SDI 1910: Doa Kepada Orang Yang Membuat Jamuan

Soalan:

Saya menghadiri satu jamuan salah seorang sahabat. Setelah selesai makan, salah seorang ustaz ada baca doa yang tak pernah saya dengar. Apakah ada doa khusus setelah selesai jamuan? Boleh ustaz kongsikan?

Jawapan:

Berdoa untuk tuan rumah yang menyediakan makanan adalah sunat. Ibn Qudamah berkata dalam kitab al-Mughni:

ويستحب الدعاء لصاحب الطعام؛ لما روى جابر بن عبد الله، قال: صنع أبو الهيثم للنبي -صلى الله عليه وسلم- وأصحابه طعاما فدعا النبي -صلى الله عليه وسلم- وأصحابه، فلما فرغ قال: أثيبوا صاحبكم. قالوا: يا رسول الله، وما إثابته؟ قال: إن الرجل إذا دخل بيته، وأكل طعامه، وشرب شرابه، فدعا له، فذلك إثابته. وعن أنس، أن النبي -صلى الله عليه وسلم- جاء إلى سعد بن عبادة، قال: فجاء بخبز وزيت، فأكل، ثم قال النبي -صلى الله عليه وسلم-: أفطر عندكم الصائمون، وأكل طعامَكم الأبرارُ، وصلت عليكم الملائكة. رواهما أبو داود

“Disunatkan berdoa untuk orang yang membuat jamuan makan berdasarkan riwayat daripada Jabir bin ‘Abd Allah, beliau berkata: Abu al-Haitham telah menyediakan makanan untuk Nabi dan para sahabat baginda. Beliau menjemput Nabi dan para sahabat makan. Setelah selesai, baginda mengucapkan: “Balaslah kebaikan sahabat kamu.” Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah bentuk balasannya?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya apabila seseorang masuk ke rumahnya, lalu orang itu makan makanannya dan minum minumannya, kemudian orang itu doakan untuk tuan rumah tersebut, maka itulah balasannya.” Dan diriwayatkan daripada Anas bahawa Nabi datang kepada Sa‘d bin ‘Ubadah. Beliau berkata: Lalu Sa‘d membawakan roti dan minyak, maka baginda makan. Kemudian Nabi mengucapkan:

أَفْطَرَ عِنْدَكُمْ الصَّائِمُوْنَ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمْ الأَبْرَارُ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمْ الْمَلَائِكَةُ

“Telah berbuka puasa di tempat kamu orang-orang yang berpuasa, telah dimakan makanan kamu oleh orang-orang yang soleh, dan para malaikat mendoakan kamu.” Kedua-dua hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud.” Tamat petikan.

 


Cetak  
Wallahu a'lam