Doa-Doa Selepas Tasyahhud Akhir Sebelum Salam

Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Pegawai Jabatan Mufti Perlis

Imam & Khatib masjid al-Abrar, Kubang Gajah, Arau

Doa Pertama

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila seseorang daripada kamu selesai dari bertasyahhud akhir maka mohonlah perlindungan dari empat perkara:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya daku berlindung kepadaMu dari azab neraka jahanam, dari azab kubur, dari fitnah[1] kehidupan dan kematian dan dari kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal[2].” (al-Bukhari dan Muslim)

Doa Kedua

Daripada ‘Ali bin Abi Talib RA katanya: “Dahulunya Rasulullah SAW apabila bangun mendirikan solat, baginda menjadikan ungkapan akhir yang diucapkan di antara al-Tasyahhud dengan memberi salam (antaranya) ialah: 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لَا إِلَهَ إِلَا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah daku apa-apa yang telah daku lakukan, apa-apa yang akan daku lakukan, apa-apa yang daku sembunyikan, apa-apa yang daku jelaskan, apa-apa kemelampauan ku dan apa-apa yang Dikau lebih mengetahui berbanding daku. Dikaulah Tuhan yang terdahulu dan terakhir. Dikaulah Tuhan yang berkuasa atas segala sesuatu.” (Muslim)

Doa Ketiga

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, bahawa Abu Bakar al-Siddiq pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Ajarkan kepadaku satu doa untuk aku membacanya di dalam solatku.” Sabda baginda SAW: “Bacalah:

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ. فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya daku telah menzalimi diriku sendiri dengan melakukan dosa yang banyak, tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosaku melainkan Dikau. (Ya Allah) ampunilah daku dengan keampunan dari sisiMu, rahmatilah daku, sesungguhnya Dikau Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (al-Bukhari dan Muslim)

Doa Keempat

Daripada Hanzalah bin ‘Ali, bahawa Mihjan bin al-Adra’ menceritakan kepadanya dengan berkata: “Rasulullah SAW masuk ke dalam masjid pada satu hari. Terdapat seorang lelaki yang berada dipenghujung solatnya bertasyahhud kemudian membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا أَللَّهُ بِأَنَّكَ الْوَاحِدُ الْأَحَدُ، الصَّمَدُ، الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya daku memohon kepadaMu, Ya Allah sesungguhnya Dikaulah Tuhan Yang Satu[3], lagi Yang Esa[4], Yang Maha Dimaksudkan (diperlukan), Yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, tiada sesuatu yang setanding denganNya, ampunilah dosa-dosaku, sesungguhnya Dikau tuhan yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.” (al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra dan Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Nasa’ie)

Doa Kelima

Daripada Syaddad bin Aus yang berkata: “Dahulunya Nabi SAW seringkali membaca di dalam solat baginda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الثَّبَاتَ فِي الْأَمْرِ، وَالْعَزِيمَةَ عَلَى الرُّشْدِ، وَأَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ شُكْرَ نِعْمَتِكَ، وَحُسْنَ عِبَادَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ قَلْبَاً سَلِيمَاً، وَلِسَانَاً صَادِقَاً، وَأَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا تَعْلَمُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا تَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا تَعْلَمُ، إِنَّكَ أنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ

Maksudnya:: “Ya Allah, daku memohon kepadaMu ketetapan di dalam setiap urusan[5], keazaman[6] melakukan sebaik-baik perkara. Daku juga memohon kepadaMu apa-apa yang dapat mendatangkan rahmatMu[7], keazaman dengan sesuatu yang mendatangkan keampunanMu[8]. Daku memohon kepadaMu agar dapat bersyukur kepadaMu di atas nikmat-nikmat pemberianMu, dan dikurniakan keelokan beribadah kepadaMu. Daku memohon kepadaMu dikurniakan jantung-hati yang sejahtera dan lidah yang benar. Daku memohon kepadaMu setiap kebaikan yang Dikau ketahui, daku juga berlindung kepadaMu dari setiap keburukan yang Dikau ketahui. Daku memohon ampun kepadaMu dari setiap dosaku yang berada dalam pengetahuanMu, sesungguhnya Dikaulah Tuhan yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi.” (Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa’ie dan selainnya. Dinilai Hasan oleh al-Arnaouth di dalam Sahih Ibn Hibban 5/312)   

Doa Keenam

Daripada ‘Ammar bin Yasir RA, bahawa Nabi SAW berdoa di dalam solat baginda dengan berkata:

اللَّهُمَّ بِعِلْمِكَ الْغَيْبَ، وَقُدْرَتِكَ عَلَى الْخَلْقِ، أَحْيِنِي مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا عَلِمْتَ الْوَفَاةَ خَيْرًا لِي، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَشْيَتَكَ فِي الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، وَأَسْأَلُكَ كَلِمَةَ الْحَقِّ فِي الرِّضَا وَالْغَضَبِ، وَأَسْأَلُكَ الْقَصْدَ فِي الْغِنَى وَالْفَقْرِ، وَأَسْأَلُكَ نَعِيمَاً لاَ يَنْفَدُ، وأَسْأَلُكَ قُرَّةَ عَيْنٍ لاَ تَنْقَطِعْ، وَأَسْأَلُكَ الرِّضَا بَعَدَ الْقَضَاءِ، وَأَسْأَلُكَ بَرْدَ الْعَيْشِ بَعْدَ الْمَوْتِ، وَأَسْأْلُكَ لَذَّةَ النَّظَرِ إلَى وَجْهِكَ، وَالشَّوْقَ إِلَى لِقَائِكَ، فِي غَيْرِ ضَرَّاءَ مُضِرَّةٍ، وَلاَ فِتْنَةٍ مُضِلَّةٍ، اللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِينَةِ الإِيمَانِ، وَاجْعَلْنَا هُدَاةً مُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Ya Allah dengan ilmuMu yang mengetahui segala yang tersembunyi, kekuasaanMu ke atas segala makhlukMu, hidupkanlah daku selama-mana hidup itu lebih baik untukku, Dikau matikan daku jika mati itu lebih baik untukku. Ya Allah daku memohon kepadaMu dikurniakan rasa takut kepadaMu ketika bersendirian atau di hadapan manusia. Daku memohon kepadaMu ungkapan yang benar ketika redha mahupun ketika marah. Daku memohon kepadaMu sikap pertengahan (yang terbaik) ketika dalam kekayaan atau kefaqiran. Daku memohon kepadaMu nikmat yang tidak putus, daku memohon kepadaMu penyejuk mata yang tidak berhenti, daku memohon kepadaMu keredhaan setelah menerima ketetapanMu, daku memohon kepadaMu kehidupan yang dipenuhi kerehatan selepas kematian, daku memohon kepadaMu kelazatan melihat wajahMu dan merindui bertemu denganMu, tanpa (ditimpa) sesuatu keburukan yang mudharatkan, dan tanpa fitnah yang menyesatkan. Ya Allah hiasalah kami dengan perhiasan keimanan, jadikanlah kami  orang-orang yang memberi petunjuk dan mendapat petunjuk.” (al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra 1/387, Ahmad 30/265, Ibn Hibban 5/304, Abu Yaala 3/195, al-Hakim 1/425 dan Ibn Abi Syaibah 10/264. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Nasa’ie 1/280, bilangan 1304 demikian juga di dalam Sahih al-Jami’, bilangan 1301) 

Doa Ketujuh

Daripada Ibn Mas’ud RA yang berkata bahawa Nabi SAW telah mengajarkan untuk dibaca doa ini:

اللَّهُمَّ أَلِّفْ بَيْنَ قُلُوبِنَا، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِنَا، وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلَامِ، وَنَجِّنَا مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ، وَجَنِّبْنَا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي أَسْمَاعِنَا، وَأَبْصَارِنَا، وَقُلُوبِنَا، وَأَزْوَاجِنَا، وَذُرِّيَّاتِنَا، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ، وَاجْعَلْنَا شَاكِرِينَ لِنِعْمِكَ مُثْنِينَ بِهَا عَلَيْكَ، قَابِلِينَ لَهَا، وَأَتِمِمْهَا عَلَيْنَا

Maksudnya: “Ya Allah satukan hati-hati kami, perelokkan hubungan antara kami, tunjukkan kami ke jalan-jalan (syurga) al-Salam[9], bebaskan kami dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya, jauhkan kami dari segala perkara yang keji apa-apa yang zahir mahupun yang batin. Kurniakanlah keberkatan kepada kami pada pendengaran, penglihatan, jantung-hati, pasangan dan zuriat kami, jadikanlah kami orang yang terus bertaubat, sesungguhnya Engkau tuhan yang maha penerima taubat lagi maha mengasihani, jadikanlah kami dari kalangan orang-orang yang bersyukur dengan nikmat-nikmatMu, memuja-mujMu dengan nikmat-nikmat tersebut, menerimanya dan sempurnakanlah (kekalkan) nikmat-nikmat tersebut kepada kami.” (Riwayat Abu Daud: Kitab al-Solah – Bab al-Tasyahhud. Bil. 969, dan al-Hakim. Lafaz ini adalah berdasarkan riwayat al-Hakim 1/265. Beliau juga berkata: “Sahih berdasarkan syarat Muslim” dan pernyataan ini dipersetujui oleh al-Zahabi 1/26. Diriwayatkan oleh Ibn Hibban 3/277. Hadis semakna dengan ini juga (نحوه)[10] terdapat di dalam al-Adab al-Mufrad, hal. 122 dan Musnad al-Bazzar 5/153. Al-Albani di dalam Sahih al-Adab al-Mufrad, bil. 630 berkata: “Sahih.”

Doa Kelapan

Daripada Anas bin Malik RA:

“Aku pernah bersama Nabi SAW sedang duduk, ada seorang lelaki berdiri menunaikan solat. Apabila dia rukuk dan bertasyahhud dia  menyebut di dalam doanya:

 اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنَّ لَكَ الْحَمْدَ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ وَحْدَكَ لاَ شَرِيكَ لك الْمَنَّانُ بَدِيعَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ، يَا ذَا الْجَلالِ وَالإِكْرَامِ، يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ، إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya daku memohon kepadaMu, bahawa milikMulah segala pujian, tiada tuhan yang sebenarkan melainkan Dikau yang esa, tidak ada sekutu bagiMu, Dikau tuhan yang banyak mengurniakan pemberian[11], wahai tuhan yang menciptakan[12] semua lapisan langit dan bumi, wahai tuhan yang memiliki keagungan, kesempurnaan dan kemuliaan[13], wahai tuhan yang maha hidup[14] dan berdiri sendiri[15], sesungguhnya daku memohon kepadaMu syurga dan daku berlindung kepadaMu daripada neraka.” Sabda Nabi SAW: “Tahukah kamu semua dengan apa orang itu telah berdoa?” Jawab para sahabat: “Allah dan Rasul sahaja yang lebih mengetahui.” Sabda baginda: “Demi jiwa Muhammad yang berada di dalam genggaman tangannya, sesungguhnya dia telah berdoa dengan nama Allah yang maha Agung (Ismullahil a’zham), yang mana apabila diminta dengannya pasti akan diperkenankan, apabila dipohon dengannya pasti akan diberi.”  (Abu Daud – Kitab al-Solat – Bab al-Dua, bil. 1495. Ibn Majah – Kitab al-Dua – Bab Ism Allah al-A’zham, bil. 3858 dan selainnya. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Nasa’ie 1/279 dan di dalam Sahih Ibn Majah)

 

[1] Fitnah ialah ujian dan cubaan. Fitnah kehidupan merangkumi semua ujian dan cubaan ketika hidup di dunia seperti fitnah kekufuran, bidaah, syahawat kejahatan dan kerosakan. Manakala Fitnah Kematian pula merangkumi Su’ al-Khatimah atau kesudahan hidup yang buruk. Demikian juga termasuk seksaan di dalam kubur.

[2] Al-Dajjal pada timbangan فعّال yang bermaksud banyak dusta dan meragukan. Berasal dari kalimah الدَجْل yang bermaksud penutupan. Dinamakan dajal kerana dia menutup kebenaran dengan kebatilan. Manakala al-Masih pula ialah yang disapu atau dihilangkan sebelah matanya iaitulah yang buta sebelah matanya. (Fath al-Bari 13/91)

[3] Kalimah al-Ahad الأحد yang diterjemahkan sebagai Yang Satu merujuk kepada tuhan yang Maha Sempurna dalam keesaanNya. Tiada yang seumpama dan semisal dengannya.

[4] Kalimah al-Wahid الواحد yang diterjemahkan sebagai Yang Esa merujuk kepada tuhan yang bersendirian memiliki kesempurnaan tidak ada sesuatu lain yang mempunyai kesempurnaan seperti yang dimiliki olehnya, Tuhan yang Maha Kaya dan Maha Sempurna.

[5] Iaitulah memohon ditetapkan (istiqamah) melakukan ketaatan dan di atas landasan agama selama hidup di dunia. Merangkumi juga mohon ditetapkan untuk dapat dikukuhkan lidah menjawab soalan malaikat di dalam kubur. Demikian juga ketetapan ketika melintas titian sirat di akhirat.

[6] Iaitulah keazaman yang benar-benar kukuh dan diikuti dengan tindakan dan perlaksanaan. Keazaman seperti ini memerlukan pertolongan dari Allah yang Maha Gagah Perkasa dan Yang Maha Berkuasa.

[7] Iaitulah apa-apa yang menjadikan seseorang hamba berhak mendapat rahmat dari Allah terdiri dari amalan lahir dan batin. Seterusnya amalan-amalan tersebut menjadikan seseorang itu berhak mendapat rahmat Allah yang paling agung iatulah dapat memasuki syurgaNya.

[8] Iaitulah apa-apa yang menjadikan seseorang berhak mendapat keampunan Allah terdiri dari keazaman untuk bertaubat, beristighfar dan melakukan amalan soleh yang berperanan menghapuskan dosa.

[9] Boleh juga bermaksud tunjukkan kami jalan-jalan keselamatan.

[10] Ulama hadis apabila menyebut نحوه bermaksud hadis yang semakna dengan lafaz yang berbeza. Apabila mereka menyebut مثله bermaksud hadis yang lafaz dan makna yang sama.

[11] al-Mannan المنّان adalah tuhan yang banyak pemberiannya, berat ukuran pemberiannya. Tuhan yang memberi dan terus memberi tanpa meminta bayaran dan tanpa ada tujuan tertentu.

[12] Badii’ البديع adalah merujuk kepada tuhan yang menciptakan tanpa ada contoh sebelumnya.

[13] al-Ikram الإكرام yang diterjemahkan sebagai kemuliaan adalah murujuk kepada Tuhan yang memiliki banyak kelebihan dan yang amat pemurah sehingga tiada batasan

[14] al-Hayyu الحي yang diterjemahkan sebagai Yang Maha Hidup merujuk kepada Tuhan yang hidup selama-lamanya, tiada permulaan dan kemusnahan, hidup dalam kesempurnaan.

[15] al-Qayyum القيوم ialah tuhan yang berdiri sendiri yang bermaksud tuhan yang tidak memerlukan sesiapapun. Dia pula yang mentadbir urusan makhlukNya dan memperelokkannya. Nama ini amat penting sehinggakan semua sifat perbuatan Allah kembali kepadanya.


Cetak  
Wallahu a'lam