindung dengan-Mu dari keburukan kenderaan ini dan dari apa-apa keburukan yang telah Engkau tetapkan ke atas kenderaan ini.”

Doa ini sabit dari Nabi SAW diriwayatkan dari hadis-hadis yang sahih. Oleh itu sepatutnyatuan-tuan guru, ustaz-ustaz kena kempen doa ini kepada masyarakat terlebih dahulu. Sehingga masyarakat telah terbiasa dengan doa ini apabila mereka memberi kenderaan atau berkahwin. Sunnah ini yang perlu diketengahkan terlebih dahulu, dikempen dan disebar-luaskan. Kemudian jika sunnah itu telah menjadi amalan masyarakat secara menyeluruh, di samping itu ada usaha sampingan untuk membaca ayat-ayat ruqyah pada kereta, maka itu suatu yang dibenarkan. Pada saya perkara itu tak nampak apa-apa ruang untuk kita kata perkara itu tidak dibenarkan, disebabkan bukti dari para salaf yang membaca al-Quran, bahkan kita juga tahu, bukan setakat baca ayat al-Quran, di kalangan para isteri Rasulullah SAW yang menerima air para pesakit yang datang ke rumah mereka, kemudian mereka meletakkan rambut Rasulullah ke dalam bekas air itu, kemudian mereka goncang-goncangkan, setelah itu mereka ambil semula rambut Rasulullah dan serahkan air yang telah digoncangkan bersama rambut Rasulullah untuk berubat. Demikian juga menulis ayat al-Quran dengan dakwan zakfaran di pinggan putih, kemudian dilunturkan dengan air untuk diminum bagi tujuan berubat, semua perkara ini diriwayatkan dari perbuatan salaf yang menunjukkan perkara ini ada asas keharusannya. Tetapi seperti yang saya sebut sebentar tadi, ia dilakukan dalam bentuk sampingan bukan dalam bentuk untuk dipopularkan, bukan dalam bentuk untuk dijadikan satu syi’ar, satu amalan seperti rutin sehingga masyarakat yang tidak tahu, akan beranggapan seoleh-oleh menjadi petunjukkan dari Nabi SAW, bila beli kenderaan kena renjis dengan air jampian, ini satu perkara.

Kemudian (kedua), air jampian ini dilakukan jika ada keperluan dan hajat untuk dijampi. Sebagai contoh seorang yang sakit, maka munasabah untuk dijampi. Tetapi kalau dia tak sakit, tiba-tiba nak dijampi, maka ini suatu yang pelik, mungkin berlaku disebabkan salah faham. Sama juga kalau kita nak renjis air jampian pada kereta, apa tujuannya? Apakah kereta itu terkena ain ataupun kereta itu ada ganguan syaitan atau seumpamanya sehingga perlukan jampian.

Jadi perkara-perkara ini perlu dijelaskan kepada masyarakat. Dok tak dok, tiba-tiba masyarakat bila beli kereta atau motor sahaja perlu direnjiskan air. Jika ini yang berlaku menunjukkan telah berlaku salah faham dan telah berlaku kepincangan kefahaman berkaitan dengan amalan-amalan agama. Jadi isu-isu seumpama ini lebih perlu diberi pennjelasan kepada masyarakat supaya masyarakat faham duduk sebenarnya dan sepatutnya tuan-tuan guru dan ustaz-ustaz berhati-hati dalam membuat sesuatu konten untuk disebarkan kepada orang ramai. Jika ia boleh mendatangkan keburukan dalam masyarakat hari ini yang rata-ratanya tidak berminat belajar agama, tidak memiliki pemahaman agama yang mantap, maka sudah tentulah perkara-perkara yang dilakukan akan mendatangkan kefahaman yang salah kepada masyarakat dan menimbulkan perkara yang tidak baik.


Cetak  
Wallahu a'lam