Dari Ummu Salamah, Isteri Nabi SAW katanya: bahawa Nabi SAW selepas solat Subuh, sebaik sahaja memberi salam akan mengucapkan:
اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا
Mafhumnya: “Ya Allah daku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” [1]
Dari Juwairiah RA, Nabi SAW pernah keluar dari sisinya pada awal pagi waktu Subuh pergi ke masjid, ketika itu Juwairiah berada di tempat solatnya. Kemudian baginda pulang setelah masuk waktu Dhuha, beliau masih duduk di tempat solatnya, lalu baginda bersabda: Kamu masih berada seperti keadaan ketika aku meninggalkan mu tadi? Beliau menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya tadi aku telah ucapkan empat kalimat sebanyak tiga kali |3x|, sekiranya kalimat itu ditimbang dengan apa yang kamu baca dari tadi, sudah tentu kalimat yang aku baca tadi lebih berat, iaitulah:
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Mafhumnya: “Maha Suci Allah dan dengan segala pujianNya sebanyak bilangan makhlukNya[2], seperti keredhaanNya[3], seberat timbangan arasyNya dan sebanyak tinta tulisan kalimatNya [4]
[1] Musnad Ahmad 6/322. Sunan Ibn Majah, bil: 925. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah, bil: 753.
[2] Tasbih dan Pujian yang layak kepada Allah SWT, yang tidak mampu dihitung dan dikira.
[3] Tasbih dan Pujian yang menandakan keagungan dan kemuliaan Allah menyamai keredhaanNya SWT, iaitulah yang tidak ada penghujungnya.
[4] Sahih Muslim, bil: 2726