SDI 1909: Doa Sebelum Dan Selepas Makan

Soalan:

Adakah termasuk dalam zikir yang disyariatkan untuk kita ucapkan sebelum memulakan makan:

اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وقنا عذاب النار

“Ya Allah, berkatilah bagi kami apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami daripada azab neraka.”

Jawapan:

Hadis tentang doa ini disenaraikan oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitab al-Adhkar pada bab zikir yang dibaca sebelum makan. Namun para ulama menyatakan terdapat kelemahan padanya.

Dalam kitab Fayd al-Qadir karya al-Manawi, ketika mensyarahkan hadis dalam al-Jami‘ al-Saghir yang berbunyi:

إذا أكل أحدكم طعاما فليقل: اللَّهُمَّ بارِكْ لَنا فِيه وأبْدِلْنا خَيْرًا مِنْهُ، وإذا شرب لبنا فليقل: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْهِ وَزِدْنَا مِنْهُ، فإنه ليس شيء يجزئ عن الطعام والشراب إلا اللبن.

“Apabila salah seorang daripada kamu makan makanan, maka hendaklah dia berkata: اللَّهُمَّ بارِكْ لَنا فِيه وأبْدِلْنا خَيْرًا مِنْهُ (Ya Allah, berkatilah bagi kami padanya dan gantikanlah kepada kami dengan yang lebih baik daripadanya.). Dan apabila dia minum susu, maka hendaklah dia berkata: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْهِ وَزِدْنَا مِنْهُ (Ya Allah, berkatilah bagi kami padanya dan tambahkanlah kepada kami daripadanya), kerana tidak ada sesuatu yang mencukupi sebagai makanan dan minuman selain susu.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Tirmizi dan Abu Dawud. Dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ al-Saghir wa Ziyadatuh 1/129)  

Al-Manawi berkata:

 إذا أكل أي إذا أراد أن يأكل، ويحتمل جعله على ظاهره

Maksudnya: “Jika seseorang makan”, iaitu jika seseorang itu hendak makan, dan ada kemungkinan juga lafaz itu difahami menurut zahirnya. Tamat.

Maksud perkataan beliau: “kemungkinan juga dapat difahami menurut zahirnya”,  iaitu hadis itu juga boleh difahami secara zahirnya. Di mana lafaz : إذا أكل, pada zahirnya bermaksud: “Apabila seseorang telah makan.” Maknanya hadis ini secara zahirnya merujuk kepada doa setelah selesai makan.

Kemungkinan ini dikuatkan lagi dengan apa yang disebut oleh Ibn ‘Abd al-Barr dalam kitab al-Istizkar, beliau berkata:

والدعاء كثير لا يحصى، وخيره ما كان الداعي فيه بنية ويقين بالإجابة، ويكفي من ذلك قوله في أول الطعام بسم الله الرحمن الرحيم، وفي آخره الحمد لله رب العالمين اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وقنا عذاب النار

“Doa itu banyak dan tidak terhitung, dan sebaik-baiknya ialah doa yang diucapkan oleh orang yang berdoa dengan niat dan keyakinan akan diperkenankan. Dan memadai dalam hal itu ialah ucapannya pada awal makan: ‘Bismillāh al-Ramān al-Raīm’, dan pada akhirnya: الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّار” Tamat.

 


Cetak  
Wallahu a'lam