Berdasarkan hadis tentang kematian Abu Salamah RA, ketikamana baginda SAW datang menziarahinya, baginda menutupkan kedua mata Abu Salamah kemudian bersabda: “Sesungguhnya sesuatu ruh apabila ditarik, penglihatan akan menurutinya.”[1] Lalu kedengaran suara riuh-rendah orang ramai, baginda seterusnya bersabda: “Jangan kamu semua menyebut perkara-perkara yang tidak baik untuk diri kamu sendiri, kerana sesungguhnya para malaikat mengaminkan apa yang kamu semua katakan.”[2] Seterusnya baginda membaca:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِأَبِي سَلَمَةَ، وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ، وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِينَ، وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، اللَّهُمَّ افْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ وَنَوِّرْ لَهُ فِيهِ
Mafhumnya: “Ya ALLAH berilah keampunan untuk Abu Salamah[3], tinggikan kedudukannya bersama orang-orang yang menerima hidayah, jadilah pengganti kepadanya untuk ahli keluarganya yang masih hidup, berilah keampunan kepada kami dan dia, wahai TUHAN SEKELIAN ALAM, Ya ALLAH luaskanlah untuknya kuburnya dan berilah cahaya kepadanya.” (HR Muslim di dalam kitab Sahihnya – Kitab al-Jana’iz – Bab Fi Ighmadh al-Mayyit wa al-Du’a Lahu Iza Hadhar (2/634)
[1] Hadis ini menunjukkan seseorang yang meninggal dalam keadaan dua matanya terbuka adalah PERKARA BIASA. Ia tiada kaitan sama sekali dengan petanda orang tersebut mati dalam keadaan baik mahupun buruk.
[2] Ini menunjukkan ketika menziarahi jenazah adalah salah satu waktu dimustajabkan doa oleh Allah SWT. Jesteru berdoalah dengan bersungguh dan ikhlas.
[3] Ditukar berdasarkan nama jenazah.