SDI 1703: Apa Nak Buat Jika Memiliki Ain Dan Sebahagian Jampian

Soalan:

Saya merasa bersalah besar dan sentiasa dihantui rasa bersalah terhadap apa yang berlaku kepada orang sekeliling disebabkan saya. Saya pun tidak pasti benarkah perkara itu dari saya atau tiada kaitan. Saya rasa saya ada ain tahap yang ringan.

Contohnya: Apabila saya melihat segelas air dan memandang dengan tajam, gelas itu akan jatuh. Saya melihat cakera (CD) di tangan doktor yang mengajar saya, dan pada hari berikutnya dia mengadu kepada kami pelajarnya, CD itu hilang.

Kejadian terakhir yang benar-benar merungsingkan saya ialah: sekitar tiga atau empat tahun lepas, saya menghadiri majlis perkahwinan salah seorang saudara saya. Saya tidak sukakan pengantin perempuan yang berkahwin dengan saudara saya tersebut. Apabila pengantin lelaki masuk, saya merasakan alangkah elok jika saya yang berada di tempat pengantin perempuan tersebut. Saya juga berharap kalau saya secantik dia. Tak lama selepas itu, saya dengar daripada saudara-mara, perkahwinan mereka ada masalah. Katanya siisteri asyik merasakan suaminya seperti abangnya sendiri. Masalah ini hingga ke tahap si isteri meninggalkan rumah suaminya dan berada di rumah keluarganya selama setahun. Keluarga kedua-dua pasangan telah berusaha mendamaikan mereka, tetapi gagal, akhirnya mereka berpisah atau bercerai.

Setahun kemudian, lelaki itu berkahwin lain, dan bekas isterinya masih keseorangan. Saya takut jika saya menjadi punca kepada perkara ini.

Saya mahukan penyelesaian. Bagaimana saya boleh memberikan kesan positif kepada dia tanpa dia tahu ia daripada saya?

Jawapan:

Orang yang menyedari dirinya memiliki ain yang boleh menyebabkan kemudaratan dengan pandangannya, menjadi kewajipan kepadanya menjaga diri dari membahayakan orang lain. Perkara ini terlaksana dengan cara sentiasa berusaha menundukkan pandangan mereka, mengurangkan pergaulan dengan orang ramai, dan berusaha untuk memohon keberkatan untuk yang dilihatnya dengan mengucapkan: بَارَكَ اللهُ فِيْك “Semoga Allah memberkatimu,” اللهُ يُبَارِكُ فِيْك “Allah sentiasa memberkatimu, demikian juga memperbanyakkan ungkapan: مَا شَاءَ اللهُ، لَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله “Semuanya dengan kehendak Allah, tiada kekuatan melainkan dengan Allah,” setiap kali melihat sesuatu yang mengagumkannya.

Imam Ibn Al-Qayyim berkata dalam Zad Al-Ma'ad:

وإذا كان العائن يخشى ضرر عينه، وإصابتها للمعين، فليدفع شرها بقوله: اللهم بارك عليه، كما قال النبي صلى الله عليه وسلم لعامر بن ربيعة لما عان سهل بن حنيف: "ألا بركت عليه" أي: قلت: اللهم بارك عليه. ومما يدفع به إصابة العين قول: ما شاء الله، لا قوة إلا بالله. روى هشام بن عروة، عن أبيه أنه كان إذا رأى شيئاً يعجبه، أو دخل حائطاً من حيطانه قال: ما شاء الله، لا قوة إلا بالله

"Jika seorang yang ber‘ain bimbang akan menyebabkan kemudaratan dari sebab pendangannya yang akan kena kepada orang yang dipandangnya, hendaklah dia menolak keburukan pandangannya itu dengan menyebut: اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَيْهِ “Ya Allah, berkatilah dia,” seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW kepada 'Amir bin Rabi'ah yang menyebabkan mudarat kepada Sahl bin Hanif dengan sabda baginda: أَلَا بَرَّكْتَ عَلَيْهِ 'Mengapa kamu tidak mendoakan keberkatan untuknya?” iaitu ucapkanlah: اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَيْهِ “Ya Allah, berkatilah dia”' Demikian juga antara cara lain untuk menolak kesan ain dari kita kepada orang lain dengan mengucapkan: مَا شَاءَ اللهُ، لَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله. Hisham bin 'Urwah ada meriwayatkan daripada bapanya, apabila bapanya iaitulah ‘Urwah bin al-Zubair melihat sesuatu yang mengagumkannya atau memasuki kebunnya, ‘Urwah akan mengucapkan: مَا شَاءَ اللهُ، لَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله “Semuanya dengan kehendak Allah, tiada kekuatan melainkan dengan Allah.”

Imam An-Nawawi pula berkata dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim:

قال القاضي: في هذا الحديث من الفقه ما قاله بعض العلماء: أنه ينبغي إذا عرف أحد بالإصابة بالعين، أن يجتنب، ويتحرز منه، وينبغي للإمام منعه من مداخلة الناس، ويأمره بلزوم بيته، فإن كان فقيراً رزقه ما يكفيه، ويكف أذاه عن الناس، فضرره أشد من ضرر آكل الثوم والبصل الذي منعه النبي صلى الله عليه وسلم دخول المسجد؛ لئلا يؤذي المسلمين، ومن ضرر المجذوم الذي منعه عمر- رضي الله عنه- والعلماء بعده الاختلاط بالناس، ومن ضرر المؤذيات من المواشي التي يؤمر بتغريبها بحيث لا يتأذى بها أحد. وهذا الذي قاله هذا القائل صحيح، متعين، ولا يعرف عن غيره تصريح بخلافه. والله أعلم

"Kata al-Qadhi (‘Iyadh): Dalam hadis ini terdapat fiqh seperti yang dinyatakan oleh sebahagian ulama iaitulah jika diketahui seseorang mempunyai ain melalui pandangannya, maka dia perlu dijauhi dan diambil langkah berjaga-jaga daripadanya. Pemerintah juga hendaklah melarangnya dari bergaul dengan orang ramai dan memerintahkannya untuk tetap tinggal di rumah. Jika dia seorang miskin, hendaklah diberikan nafkah yang mencukupi kepadanya agar dia tidak membahayakan orang lain. Ini kerana kemudharatan yang ada padanya lebih besar berbanding mereka yang hanya memakan bawang putih dan bawang merah, sekalipun begitu dilarang oleh Nabi SAW masuk ke masjid kerana boleh mengganggu orang Islam. Sama juga seperti bahaya seorang pengidap kusta yang dilarang oleh Umar RA dan ulama selepas beliau dari bercampur dengan orang ramai. Begitu juga bahaya binatang yang membawa mudarat, diperintahkan agar dijauhkan supaya tiada sesiapa yang terganggu. Pendapat (al-Qadhi ‘Iyadh) ini benar dan wajib diikuti, tidak diketahui ada perbezaan pendapat yang jelas  mengenainya. Allahlah lebih mengetahui.”

Anda boleh berhubung dengannya dan bercakap tentang mata jahat (ain) dan bagaimana dia mungkin terjejas dengannya. Terangkan bahawa tidak ada salahnya untuk mendapatkan rawatan melalui ruqyah syar’iyyah walaupun seseorang tidak yakin dirinya terkena. Berkongsi beberapa kaedah rawatan dan menekankan bahawa kesan mata jahat boleh dielakkan melalui doa dan amalan yang disyariatkan.

 

Merawat Orang Yang Terkena Ain

Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahih-nya bahawa Jibril AS pernah datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata:

يا محمد اشتكيت؟ فقال: "نعم" قال:

"Wahai Muhammad, adakah engkau sakit?" Baginda menjawab: "Ya." Lalu Jibril berkata:

بِسمِ اللهِ أَرْقِيْكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيْكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ، أَوْ عَيْنٍ حَاسِدٍ، اللهُ يَشْفِيْكَ، بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ

'Dengan nama Allah, aku meruqyahmu (menjampimu), dari segala yang menyakitimu, dari kejahatan setiap jiwa atau pandangan mata yang dengki. Semoga Allah menyembuhkanmu. Dengan nama Allah, aku meruqyahmu (menjampimu).”

Oleh itu, sesiapa sahaja boleh membantu orang yang terkena ain dengan cara membaca ruqyah atau jampi ini pada air, dan meminta orang yang dijangkakan terkena ain meminum serta mandi dengan air yang telah dijampi tersebut. Boleh juga dibaca untuk dibuat jampi beberapa ayat ruqyah seperti Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi, dua ayat akhir Surah Al-Baqarah iaitu ayat 285 dan 286, dua ayat akhir Surah Al-Qalam iaitulah ayat 51 dan 52, Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas. Juga, gunakan doa-doa yang disyariatkan seperti:

أَعِيْذُكَ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ، وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ. بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيْكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ، وَعَيْنٍ حَاسِدٍ، اَللهُ يَشْفِيْكَ

"Aku memperlindungkan kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari setiap syaitan, binatang beracun, dan pandangan mata yang buruk. Dengan nama Allah aku menjampi kamu dari setiap yang menyakitimu, dari kejahatan diri dan pandangan ain yang hasad. Allah akan menyembuhkan kamu."

Selain itu, boleh juga diambil sedikit air basuhan anggota badan orang yang menjadi sebab berlakunya ain, diletakkan di dalam bekas, kemudian baca ruqyah atau jampian di atas dan dihembuskan pada air tersebut. Minta orang yang terkena ain mandi dengan air ini. InsyaAllah, ia boleh menjadi sebab penyembuhan dengan izin Allah.


Cetak  
Wallahu a'lam